Pages

Tuesday 29 December 2009

Menara Minda #5: Penjejak Rambut

Mungkin kita tidak sedar bahawa segala apa yang kita makan dan minum sebenarnya terakam di dalam rambut kita. Justeru, ketahuilah bahawa dengan hanya bermodalkan sehelai rambut, saintis mampu menjejak tempat tinggal anda terdahulu! Seseorang penjenayah kini tidak mampu lagi berbohong mengenai jejak kelibat mereka sebelum ini kerana sains mampu menceritakannya melalui analisis bahan kimia tertentu di dalam rambut mereka.

Penemuan ini didedahkan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti of Utah di Lake Salt City, Amerika Syarikat (laman web: Your Hair Knows Where You've Been. Prinsipnya ialah dengan menganalisis kandungan isotop berat Hidrogen (H) dan Oksigen (O) di dalam rambut yang bersumber daripada air paip.

Isotop merujuk kepada unsur kimia yang mempunyai nombor atom yang sama tetapi berbeza pada nombor jisim disebabkan perbezaan pada bilangan neutron. Contohnya, Karbon mempunyai 3 isotop berbeza iaitu karbon-12, karbon-13 dan karbon-14, yang mana nombor atom karbon=6; sama bagi semua isotop tetapi bilangan neutron=6 untuk karbon-12, neutron=7 untuk karbon-13 dan neutron=7 untuk karbon-14.

Air paip di AS mengandungi kandungan isotop berat H dan O yang berbeza-beza mengikut wilayah-wilayah. Kandungan isotop berat yang tinggi boleh didapati di negeri di negeri-negeri pesisir pantai terutamanya di Florida (negeri asal Leftenan Horratio Caine, ketua CSI Miami) dan Texas (wilayah kekayaan minyak keluarga Bush) berbanding kandungan isotop yang lebih rendah di negeri-negeri yang lebih ke utara AS.

Didapati penambahan kepekatan isotop-isotop H dan O disumbangkan oleh faktor air hujan yang lebih banyak didapati di negeri-negeri seperti Florida dan Texas.

Berasaskan perbezaan kepekatan isotop ini, kumpulan penyelidik ini telah berjaya melakar peta petunjuk isotop H dan O mengikut negeri-negeri di AS. Negeri-negeri dengan warna terang (jingga) menandakan kandungan isotop yang tinggi di dalam air paip, diikuti dengan negeri-negeri berlatar warna kurang gelap (biru).



Polis AS di antara pihak yang paling mendapat manfaat daripada penemuan ini. Detektif Todd Park, pegawai di Lake Salt City lantas menggunapakai hasil penemuan ini dalam usahanya menyelesaikan satu kes jenayah terperam yang melibatkan kematian seorang wanita di negeri Utah. Kekurangan maklumat mengenai mangsa pada ketika itu menyukarkan perjalanan siasatan polis kerana keadaan mangsa yang cuma tinggal cebisan-cebisan tubuh.

Kata Detektif Park ‘ hasil penemuan penyelidik rambut ini mengecilkan skop siasatan kami kepada negeri-negeri tertentu sahaja ’ iaitu merujuk kepada negeri-negeri berkemungkinan mangsa telah pergi sesuai dengan kandungan isotop-isotop di dalam rambutnya.

Sementara itu, selepas ini, Detektif Lilly Rush dalam siri ‘Cold Case’ boleh menarik nafas lega kerana beliau tidak lagi terlalu bergantung kepada cara siasatan temu ramah saksi-saksi semata-mata dalam usahanya menyelesaikan kes-kes terperam. Mungkin beliau mahu mengaplikasikan teknik analisis isotop rambut ini bagi mempercepatkan kerjanya menangkap penjenayah-penjenayah lampau. Jadi, kepada penjenayah-penjenayah di AS sana, sama ada anda mengaku kesalahan anda atau bertaubat segera kerana Detektif Lilly telah menemui satu lagi teknik forensik yang berkesan. Lambat laun akan tertangkap jua!


Nota:

1. Manakala Detektif Todd Park merupakan anggota polis sebenar di Lake Salt City, Utah.

2. Detektif Lilly Rush dalam siri ‘Cold Case’ ialah watak seorang penyiasat kes-kes jenayah terperam dengan menggunakan kaedah soal siasat dan temu ramah retrospektif dengan saksi-saksi kes jenayah lampau dan berjaya menyelesaikan semua tugasan dengan kaedah ini. Siri ini ditayangkan melalui saluran CBS AS sejak tahun 2003.

No comments: