Pages

Wednesday, 29 June 2011

Malam ini di Tv Al-Hijrah - Bicara Israk & Mikraj

Saksikan program BICARA, hari ini, Rabu, 29 Jun 2011, 9:30pm, TV al-Hijrah. Membincangkan mengenai persoalan Isra' & Mi'raj.

Moderator:
Sdr Nizal Mohammad.

Panelis:

Ustaz Azhar bin Tuarno (Masjid Negara),
Prof Datuk Prof Dr Yusuf Haji Othman (UKM) dan
Ustaz Adlan Abdul Aziz

Monday, 27 June 2011

Belajar Dari Pencuri?


Kisah ini diambil daripada salah satu kuliah pendakwah terkemuka masa kini - Dr.Salman al-Oadah' yang menceritakan bagaimana seorang ahli falsafah ditanya tentang guru-gurunya lalu dia berkata di antara yang benar-benar mengajar dirinya erti kehidupan ialah antaranya - seorang pencuri!

Ketika pulang ke rumah, beliau bertemu dengan seorang lelaki yang merupakan seorang pencuri. Pencuri itu membantunya untuk masuk ke rumah kerana beliau memiliki 'master keys' untuk semua pintu. Lalu ahli falsafah ini telah sudi menumpangkan lelaki ini beberapa hari dan setiap malam pencuri itu keluar mencari 'rezeki'nya. Namun setiap malam dia pulang tanpa hasil.

Setelah berhari-hari begitu, maka ahli falsafah ini bertanya tentang keadaan pencuri itu, adakah dia akan terus mencuri kerana tidak ada pun hasilnya. Maka pencuri itu menjawab, dia akan terus berusaha kerana dia yakin rezeki itu akan ada untuknya suatu hari nanti.

Di sinilah ahli falsafah itu menyedari betapa pencuri itu memiliki sifat-sifat yang amat hebat - daya usaha yang tinggi, tidak berputus asa, sabar, yakin dengan rezekinya dan sebagainya.

Walaupun dari seorang pencuri, kita sebenarnya boleh mencari dan mempelajari sesuatu yang positif. Apatah lagi daripada orang lain yang tidaklah sejahat pencuri ini, yang memiliki ilmu dan kepakaran, mengapa kita tidak belajar dari mereka?

Saturday, 25 June 2011

Forum Surah Yusuf di Kolej Universiti Islam Selangor

Alhamdulillah, syukur kepada Allah Maha Mengatur Urusan Hambanya, Pemuda Iman telah berkesempatan berforum di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Bangi semalam (24 Jun 2011). Tajuk yang disampaikan :Kepimpinan dan Cabaran Hidup Remaja mengikut Perspektif Surah Yusuf.

Sekalung tahniah dan terima kasih kepada penganjur, Jabatan Peradaban dan Pemikiran Islam, Akademi Islam KUIS atas jemputan ini. Tidak ketinggalan kepada para pelajar KUIS yang memenuhi segenap ruangan dewan kuliah dan tetap fokus kepada perjalanan majlis sehingga tamat. Syabbas!

Ringkasnya, Pemuda Iman membincangkan empat tema utama Surah Yusuf: Kepentingan ilmu, Perjuangan melawan nafsu syahwat, Usaha dakwah Nabi Yusuf dan Kualiti Kepimpinan Nabi Yusuf. Semoga sama-sama beroleh faedah dan timbul minat untuk memahami Al Quran dengan lebih baik.

Gambar-gambar sekitar forum akan dimuatkan sedikit masa lagi, insyallah, untuk tatapan bersama.

Renung-renungkankan dan amalkan doa Nabi Yusuf pada ayat 101 "Wahai Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah mengurniakanku sebahagian daripada kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarkanku sebahagian ilmu ta'bir mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, Engkau penguasa dan pelindungku dunia dan akhirat, sempurnakan ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkan aku dengan orang-orang yang Soleh"

Amin ya Rabbal A'lamin

Saturday, 18 June 2011

PROGRAM AKAN DATANG

Tafsir Surah ad-Dhuhaa
18 Jun, 8 mlm
Surau al-Ikhwan, Bandar Pinggiran Putra, Kl.

Muzakarah Riyadhussolihin
19 Jun, 10 pagi
Masjid Alam Damai

Tafsir Surah 'Alam Nasyrah'
19 Jun, 8 mlm
Surau al-Ihsan, Taman Samudera, Bt.Caves

Sunan at-Tirmidzi
20 Jun, 8 mlm
Surau al-Amin, BTHO, Cheras

Sunan Ibn Majah
21 Jun, 8 mlm
Surau al-Kauthar, P18, R13, Putrajaya

Rakaman Bicara TV al-Hijrah 'Israk & Mikraj'
23 Jun, 9 mlm
Masjid Negara, Kl

Forum 'Penghayatan Surah Yusuf'
24 Jun, 8 mlm
KUIS, Selangor

Hadith 40
26 Jun, 8 mlm
Masjid Sg. Sekamat, Kajang

SEMINAR PEMIKIRAN SYED QUTB
16 Julai, 9 pagi
ISTAC, Jalan Duta, Kl.

SEMINAR MINI - Pengajaran Surah Maryam
7 Ogos, 9 pagi
IIS, Saba Islamic Media, Setiawangsa, Kl.

Wednesday, 15 June 2011

Seminar Pemikiran Sayyid Qutb

Wacana Ilmu:Jenaka dan Ketawa Rasulullah s.a.w.



Topik: The Humorous Side of Rasullullah s.a.w.

Penyampai: Adlan Abd Aziz.

Tempat: Tingkat 5, IIS Setiawangsa (atas SABA ISlamic Media) - gunakan lift #1

Tarikh & Masa : Khamis, 16 Jun, 2011 - 8.00 mlm

Sunday, 12 June 2011

Program 'Seminar' Pemuda Iman yang akan datang!

1-Forum 'Penghayatan Surah Yusuf' di KUIS, Selangor - 24 Jun, 8.30 mlm.

2-Seminar 'Pemikiran As-Syahid Sayyid Qutb (Bersama Dr.Ahmad Farouk, IRF) di ISTAC, Jln Duta,KL - 16 Julai, 9 pagi.

3-Seminar Mini 'Menyelami Surah Maryam' di IIS, Setiawangsa - 7 Ogos, 9 pagi

UTK CATATAN YG INGIN MENGHADIRINYA, TERIMA KASIH!

masuk PERCUMA!

Thursday, 9 June 2011

'Wallahu a'lam' - Satu Tarbiah Untuk Jiwa

Apabila kita menyebut wallahu a'lam, ia sebenarnya satu didikan atau tarbiah untuk jiwa. Menyebutnya bukan semata-mata alasan atau satu taktik 'escapism' malah ia sebenarnya menjadikan kita berfikir:

1-Ia seharusnya menjadikan kita sedar bahawa sebanyak mana ilmu yang kita ada, janganlah sesekali kita lupa bahawa ia semuanya rahmat dan rezeki dari Tuhan yang Maha Mengetahui.

2-Ucapan wallahu a'lam juga perlu dijadikan dorongan dan motivasi untuk terus menuntut ilmu dan mengkaji. Itulah yang diinginkan oleh Al-Quran dan Hadith. Bukannya diam dan berpeluk tubuh meratapi kejahilan diri.

3-Kata-kata keramat ini juga penting dalam menyucikan hati dari sifat ego dan sombong serta mendidik kita agar ikhlas dalam kehidupan. Mana mungkin orang yang takabbur boleh menuturkan 'wallahu a'lam'!

4-Ia juga boleh meluruskan diri kita dalam mengiktiraf sumbangan dan ilmu orang lain yang kita tidak miliki. Sudah pasti dalam hidup ini ada ilmu yang kita tahu dan tidak diketahui orang lain. Tapi kita juga mesti ingat ada banyak ilmu yang kita jahil tentangnya, tapi Allah kurniakan kepada orang lain.

Tidak hairanlah mengapa para sahabat Nabi s.a.w. kerap menuturkan 'Allahu wa Rasuluhu a'lam'
Tidak hairanlah ada ulama menyatakan 'wallahu a'lam' itu separuh 'ilmu'!

Monday, 6 June 2011

Renungan - Mereka Dahulunya Gembira!


Ketika membaca dan mendengar bacaan sepotong ayat dari Surah al-Insyiqaq, saya terhenti dan termenung sejenak. Ayat tersebut ialah - ayat 13. Lantas saya membuka semula buku tafsir yang mampu saya temui untuk melihat kembali surah ini - surah al-Insyiqaq - dan juga melihat ayat sebelum dan selepas ayat 13 tadi.

Mari kita lihat bersama terjemahan ayat 10 hingga ayat 13:

[10]
Dan sesiapa yang diberi menerima surat amalnya (dengan tangan kiri), dari sebelah belakangnya,
[11]
Maka ia akan meraung menyebut-nyebut kebinasaannya,
[12]
Dan ia akan menderita bakaran neraka yang marak menjulang.
[13]
Sebenarnya ia semasa di dunia dahulu bersukaria dalam kalangan keluarganya (yang juga kufur ingkar)!
[14]
Sesungguhnya ia menyangka bahawa ia tidak sekali-kali akan kembali (kepada Kami untuk menerima balasan) !
[15]
(Sangkaannya itu tidak betul) bahkan ia tetap kembali! Sesungguhnya Tuhannya sentiasa Melihat dan Mengetahui keadaannya!


Apa yang menarik perhatian saya dan membuatkan saya berfikir sejenak ialah ayat 13 yang berbunyi:

'Sebenarnya ia semasa di dunia dahulu bersukaria dalam kalangan keluarganya'

Walaupun golongan manusia sebegini tidak taat dan tidak memperdulikan perintah atau larangan Allah SWT, walaupun mereka tidak kisah soal agama semasa hidup di dunia, walaupun mereka tidak mengira soal halal atau haram, tapi mereka tetap - 'bersukaria dalam kalangan keluarganya'!

Ayat ini mengingatkan kita bahawa gembira dan sedih, susah dan senang, bukanlah satu-satunya petanda kasih atau murkanya Allah SWT kpd kita. Ia bukanlah ukuran untuk melihat sama ada kehidupan kita diberkati atau tidak.

Renungilah ayat ini dan juga ayat-ayat lain - contohnya ayat2 dalam surah al-Fajr - untuk kita menginsafi diri bahawa kegembiraan dan kebahagiaan belum tentu menjamin hidup kita diberkati. Begitu juga kesusahan dan kesedihan bukanlah bermakna kita tidak diredhai Allah SWT.

Ini terus mengingatkan kita pada sebuah hadith Rasulullah s.a.w. yang menceritakan bahawa ada sebahagian ahli neraka yang hidupnya penuh kebahagiaan dan kemewahan, lalu apabila dimasukkan ke neraka, ia lupa segala kenikmatan itu. Juga ada ahli syurga yang hidup penuh kesusahan semasa di dunia, apabila dimasukkan ke syurga, ia lupa segala kesusahan dan kepayahan itu! [Riwayat Muslim, no.7266]

Ingat...mereka dahulunya 'di dunia' gembira dan bersukaria!

Peringatan ringkas dari Pemuda Iman untuk diri dan semua...

Thursday, 2 June 2011

Apa Maksud Sebenar 'Kembali Kepada Sunnah'?


Apa maksud sebenar seruan 'kembali kepada Sunnah Nabi s.a.w.? Sebahagian yang menggelarkan diri mereka 'salafi' begitu asyik dengan seruan ini seolah-olah sekali pandang kita akan menyangka bahawa masyarakat kita begitu 'jauh' dari Sunnah Nabi s.a.w. Adakah begitu keadaannya?

Ada baiknya kita melihat kepada maksud seruan kembali kepada Sunnah atau kembali memahami Islam dengan panduan Sunnah Nabi s.a.w. Sudah pasti kita semua tahu dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang menunjukkan perintah untuk kita meletakkan kedudukan Nabi s.a.w. dan Sunnah Baginda pada kedudukan 'rujukan' dalam agama. Tapi apakah maksud 'rujukan' di sini?

Seruan yang kita dengar daripada sebahagian 'salafi' ialah mereka ingin kita kembali kepada Sunnah tetapi dalam seruan mereka ada sedikit kekeliruan, antaranya:

Pertama, cara mereka membangkitkan seruan ini seolah-olah masyarakat begitu jauh dari Sunnah dan merekalah yang ingin membawa perubahan dalam meng'islah'kan kehidupan agar kembali ke jalan yang benar. Sedangkan masyarakat tidaklah sampai ke tahap sebegitu teruk. Kita dapati pengamalan Islam dalam masyarakat sememangnya secara keseluruhan adalah berlandaskan Al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w.

Contohnya mereka terlalu ingin membetulkan solat masyarakat dengan membawa seruan 'Sifat Solat Nabi s.a.w.'. Ada yang memang bersederhana dalam seruan itu tetapi ada yang terlalu beria-ia untuk menyalahkan amalan masyarakat yang telah pun solat dengan mengikut amalan tradisi. Rupanya bila diselidiki, seruan sebahagian bergelar 'salafi' ini rupanya menuju ke arah Sifat Solat Nabi s.a.w. versi ulama hadith tertentu sahaja, bukan menyeluruh meliputi pelbagai pandangan ulama terdahulu.

Masih teringat lagi kata-kata sahabat saya apabila dia mendengar terlalu banyak seruan ke arah kembali solat seperti cara Nabi s.a.w. Beliau berkata dengan ringkas: 'Bukankah menunaikan solat itu sendiri adalah Sunnah Nabi s.a.w. yang dilaksanakan masyarakat?'. Memang saya bersetuju dengan beliau.

Kedua, seruan agar masyarakat kembali kepada Sunnah rupanya dikaitkan dengan seruan lain iaitu 'menolak amalan tradisi' atau 'amalan mazhab'. Adakah ini sebenarnya apa yang dilakukan oleh para imam dan ulama hadith terdahulu? Apabila kita menyeru ke arah Sunnah, janganlah ia digambarkan seolah jauh dari mazhab kerana mazhab-mazhab utama dalam Islam sememangnya mengambil Sunnah sebagai rujukan. Maka tidak ada salahnya seorang yang ingin mengambil pandangan Mazhab Syafie jika dia berada di Malaysia kerana keyakinannya bahawa Imam as-Syafie dan para ulama di dalam mazhabnya sememangnya menggunakan Sunnah sebagai asas mengeluarkan pandangan. Jangan kita gambarkan situasi pertentangan atau permusuhan antara mazhab dan Sunnah!

Ketiga, seruan mereka telah tersasar dari maksud asal iaitu menjadikan Sunnah sebagai rujukan. Ia telah tersasar menuju kepada maksud baru iaitu 'menggunakan Sunnah semata-mata dengan melihat zahir lafaz atau teks hadith'. Apabila kita sebagai seorang muslim mengakui Sunnah sebagai rujukan, adakah ini bermakna kita meninggalkan huraian ulama sepanjang zaman? Adakah kita dengan mudah boleh mengambil mana-mana hadith lalu ditelek zahirnya lalu terkeluarlah hukum-hukum baru dan kita boleh menjadi mujtahid zaman baru? Jangan terpedaya wahai sahabat! Tidak mungkin anda boleh memahami hadith begitu sahaja tanpa huraian ulama. Bagaimana anda ingin menentukan sesuatu hadith itu telah dimansuhkan dengan hadith lain? Bagaimana anda ingin memahami beberapa hadith yang nampak bertentangan? Bagaimana anda mampu menentukan hukum hanya dengan sekadar membaca satu dua hadith? Contoh mudah ialah hadith-hadith tentang merapatkan saf sebagaimana pernah saya bangkitkan dalam artikel terdahulu. Cukup dengan anda melihat satu riwayat bahawa sebahagian sahabat Nabi s.a.w. melekatkan kaki dengan makmum di sebelah, lantas anda menyatakan ia wajib? Anda lupa huraian ulama zaman berzaman yang tidak pernah menyatakan begitu?

Nasihat ringkas saya ialah – bacalah buku Ibn Rusyd bertajuk 'Bidayatul Mujtahid wa Nihayatul Muqtasid' dan anda akan dapat lihat bagaimana khilaf para ulama berlaku dalam memahami nas Al-Quran dan Hadith. Barulah anda faham bahawa para ulama tidaklah begitu mudah mengeluarkan hukum melainkan mereka melihat kepada semua dalil dari semua sudut.

Keempat, seruan sebahagian bergelar salafi ini nampaknya menjurus kepada 'menggunakan Sunnah semata-mata tanpa memperdulikan soal hukum'. Apabila kita ingin menggunakan Sunnah sebagai rujukan, kita diberitahu oleh para ulama zaman berzaman bahawa dalam Sunnah ada hadith-hadith yang membawa 5 hukum – wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Tetapi kita melihat kepada sikap sebahagian salafi ini mereka terus menggunakan hadith untuk 2 hukum – sunnah atau bid'ah. Kalau sesuatu amalan itu ada dalam hadith dan diperintah, ia menjadi seakan wajib. Kalau tiada dalam hadith, maka tidak boleh diamalkan pula seolah haram. Tidak begitu! Para ulama telah menetapkan bahawa setiap perintah dalam hadith tidak semestinya membawa hukum 'wajib'. Ada perintah yang membawa 'wajib', 'sunat' dan adakalanya membawa 'harus'. Tetapi sebahagian salafi ini apabila diajukan kepada mereka perkara sebegini, mereka cepat menyatakan 'yang terbaik ialah ikut Sunnah'. Mereka lupa soal hukum. Bila ada larangan pula, terus jadi 'tak boleh'. Sedangkan larangan dalam hadith ada yang bersifat larangan 'haram' dan ada larangan bersifat 'adab'.

Kelima, seruan mereka seringkali dikuatkan dengan buku-buku dan ulama tertentu sahaja. Ulama yang mereka gelar sebagai ulama 'salafi' juga. Akibatnya mereka kurang pembacaan, kurang pendedahan dan tidak banyak mengetahui cara ulama berbeza pandangan. Ada sebahagian salafi yang menyatakan keterbukaan tetapi rupanya mereka hanya ambil pandangan sebahagian kecil ulama. Adakah munasabah dalam dunia Islam yang luas ini hanya ada beberapa kerat sahaja ulama yang boleh 'dipakai' atau dijadikan 'rujukan'? Adakah ini seruan kembali kepada Sunnah atau seruan kembali kepada aliran baru iaitu 'Salafi'?

Kesimpulan dari artikel ringkas ini ialah :

- Jangan semata-mata laungkan seruan 'kembali kepada Sunnah' tanpa melihat apa yang telah dihuraikan oleh para ulama hadith.
- Luaskan pembacaan, banyakkan pengajian, pelbagaikan guru dan kembangkanlah dialog ilmiah untuk berkongsi pandangan agar lebih pandai menghormati perbezaan pandangan.
- Jangan mudah menilai sesuatu amalan masyarakat sebagai 'tidak sunnah' atau 'bid'ah' kerana mungkin sahaja kita yang tersalah sangka atau tersalah baca. Rupanya amalan itu boleh dibuat dan kita pula yang menghalang orang lain melakukan kebaikan!

Wallahu a'lam

Adlan Abd Aziz