'..sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk' [Surah al-Kahfi, ayat 13]
Tuesday, 14 September 2010
Jejak Ziarah ke Teratak Tukya
Pada 4 Syawal baru-baru ini, Pemuda Iman (PI) telah mengunjungi saudara Azizi Abdullah di kediaman beliau di Kulim, Kedah sebagai mengisi kerangka program jejak ziarah PI ke atas personaliti-personaliti yang PI telah kenal pasti banyak menyumbang bakti kepada masyarakat.
Sedikit perkenalan dengan saudara Azizi Abdullah: beliau berasal dari Kota Kuala Muda, Kedah. Mendapat pendidikan menengah di Sekolah Dairatul Maarif Al Wataniah Kepala Batas, Seberang Perai Utara (sekolah kepunyaan allahyarham Datuk Hj. Ahmad Badawi, bapa mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi. klik di sini untuk membaca pengalaman Azizi dengan allahyarham Datuk Hj. Ahmad Badawi
Saudara Azizi Abdullah adalah nama besar dalam bidang penulisan kreatif tanah air dengan usia pengalaman menjangkau hampir 40 tahun menulis dan berceramah. Beliau sudah boleh mendabik dada dengan lebih 30 buah novel dan lebih 300 buah cerpen sepanjang tintanya berkarya, namun begitu Cikgu Azizi, mengikut nama panggilan mesranya, bukanlah seorang yang bangga hidung apabila dicungkil perasaannya mengenai buah-buah karyanya.
Sebaliknya, Cikgu Azizi menceritakan bagaimana beliau mencapai kemuncak kepuasan perasaannya setiap kali berjaya menerbitkan karya baru,apatah lagi jika karya itu berjaya mencetuskan polemik perdebatan kerana bagi beliau "ia membuka ruang kepada perbahasan ilmiah dan situasi ini bagus untuk perkembangan intelek".
Salah satu maha karya beliau ialah novel "Seorang Tua di Kaki Gunung" (STKG) yang pernah menjadi teks sastera KBSM sekitar tahun 80an. Pengalaman penulis membesar dalam lingkungan tahun-tahun tersebut pada pertengahan pendidikan rendah; menekuni SKTG begitu mengasyikkan dan memberi kesan terutama kepada perkembangan emosi penulis apabila dibawa oleh Cikgu Azizi mengembara ke dalam hidup Tukya yang bergelumang hidup di Gunung Bongsu, Kulim dan bagaimana Tukya mengalami situasi tidak enak dengan anaknya Fikri yang bekeluarga dan menetap di Kuala Lumpur.
Cikgu Azizi dianugerahkan Allah SWT bakat penceritaan yang tinggi dan halus yang jelas terserlah melalui permainan emosi Tukya meniti hari-hari tuanya berhadapan dengan pertentangan watak bapa-anak dengan Fikri yang semakin diresapi angin kekotaan KL. Para penggemar karya Cikgu Azizi mungkin sukar untuk melupakan bagaimana kisah Tukya melarikan diri dan terjun ke dalam kolam dan berpayungkan daun teratai demi menyelamatkan dirinya daripada disengat lebah pokok tualang ketika Tukya mahu menunjukkan cara-cara mengambil misan lebah kepada cucunya. Juga kehebatan Cikgu Azizi mengakhiri SKTG melalui detik-detik cemas terakhir Tukya ketika ditimpa dan dihimpit pokok balak gergasi di bawah kaki Gunung Bongsu.
SKTG pantas mendapat pengiktirafan di sana sini dan bahkan diangkat menjadi drama bersiri terbitan RTM sekitar tahun 80an di bawah arahan penulis skrip Zakaria Ariffin dengan watak Tukya dimainkan oleh Tamam Idris manakala Fikri, anak Tukya oleh Zulkifli Zain. SKTG terus harum apabila diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa asing seperti bahasa Inggeris dan bahasa Jepun.
Menerusi cakna minda kami dengan Tukya Azizi (Cikgu Azizi juga digelar begitu oleh khalayak penggemarnya dan beberapa rakan penulis beliau, Tukya juga sangat terkesan dengan novel tersohor beliau lewat beberapa tahun yang lalu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka bertajuk Sangeetha. Kisah ini menurut Tukya diangkat daripada kisah seorang wanita India tua di Gujerat, India yang mengalami diskriminasi kasta. Sangeetha ternyata karya yang agak meletihkan bagi Tukya; telah melalui suntingan demi suntingan demi memastikan buah tangan beliau yang terbaik sampai ke tangan khalayak pembaca. Tambahan pula, meladeni kisah wanita tua berbangsa bukan Melayu sesungguhnya menuntut ketekunan dan ketepatan fakta kerana ia mungkin dibaca oleh khalayak pembaca kaum lain juga.
Sangeetha secara ringkasnya menghikayatkan watak utama seorang janda tua India bernama Sangeetha diapit oleh watak Derus, lelaki tua Melayu yang mana kedua-dua watak utama ini dilanda sepi perasaan usia-usia senja mereka. Tukya Azizi berjaya menuang kemahiran penceritaan beliau dengan cemerlang ke dalam karya ini sehingga telah diadakan suatu forum dan filem pendek mengenai novel Sangeetha yang membariskan Tukya Azizi sendiri di samping Dr Rajantheran Muniandy dan saudara K. Balasubramaniam pada 14 Julai 2007
Beralih kepada isu-isu lain, Tukya Azizi menyifatkan hubungan beliau dengan Sasterawan Negara, Profesor Shahnon Ahmad sangat baik dan rapat, sehingga menurut beliau "macam anak dengan bapa". Maklumat terbaru daripada Tukya bahawa tahap kesihatan Sasterawan Negara Shahnon Ahmad sudah lebih baik daripada zaman kemerosotan kesihatannya seperti yang diketahui umum. Bahkan Prof. Shahnon baru-baru ini ada menghubungi Tukya, dan tidak lain tidak bukan isi perbualan mereka tidak lari daripada sastera dan ilmu!
Sesuatu yang mengagumkan Pemuda Iman tatkala mendapati walaupun Tukya Azizi sudah lama pencen sebagai guru akhir tahun 90an, beliau masih aktif menulis dan bergiat cergas dalam badan-badan bukan kerajaan dan persatuan penulis. Beliau kini cergas dalam Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Persatuan Penulis Pulau Pinang dan Persatuan Penulis Kedah, antara beberapa organisasi yang disebut beliau.
Tukya Azizi juga tidak lokek menceritakan serba sedikit pengalaman beliau dalam aktiviti politik kepartaian terutama ketika meniti kemuncak keterlibatannya sekitar akhir tahun 90an. Ternyata beliau sosok minda yang berkumpul di dalamnya bakat penulisan hebat dan aliran kefahaman mengenai Agama yang sangat baik dan tajam; jelas terpancar kepada kami apabila beliau ditanya mengenai salah satu tafsir Quran moden karya salah seorang ulama besar Mesir yang duduk terletak rapi di atas meja kopi yang menyambut kedatangan kami petang 4 Syawal itu. Kata Tukya "orang kita harus berani untuk membaca karya-karya besar agama yang kebelakangan ini. orang kita tidak harus takut untuk keluar daripada kepompong kitab-kitab kelaziman kita". Sungguh kata-kata Tukya itu membuka lagi ufuk minda Pemuda Iman.
Semoga catatan ringkas ziarah PI dapat menarik minat golongan muda untuk lebih mengenali Tukya Azizi Abdullah. Mulakan usaha mendapatkan karya-karya beliau, samada terdahulu atau terkini kerana PI menyifatkan Tukya Azizi sebuah permata yang berkilau. Tidak keterlaluan jika PI mengganggap Tukya sebagai salah seorang penulis utama dunia Melayu Islam pasca moden yang tampil dengan sisi kemanusiaan yang mendalam, dihiasi lelucon yang menggeletek, disulami loghat kedaerahan dan dengan suntikan-suntikan nilai Islam yang murni di dalam karya-karyanya.
Pemuda Iman mendoakan kesihatan dan keberkatan untuk Tukya dalam berkarya! Terima kasih Tukya di atas masa dan nasihat yang diluangkan dan juga cempedak goreng dan secawan teh O panas petang itu. Moga bertemu lagi insya Allah.
(Saudara Azizi Abdullah boleh diikuti melalui blognya...)
Pemuda Iman di Taiping
5 Syawal 1431 H
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
1. terima kasih juga kpd cikgu azizi krn menghadiahkan kami 2 buku beliau iaitu Suriati dan Luka Rakyat sebelum berpisah slps bertamu.
2. gambar PI bersama beliau diteratak Tukya akan di'upload' sedikit masa lagi, insyaAllah
Seorang Tua diKaki Gunung banyak mempengaruhi cara saya berfikir dari zaman remaja sampailah kedewasaan ini. Terima kasih Cikgu Azizi
Post a Comment