Alhamdulillah, pemudaiman amat bersyukur kerana dengan RahmatNya dan HidayatNya, setelah berusaha sedaya mampu dalam bidang dakwah Islamiah melalui karya-karya artikel ringkas, padat dan mudah, kami berjaya menerbitkan karya sulung kami iaitu buku Mutiara Wahyu. Sinopsis ringkas mengenai buku Mutiara Wahyu: Buku yang mengandungi 104 muka surat dan dibahagikan kepada 18 tajuk perbincangan yang dinamakan Mutiara Wahyu, merupakan kompilasi artikel ringkas yang telah diusahakan sejak pemudaiman ditubuhkan setahun yang lalu melalui kolum Mutiara Wahyu. Meminjam kata-kata saudara Norshahnaz dalam blog http://abuwafi98.wordpress.com/:
"Ianya dipersembahkan untuk bacaan dan memenuhi kefahaman orang awam yang mungkin sibuk untuk memahami ayat-ayat Al-Quran secara mendalam. Tiada masa untuk menelusuri tafsir secara terperinci, buku ini mempersembahkan ‘gist’ atau perincian penting di dalam Al-Quran yang boleh dikutip dan diamalkan. "
Tujuan penerbitan buku ini bukanlah untuk menonjolkan kehebatan ilmu si penulis atau aktifnya pemudaiman berbanding badan dakwah yang lain. Tetapi untuk memenuhi tuntutan dakwah Islamiah yang memerlukan kepelbagaian dalam metod dakwah;melalui alam maya dan buku tulisan- serta melihatkan kepada kerencaman latarbelakang manusia; ada yang mahukan bacaan ilmiah yang berat dan ada yang mahukan bacaan berfaedah yang mudah faham,santai dan murah. Atas pertimbangan tersebut maka buku ini diterbitkan. Buku Mutiara Wahyu ini boleh disifatkan sebagai:
Buku yang isinya mudah faham (understandable), reka bentuknya yang mudah bawa dan santai(mobile), harganya yang berpatutan (reasonable) di samping padatnya dengan tazkirah dan ilmu (comprehensive) yang diperlukan oleh semua yang ingin memahami ayat-ayat Al-Quran.
Buku ini amat sesuai untuk semua lapisan masyarakat dari golongan profesional dan bukan profesional, para pelajar universiti dan sekolah, yang muda mahupun yang sudah berusia, khususnya mereka yang mempunyai kesedaran untuk memahami kehendak wahyu Ilahi. Buku ini juga sesuai digunakan untuk perbincangan di kalangan muslimin di surau-surau dan masjid-masjid. Terutama sekali bagi pelajar Matrikulasi UIAM yang pernah atau akan mengambil subjek FIM1233 (Basic Themes of Al-Quran), buku ini amat sesuai untuk mengingati kembali semua yang pernah dan akan dipelajari dalam subjek tersebut.
Pemudaiman berharap agar kehadiran buku Mutiara Wahyu dipersada industri penulisan buku dapat memberi nilai tambah kepada dakwah Islamiah untuk masyarakat Islam yang sentiasa dahagakan hidayah wahyu terkandung dalam al-Quran. Adalah diharapkan juga agar para pembaca dapat menghebahkan penerbitan buku ini kepada sahabat handai, saudara mara, dan ahli keluarga masing-masing sebagai satu bentuk dakwah oleh anda sendiri. Bayangkan, sekiranya anda membeli buku ini sudah pun dianggap infaq fi sabilillah. kemudian anda menghebahkan kebaikan buku ini kepada yang lain sehingga mereka membeli, membaca dan mengamalkan apa yang terkandung di dalamnya, sudah pasti setiap usaha anda akan diganjari olehNya. Sabda Rasulullah SAW: Apabila matinya anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: Sadaqah Jariah, Ilmu yang memberi manfaat, dan anak soleh yang sentiasa mendoakannya. Sabda baginda dalam hadith yang lain: “Sesiapa yang memulakan satu sunnah yang baik di dalam Islam dia akan memperolehi ganjarannya dan ganjaran orang yang melakukannya selepasnya dengan tidak kurang sedikitpun ganjaran mereka. Dan sesiapa yang memulakan satu sunnah yang buruk di dalam Islam dia akan menanggung dosanya dan dosa orang yang melakukannya selepasnya dengan tidak kurang sedikitpun dosa-dosa mereka.
Marilah sama-sama kita bantu membantu dalam kerja dakwah ini. Firman Allah SWT: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya). (al-Maidah: 2)
Persoalan sekarang, adakah anda bersama kami?
3 comments:
tahniah..
semoga akan menjadi satu wadah yg berguna utk kita semua..semoga penerbitan sulong ini akan menjadi aspirasi untuk karya seterusnya teruskan berdakwah..
terima kasih atas sokongan saudara.
semoga lebih ramai yg mdapat faedah dari buku dan blog ini.
buku ini masih dlm perjalanan ke leicester, UK. moga sampai dengan selamatnya...
Post a Comment