Pages

Tuesday, 28 September 2010

Karya Sulung Pemudaiman

Alhamdulillah, pemudaiman amat bersyukur kerana dengan RahmatNya dan HidayatNya, setelah berusaha sedaya mampu dalam bidang dakwah Islamiah melalui karya-karya artikel ringkas, padat dan mudah, kami berjaya menerbitkan karya sulung kami iaitu buku Mutiara Wahyu. Sinopsis ringkas mengenai buku Mutiara Wahyu: Buku yang mengandungi 104 muka surat dan dibahagikan kepada 18 tajuk perbincangan yang dinamakan Mutiara Wahyu, merupakan kompilasi artikel ringkas yang telah diusahakan sejak pemudaiman ditubuhkan setahun yang lalu melalui kolum Mutiara Wahyu. Meminjam kata-kata saudara Norshahnaz dalam blog http://abuwafi98.wordpress.com/:

"Ianya dipersembahkan untuk bacaan dan memenuhi kefahaman orang awam yang mungkin sibuk untuk memahami ayat-ayat Al-Quran secara mendalam. Tiada masa untuk menelusuri tafsir secara terperinci, buku ini mempersembahkan ‘gist’ atau perincian penting di dalam Al-Quran yang boleh dikutip dan diamalkan. "

Tujuan penerbitan buku ini bukanlah untuk menonjolkan kehebatan ilmu si penulis atau aktifnya pemudaiman berbanding badan dakwah yang lain. Tetapi untuk memenuhi tuntutan dakwah Islamiah yang memerlukan kepelbagaian dalam metod dakwah;melalui alam maya dan buku tulisan- serta melihatkan kepada kerencaman latarbelakang manusia; ada yang mahukan bacaan ilmiah yang berat dan ada yang mahukan bacaan berfaedah yang mudah faham,santai dan murah. Atas pertimbangan tersebut maka buku ini diterbitkan. Buku Mutiara Wahyu ini boleh disifatkan sebagai:

Buku yang isinya mudah faham (understandable), reka bentuknya yang mudah bawa dan santai(mobile), harganya yang berpatutan (reasonable) di samping padatnya dengan tazkirah dan ilmu (comprehensive) yang diperlukan oleh semua yang ingin memahami ayat-ayat Al-Quran.

Buku ini amat sesuai untuk semua lapisan masyarakat dari golongan profesional dan bukan profesional, para pelajar universiti dan sekolah, yang muda mahupun yang sudah berusia, khususnya mereka yang mempunyai kesedaran untuk memahami kehendak wahyu Ilahi. Buku ini juga sesuai digunakan untuk perbincangan di kalangan muslimin di surau-surau dan masjid-masjid. Terutama sekali bagi pelajar Matrikulasi UIAM yang pernah atau akan mengambil subjek FIM1233 (Basic Themes of Al-Quran), buku ini amat sesuai untuk mengingati kembali semua yang pernah dan akan dipelajari dalam subjek tersebut.

Pemudaiman berharap agar kehadiran buku Mutiara Wahyu dipersada industri penulisan buku dapat memberi nilai tambah kepada dakwah Islamiah untuk masyarakat Islam yang sentiasa dahagakan hidayah wahyu terkandung dalam al-Quran. Adalah diharapkan juga agar para pembaca dapat menghebahkan penerbitan buku ini kepada sahabat handai, saudara mara, dan ahli keluarga masing-masing sebagai satu bentuk dakwah oleh anda sendiri. Bayangkan, sekiranya anda membeli buku ini sudah pun dianggap infaq fi sabilillah. kemudian anda menghebahkan kebaikan buku ini kepada yang lain sehingga mereka membeli, membaca dan mengamalkan apa yang terkandung di dalamnya, sudah pasti setiap usaha anda akan diganjari olehNya. Sabda Rasulullah SAW: Apabila matinya anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: Sadaqah Jariah, Ilmu yang memberi manfaat, dan anak soleh yang sentiasa mendoakannya. Sabda baginda dalam hadith yang lain: “Sesiapa yang memulakan satu sunnah yang baik di dalam Islam dia akan memperolehi ganjarannya dan ganjaran orang yang melakukannya selepasnya dengan tidak kurang sedikitpun ganjaran mereka. Dan sesiapa yang memulakan satu sunnah yang buruk di dalam Islam dia akan menanggung dosanya dan dosa orang yang melakukannya selepasnya dengan tidak kurang sedikitpun dosa-dosa mereka.

Marilah sama-sama kita bantu membantu dalam kerja dakwah ini. Firman Allah SWT: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya). (al-Maidah: 2)

Persoalan sekarang, adakah anda bersama kami?

Aktiviti Pemudaiman


1. Ceramah khas: Hamka dan Tafsir al-Azhar oleh Ustaz Mohd Syauqi Md Zahir Al-Kulimi di Masjid al-Syarif Meru pada 29/9/2010 (Rabu). http://www.asysyarifmeru.net/

2. Program ilmu: Fiqh Solat antara Mazhab dan Hadith di IIS Hall, No. 1-5-2, Wisma Prima Peninsula, Jln Setiawangsa 11, Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur anjuran ISLAMIC INFORMATION & SERVICES FOUNDATION (IIS), AL-AHKAM.NET yang akan disampaikan oleh al-Fadhil Ustaz Adlan Abdul Aziz pada Tarikh/Masa: Ahad, 10 Okt 2010, 9:30 a.m - 1:00 p.m. Tempat adalah terhad!Penyertaan adalah melalui pendaftaran sahaja. Sila mendaftar di http://iis-fiqhsolat.eventbrite.com/. Program ini adalah percuma. Sila hubungi Sis Tuty @ 017 8889097 atau email: Tuty.Abu.Bakar@gmail.com untuk keterangan lanjut.

Saturday, 18 September 2010

Mengenali Syeikh Abd. Fattah Abu Ghuddah - rahimahullah..!




Di antara tokoh hadith yang amat berjasa dalam kajian hadith moden ialah seorang alim bernama Abd. Fattah Abu Ghuddah. Abu Ghuddah atau nama penuhnya Abd. Fattah Bin Muhammad dilahirkan pada 9 Mei tahun 1917.

Semasa belajar di Jordan, saya amat berterima kasih kepada abang-abang ‘senior’ kerana telah memperkenalkan saya kepada nama Abd. Fattah Abu Ghuddah yang tertera pada buku-buku yang dijual di sana. Walaupun pada awalnya mereka tidak menjelaskan siapakah beliau sebenarnya dan apakah kelebihannya, saya sudah tertarik untuk membeli buku-buku beliau. Sehinggalah saya bersahabat dan berguru dalam masa yang sama dengan salah seorang ‘senior’ saya iaitu Ustaz Muhammad Anwaruddin (penasihat Jabatan Hadith al-ahkam.net), barulah saya benar-benar dapat merasai kehebatan insan bergelar Abu Ghuddah.

Abu Ghuddah dikenali sebagai ahli dalam hadith, tahqiq (suntingan dan semakan buku), seorang alim yang faqih serta diiktiraf dengan kekuatannya dalam penguasaan ilmu-ilmu Bahasa Arab dan kesusasteraannya. Beliau terkenal dengan jasanya membuat semakan dan mencetak buku-buku utama dalam pelbagai ilmu terutamanya ilmu berkaitan hadith.

Pengembaraan ilmunya bermula dari kampung halamannya di Syria sehinggalah ke al-Azhar, Mesir dan sejak itu beliau merantau ke seluruh dunia Islam menyebarkan ilmu semampu mungkin. Semuanya itu dilakukan sehinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 1997 di Arab Saudi.



Walaupun saya tidak dapat berguru dengan beliau semasa di luar negara, saya bersyukur kepada Allah SWT kerana dapat berguru dengan salah seorang muridnya iaitu Dr. Abd. Sami’ al-Anis yang ketika itu merupakan salah seorang pensyarah dalam bidang hadith di Universiti Al al-Bayt, Jordan. Masih ada dalam simpanan saya tulisan tangan Dr. Abd. Sami’ yang memberikan ijazah periwayatan buku Risalat al-Mustarsyidin karya al-Harith al-Muhasibi (sebuah kitab tasawwuf yang amat hebat) melalui jalan periwayatan yang diperolehinya daripada Syeikh Abu Ghuddah.

Alhamdulillah, sekurangnya ada juga hubungan antara seorang pelajar Malaysia yang amat cetek ilmunya dengan seorang alim yang amat dikagumi kehebatannya. Itulah keindahan pengijazahan sanad dalam pengajian yang hanya diketahui oleh mereka yang merasainya sahaja. Sanad perlu dilihat sebagai kesinambungan antara kita dan generasi awal. Namun begitu berbangga hanya dengan sanad tanpa ilmu atau tanpa menyebarkannya adalah satu kerugian. Manakala berbangga dengan ilmu tanpa sebarang sanad pula ibarat minum teh atau kopi tanpa gula…memang tak sedap!

Berbalik kepada Syeikh Abu Ghuddah, apabila kita melihat kepada karya beliau, kita dapat merasai bahawa karya yang beliau keluarkan bukan karya biasa. Ia satu karya yang penuh dengan ketelitian, amanah, kesungguhan menyebarkan ilmu dan ulasan yang ilmiah lagi mantap. Sesiapa sahaja yang membaca buku-buku yang disemak dan disunting oleh Syeikh Abu Ghuddah, atau buku yang ditulis sendiri oleh beliau.. pasti dapat mengesan sekurang-kurangnya tiga ciri berikut:

Pertama – Pendahuluan yang cukup jelas dalam menghuraikan buku yang beliau sunting.

Kedua – Ulasan beliau dalam nota kaki yang amat berguna malah terkadang amat panjang tetapi percayalah.. ia amat membantu pembaca dalam memahami teks asal buku yang disunting.

Ketiga – Sifat beliau yang amat mementingkan ‘baris’ dan maksud bahasa perkataan-perkataan tertentu yang dirasakan boleh mengelirukan pembaca sama ada kekeliruan membariskannya dengan betul atau kekeliruan pada maknanya.

Seperkara lagi yang amat penting dalam menghargai jasa ahli tahqiq seperti Syeikh Abu Ghuddah ialah kesungguhan dalam mencetak dan menyemak teks sesebuah buku dengan teliti. Tujuan paling utama ialah ‘menjelmakan’ sesebuah buku itu seperti mana atau hampir seperti mana yang dikarang oleh penulis asalnya. Ini amat penting bagi mereka yang tahu tentang kesilapan-kesilapan yang mungkin berlaku jika sesebuah buku itu tidak dicetak seperti mana dalam manuskrip (atau manuskrip-manuskrip) yang ditulis sejak sekian lama. Sesetengah penuntut ilmu tidak memahami kepentingan ini lalu mereka menumpukan kepada ulasan ahli tahqiq terhadap kesahihan hadith atau kesahihan fakta semata-mata. Sedangkan tujuan utama tahqiq ialah untuk cuba sedaya upaya memastikan apa yang dicetak menyamai apa yang ditulis oleh penulis asal yang hidup beratus malah beribu tahun dahulu. Inilah yang amat dititik beratkan oleh ahli tahqiq yang amanah seperti Syeikh Abu Ghuddah.




Walaupun begitu, Syeikh Abu Ghuddah tidak terlepas dari kritikan sama ada ilmiah atau kritikan berasaskan ketaksuban. Saya masih ingat di mana satu ketika semasa di Jordan saya terbaca satu kritikan yang amat keras dari seorang lagi ahli hadith moden terhadap peribadi dan keilmuan Syeikh Abu Ghuddah. ‘Berpeluh’ juga membaca ayat-ayat tajam yang ada di dalam penulisan tersebut. Tetapi apabila membaca jawapan balas Syeikh Abu Ghuddah dan membuat penilaian dari pihak ketiga, saya dapat bahawa perselisihan itu langsung tidak menjejaskan kedudukan keilmuan Syeikh Abu Ghuddah. Ia timbul berpunca dari salah faham dan juga campur tangan pihak ketiga.

Syeikh Abu Ghuddah juga amat dikenali dengan kecenderungannya ke arah tasawwuf. Sikap beliau yang amat positif terhadap persoalan tasawwuf dan sebahagian pengikut tasawwuf kadangkala mewujudkan kekeliruan pada sebahagian penuntut ilmu terutama yang melampau dalam mengkritik tasawwuf. Pendirian beliau yang amat positif terhadap tasawwuf mirip kepada sikap seorang lagi ulama terkemuka ummat iaitu Syeikh Abu al-Hasan al-Nadwi. Namun begitu tasawwuf yang beliau maksudkan bukanlah tasawwuf yang melampau sehingga tidak mengikut panduan Al-Quran dan hadith. Pernah beliau mengkritik sikap sebahagian ahli tasawwuf yang berzikir sehingga melompat dan menari. Kritikan itu boleh dibaca di dalam pendahuluannya terhadap buku Imam Abd. Hayy al-Laknawi iaitu Sibahat al-Fikr Fi al-Jahr Bi al-Dzikr. Jelas dalam buku itu Abu Ghuddah menyokong pandangan al-Laknawi bahawa zikir dengan suara yang lantang itu dibolehkan pada tempat tertentu dan syarat tertentu. Tetapi Abu Ghuddah tidak menyokong zikir yang melampau sehingga terkeluar dari adab dan ketenangan zikir.

Dalam berdakwah pula Syeikh Abu Ghuddah amat gigih dan pro aktif sehinggakan beliau pernah menjawat jawatan ahli parlimen di Syria pada tahun 1961 mewakili bandar terbesar di Syria iaitu Halab atau Aleppo. Di samping menulis, beliau amat aktif menyampaikan ilmu di mana sahaja beliau dijemput.

*Pembaca boleh menatap wajah beliau dalam laman web khas untuk beliau:

www.aboghodda.com

atau boleh melayari youtube.com lalu menulis nama :

أبو غدة

Terdapat beberapa rakaman video dan audio beliau yang amat bermanfaat untuk penuntut ilmu yang menguasai Bahasa Arab.

Satu lagi perkara yang amat menarik tentang Syeikh Abu Ghuddah ialah beliau berguru dengan pelbagai guru walaupun terkadang guru-guru itu ada di antara mereka yang tidak sependapat dengan beliau dalam beberapa isu ilmiah. Itu tidak sedikit pun menghalang beliau untuk menuntut ilmu dan menghormati para gurunya. Inilah sikap yang amat kita perlukan di zaman ini.

Kini pengembaraan ilmu beliau diteruskan oleh salah seorang anaknya, Salman Abd. Fattah yang juga giat mencetak buku-buku bermanfaat untuk para penuntut ilmu.

Di antara buku-buku beliau yang disunting dan amat penting pada penuntut ilmu adalah seperti:

- Al-Raf’u wa al-Takmil Fi al-Jarh wa al-Ta’dil - karya Abd. Hayy al-Laknawi
- Al-Ajwibah al-Fadhilah – al-Laknawi. (berkaitan Mustolah al-Hadith)
- Risalat al-Mustarsyidin – al-Muhasibi. (tasawwuf)
- Al-Tasrih Bi Ma Tawatara Fi Nuzul al-Masih – Anwar Syah al-Kasymiri. (tentang tanda-tanda kiamat)
- Al-Manar al-Munif – Ibn Qayyim al-Jauziyyah. (Buku berkaitan kaedah mengenal pasti kesahihan dan kedhaifan hadith).
- Al-Mashnu’ Fi Ma’rifat al-Hadith al-Maudhu’ – Ali al-Qari. (himpunan hadith-hadith dhaif dan palsu).
- Al-Muqizoh – al-Zahabi. (Mustolah al-Hadith).

Di atas adalah buku-buku yang beliau sunting dan semak. Terdapat banyak lagi buku tetapi itu yang saya pilih untuk disebutkan di sini.

Manakala buku-buku yang beliau sendiri hasilkan pula ialah seperti:

- Min Adab al-Islam. (buku kecil yang menghimpunkan adab-adab kecil tapi penting dalam hidup muslim).
- Safahat Min Sabr al-Ulama. (himpunan kisah-kisah para ulama silam mendalami ilmu dan kesusahan serta kesabaran mereka).
- Al-Ulama al-‘Uzzab. (himpunan kisah ulama yang tidak berkahwin demi menuntut ilmu).
- Qiimat al-Zaman ‘Inda al-Ulama’. (buku ringkas tapi padat tentang kepentingan masa dan bagaimana ulama terdahulu menjaga masa dalam mencari dan beramal dengan ilmu mereka).
- Tahqiq Ismai al-Sahihain wa ismi Jami’ al-Tirmidzi. (perbahasan ilmiah tentang nama sebenar buku Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim dan Jami’/Sunan al-Tirmidzi).
- Al-Rasul al-Mu’allim. (buku khas mengumpulkan kaedah Rasulullah s.a.w. dalam mengajar para sahabat. Amat penting untuk ilmu perguruan).
Dan banyak lagi buku-buku lain yang amat penting.

Semoga coretan kecil ini dapat memberikan ilmu, membangkitkan amal, mencetuskan semangat dan keazaman untuk mencontohi tokoh ilmuan ini, Syeikh Abd. Fattah Abu Ghuddah.

* Perhatikan gambar yang saya lampirkan di sini. Itulah adab Syeikh Abd. Fattah Abu Ghuddah bersama gurunya Syeikh Mustofa al-Zarqa’.

Tuesday, 14 September 2010

Jejak Ziarah ke Teratak Tukya



Pada 4 Syawal baru-baru ini, Pemuda Iman (PI) telah mengunjungi saudara Azizi Abdullah di kediaman beliau di Kulim, Kedah sebagai mengisi kerangka program jejak ziarah PI ke atas personaliti-personaliti yang PI telah kenal pasti banyak menyumbang bakti kepada masyarakat.






Sedikit perkenalan dengan saudara Azizi Abdullah: beliau berasal dari Kota Kuala Muda, Kedah. Mendapat pendidikan menengah di Sekolah Dairatul Maarif Al Wataniah Kepala Batas, Seberang Perai Utara (sekolah kepunyaan allahyarham Datuk Hj. Ahmad Badawi, bapa mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi. klik di sini untuk membaca pengalaman Azizi dengan allahyarham Datuk Hj. Ahmad Badawi

Saudara Azizi Abdullah adalah nama besar dalam bidang penulisan kreatif tanah air dengan usia pengalaman menjangkau hampir 40 tahun menulis dan berceramah. Beliau sudah boleh mendabik dada dengan lebih 30 buah novel dan lebih 300 buah cerpen sepanjang tintanya berkarya, namun begitu Cikgu Azizi, mengikut nama panggilan mesranya, bukanlah seorang yang bangga hidung apabila dicungkil perasaannya mengenai buah-buah karyanya.

Sebaliknya, Cikgu Azizi menceritakan bagaimana beliau mencapai kemuncak kepuasan perasaannya setiap kali berjaya menerbitkan karya baru,apatah lagi jika karya itu berjaya mencetuskan polemik perdebatan kerana bagi beliau "ia membuka ruang kepada perbahasan ilmiah dan situasi ini bagus untuk perkembangan intelek".

Salah satu maha karya beliau ialah novel "Seorang Tua di Kaki Gunung" (STKG) yang pernah menjadi teks sastera KBSM sekitar tahun 80an. Pengalaman penulis membesar dalam lingkungan tahun-tahun tersebut pada pertengahan pendidikan rendah; menekuni SKTG begitu mengasyikkan dan memberi kesan terutama kepada perkembangan emosi penulis apabila dibawa oleh Cikgu Azizi mengembara ke dalam hidup Tukya yang bergelumang hidup di Gunung Bongsu, Kulim dan bagaimana Tukya mengalami situasi tidak enak dengan anaknya Fikri yang bekeluarga dan menetap di Kuala Lumpur.



Cikgu Azizi dianugerahkan Allah SWT bakat penceritaan yang tinggi dan halus yang jelas terserlah melalui permainan emosi Tukya meniti hari-hari tuanya berhadapan dengan pertentangan watak bapa-anak dengan Fikri yang semakin diresapi angin kekotaan KL. Para penggemar karya Cikgu Azizi mungkin sukar untuk melupakan bagaimana kisah Tukya melarikan diri dan terjun ke dalam kolam dan berpayungkan daun teratai demi menyelamatkan dirinya daripada disengat lebah pokok tualang ketika Tukya mahu menunjukkan cara-cara mengambil misan lebah kepada cucunya. Juga kehebatan Cikgu Azizi mengakhiri SKTG melalui detik-detik cemas terakhir Tukya ketika ditimpa dan dihimpit pokok balak gergasi di bawah kaki Gunung Bongsu.

SKTG pantas mendapat pengiktirafan di sana sini dan bahkan diangkat menjadi drama bersiri terbitan RTM sekitar tahun 80an di bawah arahan penulis skrip Zakaria Ariffin dengan watak Tukya dimainkan oleh Tamam Idris manakala Fikri, anak Tukya oleh Zulkifli Zain. SKTG terus harum apabila diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa asing seperti bahasa Inggeris dan bahasa Jepun.

Menerusi cakna minda kami dengan Tukya Azizi (Cikgu Azizi juga digelar begitu oleh khalayak penggemarnya dan beberapa rakan penulis beliau, Tukya juga sangat terkesan dengan novel tersohor beliau lewat beberapa tahun yang lalu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka bertajuk Sangeetha. Kisah ini menurut Tukya diangkat daripada kisah seorang wanita India tua di Gujerat, India yang mengalami diskriminasi kasta. Sangeetha ternyata karya yang agak meletihkan bagi Tukya; telah melalui suntingan demi suntingan demi memastikan buah tangan beliau yang terbaik sampai ke tangan khalayak pembaca. Tambahan pula, meladeni kisah wanita tua berbangsa bukan Melayu sesungguhnya menuntut ketekunan dan ketepatan fakta kerana ia mungkin dibaca oleh khalayak pembaca kaum lain juga.



Sangeetha secara ringkasnya menghikayatkan watak utama seorang janda tua India bernama Sangeetha diapit oleh watak Derus, lelaki tua Melayu yang mana kedua-dua watak utama ini dilanda sepi perasaan usia-usia senja mereka. Tukya Azizi berjaya menuang kemahiran penceritaan beliau dengan cemerlang ke dalam karya ini sehingga telah diadakan suatu forum dan filem pendek mengenai novel Sangeetha yang membariskan Tukya Azizi sendiri di samping Dr Rajantheran Muniandy dan saudara K. Balasubramaniam pada 14 Julai 2007

Beralih kepada isu-isu lain, Tukya Azizi menyifatkan hubungan beliau dengan Sasterawan Negara, Profesor Shahnon Ahmad sangat baik dan rapat, sehingga menurut beliau "macam anak dengan bapa". Maklumat terbaru daripada Tukya bahawa tahap kesihatan Sasterawan Negara Shahnon Ahmad sudah lebih baik daripada zaman kemerosotan kesihatannya seperti yang diketahui umum. Bahkan Prof. Shahnon baru-baru ini ada menghubungi Tukya, dan tidak lain tidak bukan isi perbualan mereka tidak lari daripada sastera dan ilmu!

Sesuatu yang mengagumkan Pemuda Iman tatkala mendapati walaupun Tukya Azizi sudah lama pencen sebagai guru akhir tahun 90an, beliau masih aktif menulis dan bergiat cergas dalam badan-badan bukan kerajaan dan persatuan penulis. Beliau kini cergas dalam Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Persatuan Penulis Pulau Pinang dan Persatuan Penulis Kedah, antara beberapa organisasi yang disebut beliau.

Tukya Azizi juga tidak lokek menceritakan serba sedikit pengalaman beliau dalam aktiviti politik kepartaian terutama ketika meniti kemuncak keterlibatannya sekitar akhir tahun 90an. Ternyata beliau sosok minda yang berkumpul di dalamnya bakat penulisan hebat dan aliran kefahaman mengenai Agama yang sangat baik dan tajam; jelas terpancar kepada kami apabila beliau ditanya mengenai salah satu tafsir Quran moden karya salah seorang ulama besar Mesir yang duduk terletak rapi di atas meja kopi yang menyambut kedatangan kami petang 4 Syawal itu. Kata Tukya "orang kita harus berani untuk membaca karya-karya besar agama yang kebelakangan ini. orang kita tidak harus takut untuk keluar daripada kepompong kitab-kitab kelaziman kita". Sungguh kata-kata Tukya itu membuka lagi ufuk minda Pemuda Iman.

Semoga catatan ringkas ziarah PI dapat menarik minat golongan muda untuk lebih mengenali Tukya Azizi Abdullah. Mulakan usaha mendapatkan karya-karya beliau, samada terdahulu atau terkini kerana PI menyifatkan Tukya Azizi sebuah permata yang berkilau. Tidak keterlaluan jika PI mengganggap Tukya sebagai salah seorang penulis utama dunia Melayu Islam pasca moden yang tampil dengan sisi kemanusiaan yang mendalam, dihiasi lelucon yang menggeletek, disulami loghat kedaerahan dan dengan suntikan-suntikan nilai Islam yang murni di dalam karya-karyanya.

Pemuda Iman mendoakan kesihatan dan keberkatan untuk Tukya dalam berkarya! Terima kasih Tukya di atas masa dan nasihat yang diluangkan dan juga cempedak goreng dan secawan teh O panas petang itu. Moga bertemu lagi insya Allah.

(Saudara Azizi Abdullah boleh diikuti melalui blognya...)

Pemuda Iman di Taiping
5 Syawal 1431 H

Monday, 13 September 2010

Dr. Ahmad Farouk Musa Dirawat di ICU HKL...




Pemuda Iman amat terkesan dengan berita Dr.Ahmad Farouk Musa, pengasas dan pengarah IRF - Islamic Renaissance Front yang sedang dirawat di ICU, Hospital Kuala Lumpur. Diberitakan beliau mengalami jangkitan virus.

Terasa baru sahaja Pemuda Iman, IRF dan al-ahkam.net menganjurkan program Seminar Tafsir Al-Quran. Dr. Ahmad Farouk merupakan orang kuat disebalik penganjuran program tersebut. Bukan semata-mata semangat, malah pengorbanan tenaga dan wang ringgit adalah sifat lazim bagi beliau.

Kami berdoa dan mengajak sahabat-sahabat berdoa agar beliau diberikan kesembuhan segera dari Allah SWT. Semoga keluarganya juga dianugerahkan kesabaran menempuh ujian ini.

Allahummasyfihi ya rabb...

Saturday, 11 September 2010

Melabelkan Ustaz 'Sunnah' 'Salafi' 'Manhaji' dan bukan...??

ADA USTAZ/KULIAH SUNNAH ADA YANG BUKAN?

Apa yang saya maksudkan ialah kecenderungan sebahagian sahabat pencinta ilmu dalam membezakan antara kuliah sunnah dan kuliah bukan sunnah. Atau apa yang digambarkan oleh sebahagian lagi dengan istilah kuliah 'ustaz' sunnah dan kuliah ustaz 'bukan' sunnah. Pembahagian ini telah lama wujud dalam kalangan sebahagian penuntut ilmu dan telah pun wujud dalam internet secara meluas. Ada yang mengiklankan kuliah tertentu dan tidak mengiklankan kuliah tertentu. Mengapa? Sebabnya ialah kuliah yang diiklankan itu disampaikan oleh ustaz yang 'bermanhaj', 'sunnah', 'salafi' dan sebagainya sedangkan kuliah lain tidak begitu.

TEGURAN YANG PERLU DIULANG KEPADA PENUNTUT ILMU

Saya pernah menulis tentang perkara ini secara peribadi dalam blog alitantawi.blogspot.com dan juga dalam laman web al-ahkam.net, namun saya merasakan bahawa perkara ini perlu diulang berkali-kali dan disebarluaskan agar salah faham dan kekeliruan tentang perkara ini dapat dikurangkan kalau pun tidak dapat dihapuskan.

Sesuatu yang amat menghairankan mengapa pembahagian ini disebut-sebut dalam kalangan penuntut ilmu yang masih lagi dalam proses pencarian ilmu. Adakah ilmu di dada sudah cukup sehingga mereka mampu membezakan golongan pendakwah dan ahli ilmu dengan pembahagian sehebat ini?

LABEL USTAZ SUNNAH MEMBAWA KEKELIRUAN

Kenapa perlu ada segolongan pendakwah atau segolongan ustaz dilabelkan dengan label 'ustaz sunnah'? Walaupun mereka yang melabelkan ini tidak secara jelas melabelkan orang lain sebagai 'bukan' sunnah, namun sesiapa sahaja dapat memahami bahawa label itu membawa label yang berlawanan dalam masa yang sama.

Mungkin ada yang berkata pembahagian ini adalah hak masing-masing dan setiap insan berhak membuat pilihan. Mungkin benar. Tetapi pilihan yang dibuat biarlah berdasarkan sebab dan alasan kukuh, bukan hanya kegopohan dan emosi.

Satu perkara yang sentiasa saya timbulkan ketika berbincang dengan sahabat-sahabat...siapa yang mampu memberikan kata putus ustaz ini
'sunnah', 'bermanhaj', 'salafi'? Adakah dengan hanya melihat ustaz itu sentiasa menyebut perkataan 'sunnah, salafi, manhaj'? Atau dengan hanya melihat kepada cara ustaz itu berpakaian atau rupa parasnya? Atau adakah dengan ukuran berapa banyak kritikan yang dikeluarkan ustaz itu dalam kuliahnya? Atau dengan hanya melihat perpustakaan di rumah ustaz itu yang banyak bukunya tanpa mengetahui adakah ia dibuka atau disimpan sekian lama?

Soalan saya yang amat jelas -

Pertama - ukuran apakah yang anda gunakan untuk melabelkan seseorang itu 'sunnah' atau 'bukan sunnah'?

Kedua - adakah anda mampu mengukur dan melabel sedangkan anda sendiri penuntut ilmu yang masih dalam proses mencari ilmu?

Ketiga - apakah kesan dari pembahagian sebegini? Adakah kesannya guru anda makin berkurang sehingga tinggal seorang dua saja guru? Itu yang kita inginkan?

dan dalam masa yang sama anda bercakap soal dakwah? Ini hakikat dakwah....

DAKWAH PERLU KERJASAMA, BUKAN PERPECAHAN

Kita amat memerlukan sikap muafakat dan gabungan kerjasama antara banyak pihak dalam menjayakan dakwah. Sikap melabelkan kuliah tertentu atau ustaz tertentu sebagai yang paling 'sunnah' atau paling tepat membawa dakwah akan mengguris hati sesetengah pihak dan juga paling penting ia akan mewujudkan kekeliruan dalam masyarakat yang inginkan ilmu. Kuliah mana yang ingin diikutinya? Sedangkan sepatutnya kita sebagai pendakwah seharusnya bersikap mesra dengan semua pendakwah. Sikap merendah diri sepatutnya wujud dalam mengajak masyarakat ke arah mendalami ilmu Islam tanpa membezakan antara pendakwah.

Pembahagian sebegini mewujudkan banyak kesan negatif sama ada kita akui atau tidak. Di antara kesannya (pada sebahagian masyarakat) ialah wujudnya sikap mengagungkan sebahagian pendakwah..dan yang paling serius ialah wujud bersama sikap ini sikap lain yang lebih merbahaya iaitu - merendahkan dan memperlekehkan pendakwah lain! Soalan paling penting untuk mereka yang terjebak dalam sikap ini ialah:

- atas dasar apa seseorang pendakwah itu diperlekehkan? Kalau pun ada kekurangan dan kesilapan, sememangnya manusia tidak terlepas dari melakukan kesilapan.

- adakah kita boleh menafikan sumbangan seseorang pendakwah (yang kita perlekehkan itu) hanya sekadar dia melakukan beberapa kesilapan? Mungkin pendakwah tersebut telah berbelas atau berpuluh tahun berdakwah. Bukankah jasa mereka lebih besar dari anda yang asyik merendahkan mereka?

- adakah dengan segelintir kecil ustaz-ustaz bermanhaj atau ustaz-ustaz 'sunnah' ini kita dapat mendalami banyak ilmu yang pelbagai tentang Islam? Ini satu kerugian.

USTAZ 'SUNNAH' SENDIRI MENAMBAHKAN KEKELIRUAN

Paling menyedihkan ialah terdapat segelintir ustaz-ustaz yang diagungkan ini pula yang menambahkan lagi kekeliruan pengikutnya dengan membuat penilaian-penilaian gopoh tentang pendakwah lain atau aliran dakwah lain.

Agaknya kerana pengikut yang terlalu memujinya menyebabkan mereka terkena beberapa penyakit:

Pertama - penyakit memandang rendah kepada hasil usaha dan jasa dakwah pendakwah dan ahli ilmu lain. Apa sahaja yang dibuat oleh orang lain dianggap 'tidak penting', 'tidak aula', 'perkara remeh'.

Kedua - penyakit tidak membuat kajian baru dan tidak lagi menambah ilmu. Agaknya ilmu sudah cukup dengan hanya satu dua buku dalam sesuatu bidang?

Ketiga - penyakit mengkritik dan menolak tanpa ilmu, tapi dengan hanya
hujah yang bukan hujah iaitu 'label'. Dengan label dan gelaran, hujah tidak lagi diperlukan.

Saya masih ingat ketika al-ahkam.net mula mengetengahkan beberapa isu yang agak baru (walaupun hakikatnya sudah lama dalam dunia ilmu) contohnya seperti perbezaan manhaj kajian hadith antara ulama terdahulu dan kemudian (persoalan manhaj al-mutaqaddimin dan al-mutaakhirin)..terdapat suara-suara sumbang yang tidak senang dan mengkritik. Tetapi hakikatnya tidak ada kritikan yang ilmiah. Malah tidak ada penulisan yang dibuat oleh mereka yang mengkritik walaupun kedengarannya mereka mempunyai pelbagai ijazah dalam bidang hadith. Sedangkan pada hakikatnya al-ahkam.net hanya menterjemahkan perbincangan yang berlaku dalam dunia ilmu hadith dan bukannya membawa dakwaan baru.

Kegagalan sebahagian pihak untuk memahami isu ini mungkin juga berpunca daripada cara penerangan panel hadith al-ahkam.net memberi penjelasan. Namun terdapat segolongan yang mendakwa mereka bermanhaj telah menolak isu ini bukan dengan perbincangan, tetapi dengan melabelkan al-ahkam.net dan panel hadith dengan label tertentu. Inilah hasil membeza-bezakan pendakwah sehingga isu ilmiah tidak diberikan haknya yang sepatutnya.

BUKAN MAKSUD TIDAK BOLEH MENEGUR ATAU MENGKRITIK

Adakah tulisan saya bermaksud kita tidak boleh menegur atau mengkritik pendakwah? Tidak sama sekali. Tetapi biarlah kritikan kita itu mempunyai hadnya, disiplinnya dan adabnya. Bukan dengan cara membahagikan terus - pendakwah ini ok, pendakwa ini tak ok. Pendakwah ini salafi, pendakwah ini bukan salafi (anda tahu apa itu salafi sebenar?). Pendakwah ini bermanhaj, pendakwah ini tak ada manhaj. Pendakwah ini ok, pendakwah ini tak boleh pakai. Ini bukan kritikan ilmiah....ini bukan cara menegur yang betul..ini ibarat kita menolak SEMUA kebaikan pendakwah itu hanya dengan SATU atau BEBERAPA kesilapan. Itu yang saya tolak dalam tulisan ini.

ILMU TENTANG ISLAM PERLU DIPELAJARI DARI PELBAGAI GURU DAN SUMBER

Apabila kita membaca sejarah hidup tokoh-tokoh Islam sepanjang zaman, tidak pernah kita temui mereka membahagikan guru-guru mereka sehingga mereka hanya mengambil ilmu dari guru tertentu dan meninggalkan guru tertentu.

Namun apa yang kita temui ialah mereka mempunyai beratus malah beribu orang guru. Adakah kita yakin mereka bersetuju dan sependapat dengan kesemua guru mereka itu? Sudah pasti mereka berbeza pandangan dengan guru-guru mereka namun untuk mendapatkan ilmu, kita tidak boleh meninggalkan guru tertentu hanya dengan sebab terdapat perbezaan pandangan. Itu amat merugikan diri kita sendiri.

Masih saya ingat terdapat sebahagian penuntut ilmu di Jordan yang tidak belajar dengan guru tertentu hanya kerana manhaj yang berlainan. Masih saya ingat ada yang tidak pergi belajar dengan salah seorang pensyarah atau ulama hanya dengan label tertentu. Syuaib al-Arnaout yang merupakan di antara ulama terkemuka di Jordan sebagai contoh. Saya pernah mendengar bahawa ada seorang penuntut ilmu di sana yang tidak langsung belajar dengan beliau sepanjang berada di sana hanya kerana sebab - Syeikh Syuaib tidak salafi!

Sedangkan guru-guru seperti Syuaib dan lain-lain lagii merupakan alim ulama terkenal yang menjadi tumpuan penuntut ilmu seluruh dunia Islam. Ada yang mengimpikan dari jauh untuk belajar dengan mereka sedangkan kita langsung tidak pergi menuntut ilmu dengan mereka yang berada hanya di depan mata! Sudah pasti mereka mempunyai kelemahan tertentu tetapi apakah itu menjadi sebab untuk kita terus kekal belajar hanya dengan beberapa orang guru? Kalaupun benar mereka ada kelemahan...bandingkan dengan kelemahan diri kita!

Tidak mengapa jika kita mempunyai alasan lain untuk tidak berguru dengan pendakwah tertentu seperti - terlalu jauh atau terlalu sibuk. Mungkin itu boleh diterima. Tetapi dengan menggunakan alasan 'tidak sunnah' atau 'tidak bermanhaj' malah 'tidak salafi' ...itu satu kerugian dalam pencarian ilmu.

MASIH INGAT LAGI SIAPA GURU KITA SEJAK KECIL?

Bukankah kita sejak kecil menjadi celik agama dengan belajar di tangan ustaz-ustaz yang pelbagai? Siapakah yang berjasa mendidik kita untuk mengenali huruf Al-Quran, membacanya...mengenali tentang Rasulullah s.a.w. dan hadith-hadith Baginda...mengajar kita tentang cara beribadah...mendidik kita akhlak mulia...bukankah mereka itu yang kini kita labelkan sebagai 'bukan sunnah' atau 'tidak bermanhaj'?? Kenapa mudah sangat kita lupa jasa mereka?

saya terfikir sendirian...siapakah mereka ini untuk membezakan antara pendakwah dengan gelaran tertentu? Ada yang tidak lancar membaca Al-Quran, hanya menghafal beberapa ayat, ada yang tidak tahu langsung membaca buku-buku dalam Bahasa Arab, tidak pernah langsung belajar asas-asas ilmu Islam seperti Usul Hadith, Usul Fiqh, tidak pernah walau sekali selesai mempelajari satu kitab dari mazhab fiqh....

APA KELAYAKAN ANDA UNTUK MELABELKAN PENDAKWAH DAN USTAZ TANPA ALASAN ILMU??

HARAPAN

Saya amat berharap sahabat-sahabat penuntut ilmu agar menuntut ilmu dari pelbagai sumber dan dari pendakwah-pendakwah yang ramai di Malaysia. Sekiranya kita mempunyai pandangan berbeza itu tidak mengapa selagi mana kita mempunyai ilmu untuk membezakan mana yang patut diikut dan mana yang tidak.


Namun dengan hanya 'label' yang menjadi asas ukuran menolak atau menerima...itu bukan ilmu...itu anganmu!!

Friday, 10 September 2010

Ziarah Mahabbah Pemudaiman

1. Pada tanggal 8hb September (Rabu), sahabat pemudaiman telah mengadakan program ziarah ukkhuwwah dan mahabbah ke Hospital Alor Setar (hospital lama) untuk melawat sahabat kami yang baru selesai menjalani pembedahan akibat serangan strok. Ust Syauqi, Ir Hairizal (Pak Syeikh), Dr Faiz, Ust Azmir, Ust Adlan dan Dr Naimi telah diberikan kelapangan masa oleh Allah SWT untuk menziarahi Mohd Hanif yang mengalami strok. Alhamdulillah, keadaan beliau amat baik dari yang dijangkakan. Beliau masih mampu bercakap dengan baik, manakala ingatan beliau juga baik. Cuma kesakitan selepas pembedahan masih dirasainya. Begitu juga tangan dan kaki kiri beliau belum dapat digerakkan. Tetapi menurut isteri beliau, Mohd Hanif perlu menjalani sesi fisiotrapi untuk memulihkan pergerakkan tangan dan kaki kiri beliau. Beliau berterima kasih kepada para sahabat yang mendoakan kesihatan beliau. Sesungguhnya keadaan kesihatan beliau amat menginsafkan kami semua yang menziarahi beliau.

2. Seusai menziarah beliau, pemudaiman telah mengadakan iftar ukhuwwah di Restoran Nelayan di Kuala Kedah. Ucapan jutaan terima kasih kepada Pak Syeikh kerana sudi mengatur iftar ini dan sponsor jamuan tersebut. Alangkah indahnya nikmat bersahabat pada jalan Allah SWT. Bertemu dan berpisah keranaNya. Semoga lebih banyak perjumpaan informal sebegini diadakan di masa hadapan.

3. Harapan kami ialah lebih ramai lagi sahabat yang boleh menziarahi Mohd Hanif di hospital sebagai sokongan moral untuk memulihkan kesihatan beliau. Kami juga berharap agar dapat bertemu dengan lebih ramai lagi sahabat pemudaiman seluruh negara untuk memantapkan lagi usaha dakwah kita, insyaAllah.

Mencari Keberkatan Di Eid al-Fitr...


Kami di laman blog Pemuda Iman ingin mengingatkan diri kami dan para sahabat yang sudi melayari laman ini agar berusaha dan berdoa mencari keberkatan sempena tibanya Hari Raya yang mulia.

Di waktu kita bersuka, tidak lupa juga kepada mereka yang menanggung beban sama ada kesakitan atau kepayahan dalam semua aspek. Eloklah kita berusaha untuk membantu meringankan bebanan itu walaupun sekadar doa yang ikhlas dipanjatkan kepada Yang Esa.

Kami khususkan salam keberkatan Eid ini untuk salah seorang sahabat penggerak Pemuda Iman, Cikgu Mohd. Hanif. Semoga Allah SWT memberikan kekuatan dan ketabahan untuknya dan keluarganya. Insya Allah hari demi hari, beliau akan kembali sihat seperti sediakala.

Terima kasih kepada semua yang sudi membaca, berkongsi maklumat, memberi idea bernas untuk membina, juga yang menghadiri majlis ilmu dan tidak lupa juga yang berdoa dan menyokong.

Semoga Allah SWT mengampunkan dosa-dosa yang lalu...
menguatkan keazaman menempuh hari-hari mendatang...
mencari keberkatan....

Allahu Akbar... wa lillahil hamd...

Friday, 3 September 2010

Mohd Hanif Shahabuddin

Salah seorang penggerak utama pemudaiman iaitu Saudara Mohd Hanif Shahabudin, 32 tahun, kini diberitakan mengalami strok. Beliau sekarang dibawa dari Langkawi ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk menjalani pembedahan segera. Mohon dari semua sahabat (khususnya SMKAK '95) agar dapat mendoakan keselamatan beliau yang dilaporkan dalam situasi yang agak serius dan kritikal. Mohon juga didoakan kekuatan buat ahli keluarga beliau dalam menghadapi situasi yang mencemaskan ini.
(gambar beliau bersama ahli pemudaiman yang lain sebelum beliau berpindah ke Langkawi)

Wednesday, 1 September 2010

MUTIARA WAHYU 17: ‘IBRAH DARI SURAH YUSUF (FITNAH 4: FITNAH DIPENJARA)

Firman Allah SWT SWT dalam Surah Yusuf; 12:30-36:

Yusuf (merayu kehadrat Allah SWT dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya".Maka Tuhannya memperkenankan doanya, lalu dijauhkan daripadanya tipu daya mereka; sesungguhnya Allah SWT jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.Kemudian timbul fikiran bagi suami perempuan itu, serta orang-orangnya hendak memenjarakan Yusuf sesudah mereka nampak tanda-tanda (yang menghendaki supaya Yusuf dijauhkan) hingga ke suatu masa. Dan masuklah bersama-samanya ke penjara dua orang khadam raja. Salah seorang di antaranya (bertanya kepada Yusuf dengan) berkata: "Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku memerah anggur ". Dan berkata pula yang seorang lagi: "Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku menjunjung roti atas kepalaku, yang sebahagiannya dimakan oleh burung." (kemudian keduanya berkata): "Terangkanlah kepada kami akan takbirnya. Sesungguhnya kami memandangmu: dari orang-orang yang berbuat kebaikan (untuk umum)".

Tafsiran ringkas:

Kisah berikutnya ini merupakan kisah fitnah terakhir dalam hidup nabi Yusuf iaitu fitnah penjara. Ianya bermula dengan perasaan terhinanya Zulaika kerana penolakan nabi Yusuf memenuhi nafsunya, perasaan malu dihadapan suaminya yang mendapati tuduhannya terhadap baginda adalah palsu belaka, dan perasaan tidak senang dengan umpatan para perempuan bangsawan di negeri itu terhadap kisah antaranya dan baginda. Setelah berlakunya peristiwa wanita-wanita bangsawan itu terpotong tangan mereka sendiri kerana takjub melihat kehebatan dan ketampanan baginda, maka Zulaikha dengan sokongan wanita-wanita tadi merancang untuk memenjarakan Yusuf dengan harapan untuk menyedarkan Yusuf, siapa tuan istana itu. Namun bagi nabi Yusuf, baginda lebih rela dipenjara dari melakukan kemaksiatan yang menjatuhkan maruahnya dan maruah tuannya. Maka bermunajatlah baginda kepada Allah SWT. Maka dengan izin Allah SWT jua, baginda dipenjarakan dengan tuduhan baginda membawa cerita yang memalukan zulaika dan pembesar itu. Yusuf dituduh menjaja cerita penggodaan Zulaikha kepada pengetahuan orang luar istana yang mana dia telah berjanji menyimpan cerita tersebut dihadapan pembesar itu. Maka dihumbanlah Yusuf ke dalam penjara untuk beberapa tahun berikutnya. Dan bersamanya dipenjara adalah 2 orang yang akan menjadi penyebab baginda berada agak lama dalam penjara dan penyebab dia dibebaskan dan diangkat ke kedudukan yang lebih mulia dalam kerajaan.

Ulasan:

1) Bahaya Lidah:
Fitnah penjara yang dihadapi Yusuf adalah kesan dari kejahatan lidah yang dibawa oleh para wanita bangsawan tersebut. Jahatnya lidah mereka apabila mereka mengumpat (Ghibah) dan mengadu domba (Namimah), menyindir-nyindir di belakang Zulaikha yang menyebabkan zulaika mencari jalan untuk ‘mengajar’ nabi Yusuf. Pangajarannya disini ialah haram hukumnya sebarang bentuk mengumpat dan wajib bagi kita menjauhi sebarang majlis yang terdapat dalamnya ada orang-orang yang mengumpat. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Nisa’: 140:

Maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang manufik dan orang kafir di dalam neraka jahannam

2) Kepentingan Tasbih: Ketika terpukau dengan ketampanan Yusuf, terkeluar dari mulut wanita-wanita bangsawan itu satu kalimah yang tidak disangka-sangka walaupun sebelum itu kejahatan lidah mereka lebih tajam dari mata pedang. Mereka menyebut: Haasha lillah! (Maha suci Allah SWT!). Satu kalimah yang membuktikan masih ada saki baki ajaran nabi sebelum Yusuf yang kekal dalam masayarakat mereka ketika itu. Memberi kita satu petunjuk yang mendalam. Kita digalakkan untuk bertasbih kepada Allah SWT setiap kali kita melihat sebarang ciptaanNya yang mengagumkan hati sebagai pengiktirafan: Ya Allah! Maha Suci Engkau, hanya Engkau sebaik-baik Pencipta, hebatnya Engkau dalam setiap penciptaan Engkau. Betapa lemahnya kami. Kagumnya kami dengan ciptaanMu. Kalimah ini mengikat kita agar tidak kufur dengan segala nikmat yang dianugerahkan Allah SWT kepada kita. Sesungguhnya setiap makhluq Allah SWT diciptakan untuk bertasbih kepadaNya. Firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’: 44:
Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatupun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.
Jadi, mengapa susah benar untuk kita manusia untuk membasahkan lidah kita dengan bertasbih kepadaNya?

3) Kemerdekaan Jiwa: Kehebatan nabi Yusuf bukan setakat ketampanan, ilmu hikmah dan budi pekerti baginda. Tetapi baginda menunjukkan sifat kemerdekaan jiwa yang hakiki. Bagi baginda, soal ini adalah soal kebebasan. Disuruh keluar untuk dipertontonkan ketampanan baginda boleh dipatuhi atas dasar dia seorang suruhan dirumah itu. Tetapi kalau disuruh melayani hawa nafsu jahat, baginda sama sekali tidak bersedia menggadaikan kebebasan maruah dan jiwanya. Apalah gunanya hidup dengan penuh kemewahan tetapi jiwa tidak merdeka bebas menunaikan tanggungjawab sebagai hambaNya. Kesanggupan baginda untuk dipenjarakan merupakan satu pendirian yang tegas. Seperti yang berlaku di zaman Rasulullah SAW apabila baginda ditawarkan segala kenikmatan dunia agar baginda meninggalkan dakwah, tetap baginda tegas dalam dakwah walaupun disiksa, dipulau oleh kaum kerabat sendiri. Munajat nabi Yusuf kepada Allah SWT di sini bukan bermaksud mendoakan keburukan untuk diri sendiri. Tetapi untuk mengelak perbuatan maksiat yang lebih besar mudaratnya iaitu berzina. Maka jika penjara adalah tempat yang terbaik maka baginda rela. Jika jalan sudah gelap, bahaya telah mengancam dari kiri dan kanan maka segeralah mendekatkan diri dengan Allah SWT, bermunajat kepadaNya kerana Dia benteng sejati bagi hamba-hambaNya yang lemah.

4) Konsep Dakwah: Kalau dirujuk kepada Tafsir Ibn Kathir, kita akan dapati menurut riwayat Ibn Abbas bahawa nabi Yusuf begitu mahsyur di kalangan orang di penjara selepas baginda dihumban ke dalamnya. Ini disebabkan sifat ihsan baginda iaitu suka menolong orang lain, beramanah dan jujur dalam berkata-kata, banyak beribadat, suka melawat orang yang sakit, menolong kepada yang kesempitan. Justeru sekali lagi Allah SWT menggelarkan baginda sebagai al-Muhsinin. Kesannya amat menakjubkan. Baginda mendapat kepercayaan dan penghormatan mereka. Lalu baginda menggunakan peluang ini untuk berdakwah ajaran Tawhid yang mengesakan Allah SWT. Sebab baginda mendapati mereka telah jauh sesat menyekutukan Allah SWT. Dalam kisah ini kita dapati baginda menggunakan segala kesempatan yang ada untuk berdakwah dan tidak mengeluh kesukaran hidupnya dipenjara. Setiap peluang perlu direbut sebaik mungkin. Antara metod dakwah yang diguna baginda ialah:

a) Penggunaan kata-kata yang mendekatkan diri pendakwah dengan orang yang didakwah. Dalam Al-Quran baginda memanggil kedua pemuda yang bertanya tentang mimpi mereka untuk ditakwil dengan panggilan yang amat mesra: Ya Sahibi (Wahai Sahabat Ku) melambangkan tawadhuknya baginda. Justeru menjadikan hubungan mereka lebih mesra dan memudahkan kerja dakwah.

b) Kerja dakwah tidak terikat dengan kesempitan tempat, masa dan keadaan. Susah atau senang kerja dakwah perlu diteruskan. Jangan bertangguh dalam berdakwah. Berkata Dr. Aidh al-Qarni: Nabi Yusuf tidak pernah melupakan kerja dakwah untuk agama Allah SWT meskipun baginda berada dalam penjara. Bagaimana pula dengan orang bebas yang memiliki harta, jiwa dan kesihatan diri?

c) Berdakwah bukan setakat dengan lisan, tetapi dengan akhlaq dan budi pekerti yang mulia. Akhlaq baginda ketika sebelum penjara dan semasa dalam penjara adalah sama. Penuh dengan Ihsan. Terpikat mereka berdua untuk menghampiri dan berbaik dengan nabi Yusuf kerana budi pekerti baginda. Action speaks louder than word!

d) Berdakwah perlu dengan ilmu, hujjah dan bukti yang meyakinkan. Bukan dengan paksaan mata pedang atau ugutan kewangan. Seperti firman Allah SWT SWT dalam Surah al-Ghashiyah: 21-22:
Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (wahai Muhammad, kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan; Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam yang engkau sampaikan itu).

5) Mimpi: Persoalan tentang mimpi merupakan isu yang mendalam dan penuh perdebatan. Cuma yang perlu kita pelajari ialah panduan Sunnah Rasulullah SAW dalam hal mimpi. Antaranya hadith dari Abu Said Al-Khudri sabda Nabi SAW: Jika sesiapa antara kamu melihat dalam mimpinya sesuatu yang menggembirakannya maka sesungguhnya ianya dari Allah SWT jadi bertahmidlah kepadaNya (Alhamdulillah) dan khabarkan tentangnya kepada orang lain. Jika sesiapa antara kamu yang melihat pula sesuatu yang dibencinya maka sesungguhnya ianya dari syaitan maka mohonlah perlindungan kepada Allah SWT (isti’azah) dari kejahatannya dan janganlah berkongsi tentangnya kepada sesiapa pun maka ia tidak akan memudharatkannya. (Al-Bukhari). Dalam hadith yang lain dari Jabir sabda Nabi SAW: Jika sesiapa antara kamu melihat dalam mimpinya sesuatu yang dibencinya maka ludahlah tiga kali ke kirinya, mohonlah perlindungan kepada Allah SWT (isti’azah) dari kejahatan syaitan tiga kali dan ubahlah posisi tidurnya. (Muslim). Maka fahamlah kita di sini beberapa pengajaran:

i) Secara umumnya terdapat 2 jenis mimpi yang dilihat manusia dalam tidurnya (ada juga hadith menyebut 3 jenis mimpi):
a) mimpi benar dari Allah SWT yang membawa berita gembira dan peringatan kepada orang-orang salih yang hampir dengan Allah SWT di sebut sebagai Rukyah Salihah
b) mimpi dari syaitan yang cuba menyesatkan manusia dari melaksanakan ajaran Islam atau yang dibenci manusia.

ii) Jika mimpi itu dari Allah SWT maka sunnahnya ialah bertahmid kepada Allah SWT dan berkongsi mimpi tersebut kepada seseorang. Berkata Dr. Aidh al-Qarni: Boleh bagi seseorang untuk berbincang dengan orang yang disayangi (isteri) tentang apa yang dilihat (dalam mimpi) dan kebaikan yang dia perolehi. Mudah-mudahan dia didoakan mendapat kebaikan dunia dan akhirat.

iii) Jika mimpi itu dari syaitan maka sunnahnya ialah ludah tiga kali ke kiri sambil isti’azah tiga kali juga, mengubah posisi tidur dan tidak menceritakan mimpi itu.

Berakhirlah sudah kisah fitnah yang menimpa nabi Yusuf. Kisah-kisah selepas fasa fitnah ini merupakan satu bentuk ganjaran dari Allah SWT kepada baginda kerana kesabaran dan keihsanan baginda dalam menhadapi segala fitnah dalam hidup baginda.