Pages

Wednesday 6 January 2010

CSI #6 - Khusyuk Solat : Susah, Tapi Tak Mustahil


Memahami maksud khusyuk adalah penting sebelum kita melakukan penilaian adakah solat kita khusyuk atau tidak.

Ada orang kata khusyuk dalam solat ialah solat dalam keadaan 'syok'. Macam tu pulak.

Ada juga yang kata khusyuk bermakna anda 'tidak sedarkan diri' ketika solat.

Ada pula yang kata 'sampai bila pun tak mampu khusyuk'. Awat jadi lagu tu?

Saya juga mungkin tidak dapat memuaskan hati anda untuk menerima takrifan 'khusyuk solat' dengan saya memberikan pandangan peribadi. Berdasarkan huraian para ulama, saya mendapati (ni pandangan manusia yang lemah, boleh difikirkan dulu sebelum terima) bahawa kata kunci pada khusyuk solat ialah 'fokus' atau 'tumpuan'.

Orang yang khusyuk ialah orang yang memberikan tumpuan dalam apa yang dilakukan. Dalam hal ini, solat seseorang yang khusyuk pasti memerlukan dirinya untuk:

sedar apa yang dilakukan...
faham apa yang diucapkan...
menghayati bahawa solat adalah proses beribadah dan berdoa kepada Allah...

Namun para ulama juga (sebagaimana huraian Ibnu Hajar dalam Fathul Bari) telah menyatakan bahawa memang kita akan selalu hilang 'fokus' ketika solat. Menurut ulama, janganlah sampai kita tidak sedar dan terlalu hilang fokus. Kadang-kadang tu takpa, kerana kita manusia biasa.

Cuma saya ingin akhiri tulisan saya yang ringkas ini dengan mengajak diri saya dan pembaca sekelian agar merenungi sebuah hadith yang mempunyai kaitan langsung dengan apa yang kita sedang fikirkan bersama iaitu 'khusyuk solat':

Sabda Rasulullah SAW :

مَنْ تَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوئِى هَذَا ، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ ، لاَ يُحَدِّثُ فِيهِمَا نَفْسَهُ ، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya:
Sesiapa yang berwudhuk seperti wudhuk aku ini, kemudian dia solat dua rakaat - dia tidak bercakap dengan dirinya dalam kedua rakaat itu - akan diampunkan untuknya dosanya.

[Hadith riwayat al-Bukhari, no.159 dan Muslim, no.560]

Mari kita renungkan dan fikirkan potongan hadith : 'dia tidak bercakap dengan dirinya dalam kedua rakaat itu'. Maksudnya (seperti yang dihuraikan oleh Imam al-Nawawi) dia cuba untuk menahan dirinya daripada berfikir tentang selain solat. Kecuali perkara yang berbentuk lintasan hati yang tidak dapat dielakkan, itu dimaafkan (Fathul Bari, huraian dalam Bab Wudhu')

Mungkin inilah sebahagian maksud khusyuk, fokus dan tumpuan dalam solat. Sesiapa yang mampu mengawalnya dengan kadar yang banyak, maka beruntunglah dia. Sesiapa yang tidak mampu melainkan beberapa ketika, bersyukurlah!

Susah, tapi tak mustahil!

1 comment:

Anonymous said...

Alhamdulillah, mmg pengisian yg bagus...
Harap post2 ilmiah agama sprti ini dpt dtruskan...