'..sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk' [Surah al-Kahfi, ayat 13]
Monday, 6 June 2011
Renungan - Mereka Dahulunya Gembira!
Ketika membaca dan mendengar bacaan sepotong ayat dari Surah al-Insyiqaq, saya terhenti dan termenung sejenak. Ayat tersebut ialah - ayat 13. Lantas saya membuka semula buku tafsir yang mampu saya temui untuk melihat kembali surah ini - surah al-Insyiqaq - dan juga melihat ayat sebelum dan selepas ayat 13 tadi.
Mari kita lihat bersama terjemahan ayat 10 hingga ayat 13:
[10]
Dan sesiapa yang diberi menerima surat amalnya (dengan tangan kiri), dari sebelah belakangnya,
[11]
Maka ia akan meraung menyebut-nyebut kebinasaannya,
[12]
Dan ia akan menderita bakaran neraka yang marak menjulang.
[13]
Sebenarnya ia semasa di dunia dahulu bersukaria dalam kalangan keluarganya (yang juga kufur ingkar)!
[14]
Sesungguhnya ia menyangka bahawa ia tidak sekali-kali akan kembali (kepada Kami untuk menerima balasan) !
[15]
(Sangkaannya itu tidak betul) bahkan ia tetap kembali! Sesungguhnya Tuhannya sentiasa Melihat dan Mengetahui keadaannya!
Apa yang menarik perhatian saya dan membuatkan saya berfikir sejenak ialah ayat 13 yang berbunyi:
'Sebenarnya ia semasa di dunia dahulu bersukaria dalam kalangan keluarganya'
Walaupun golongan manusia sebegini tidak taat dan tidak memperdulikan perintah atau larangan Allah SWT, walaupun mereka tidak kisah soal agama semasa hidup di dunia, walaupun mereka tidak mengira soal halal atau haram, tapi mereka tetap - 'bersukaria dalam kalangan keluarganya'!
Ayat ini mengingatkan kita bahawa gembira dan sedih, susah dan senang, bukanlah satu-satunya petanda kasih atau murkanya Allah SWT kpd kita. Ia bukanlah ukuran untuk melihat sama ada kehidupan kita diberkati atau tidak.
Renungilah ayat ini dan juga ayat-ayat lain - contohnya ayat2 dalam surah al-Fajr - untuk kita menginsafi diri bahawa kegembiraan dan kebahagiaan belum tentu menjamin hidup kita diberkati. Begitu juga kesusahan dan kesedihan bukanlah bermakna kita tidak diredhai Allah SWT.
Ini terus mengingatkan kita pada sebuah hadith Rasulullah s.a.w. yang menceritakan bahawa ada sebahagian ahli neraka yang hidupnya penuh kebahagiaan dan kemewahan, lalu apabila dimasukkan ke neraka, ia lupa segala kenikmatan itu. Juga ada ahli syurga yang hidup penuh kesusahan semasa di dunia, apabila dimasukkan ke syurga, ia lupa segala kesusahan dan kepayahan itu! [Riwayat Muslim, no.7266]
Ingat...mereka dahulunya 'di dunia' gembira dan bersukaria!
Peringatan ringkas dari Pemuda Iman untuk diri dan semua...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment