Pages

Saturday 11 September 2010

Melabelkan Ustaz 'Sunnah' 'Salafi' 'Manhaji' dan bukan...??

ADA USTAZ/KULIAH SUNNAH ADA YANG BUKAN?

Apa yang saya maksudkan ialah kecenderungan sebahagian sahabat pencinta ilmu dalam membezakan antara kuliah sunnah dan kuliah bukan sunnah. Atau apa yang digambarkan oleh sebahagian lagi dengan istilah kuliah 'ustaz' sunnah dan kuliah ustaz 'bukan' sunnah. Pembahagian ini telah lama wujud dalam kalangan sebahagian penuntut ilmu dan telah pun wujud dalam internet secara meluas. Ada yang mengiklankan kuliah tertentu dan tidak mengiklankan kuliah tertentu. Mengapa? Sebabnya ialah kuliah yang diiklankan itu disampaikan oleh ustaz yang 'bermanhaj', 'sunnah', 'salafi' dan sebagainya sedangkan kuliah lain tidak begitu.

TEGURAN YANG PERLU DIULANG KEPADA PENUNTUT ILMU

Saya pernah menulis tentang perkara ini secara peribadi dalam blog alitantawi.blogspot.com dan juga dalam laman web al-ahkam.net, namun saya merasakan bahawa perkara ini perlu diulang berkali-kali dan disebarluaskan agar salah faham dan kekeliruan tentang perkara ini dapat dikurangkan kalau pun tidak dapat dihapuskan.

Sesuatu yang amat menghairankan mengapa pembahagian ini disebut-sebut dalam kalangan penuntut ilmu yang masih lagi dalam proses pencarian ilmu. Adakah ilmu di dada sudah cukup sehingga mereka mampu membezakan golongan pendakwah dan ahli ilmu dengan pembahagian sehebat ini?

LABEL USTAZ SUNNAH MEMBAWA KEKELIRUAN

Kenapa perlu ada segolongan pendakwah atau segolongan ustaz dilabelkan dengan label 'ustaz sunnah'? Walaupun mereka yang melabelkan ini tidak secara jelas melabelkan orang lain sebagai 'bukan' sunnah, namun sesiapa sahaja dapat memahami bahawa label itu membawa label yang berlawanan dalam masa yang sama.

Mungkin ada yang berkata pembahagian ini adalah hak masing-masing dan setiap insan berhak membuat pilihan. Mungkin benar. Tetapi pilihan yang dibuat biarlah berdasarkan sebab dan alasan kukuh, bukan hanya kegopohan dan emosi.

Satu perkara yang sentiasa saya timbulkan ketika berbincang dengan sahabat-sahabat...siapa yang mampu memberikan kata putus ustaz ini
'sunnah', 'bermanhaj', 'salafi'? Adakah dengan hanya melihat ustaz itu sentiasa menyebut perkataan 'sunnah, salafi, manhaj'? Atau dengan hanya melihat kepada cara ustaz itu berpakaian atau rupa parasnya? Atau adakah dengan ukuran berapa banyak kritikan yang dikeluarkan ustaz itu dalam kuliahnya? Atau dengan hanya melihat perpustakaan di rumah ustaz itu yang banyak bukunya tanpa mengetahui adakah ia dibuka atau disimpan sekian lama?

Soalan saya yang amat jelas -

Pertama - ukuran apakah yang anda gunakan untuk melabelkan seseorang itu 'sunnah' atau 'bukan sunnah'?

Kedua - adakah anda mampu mengukur dan melabel sedangkan anda sendiri penuntut ilmu yang masih dalam proses mencari ilmu?

Ketiga - apakah kesan dari pembahagian sebegini? Adakah kesannya guru anda makin berkurang sehingga tinggal seorang dua saja guru? Itu yang kita inginkan?

dan dalam masa yang sama anda bercakap soal dakwah? Ini hakikat dakwah....

DAKWAH PERLU KERJASAMA, BUKAN PERPECAHAN

Kita amat memerlukan sikap muafakat dan gabungan kerjasama antara banyak pihak dalam menjayakan dakwah. Sikap melabelkan kuliah tertentu atau ustaz tertentu sebagai yang paling 'sunnah' atau paling tepat membawa dakwah akan mengguris hati sesetengah pihak dan juga paling penting ia akan mewujudkan kekeliruan dalam masyarakat yang inginkan ilmu. Kuliah mana yang ingin diikutinya? Sedangkan sepatutnya kita sebagai pendakwah seharusnya bersikap mesra dengan semua pendakwah. Sikap merendah diri sepatutnya wujud dalam mengajak masyarakat ke arah mendalami ilmu Islam tanpa membezakan antara pendakwah.

Pembahagian sebegini mewujudkan banyak kesan negatif sama ada kita akui atau tidak. Di antara kesannya (pada sebahagian masyarakat) ialah wujudnya sikap mengagungkan sebahagian pendakwah..dan yang paling serius ialah wujud bersama sikap ini sikap lain yang lebih merbahaya iaitu - merendahkan dan memperlekehkan pendakwah lain! Soalan paling penting untuk mereka yang terjebak dalam sikap ini ialah:

- atas dasar apa seseorang pendakwah itu diperlekehkan? Kalau pun ada kekurangan dan kesilapan, sememangnya manusia tidak terlepas dari melakukan kesilapan.

- adakah kita boleh menafikan sumbangan seseorang pendakwah (yang kita perlekehkan itu) hanya sekadar dia melakukan beberapa kesilapan? Mungkin pendakwah tersebut telah berbelas atau berpuluh tahun berdakwah. Bukankah jasa mereka lebih besar dari anda yang asyik merendahkan mereka?

- adakah dengan segelintir kecil ustaz-ustaz bermanhaj atau ustaz-ustaz 'sunnah' ini kita dapat mendalami banyak ilmu yang pelbagai tentang Islam? Ini satu kerugian.

USTAZ 'SUNNAH' SENDIRI MENAMBAHKAN KEKELIRUAN

Paling menyedihkan ialah terdapat segelintir ustaz-ustaz yang diagungkan ini pula yang menambahkan lagi kekeliruan pengikutnya dengan membuat penilaian-penilaian gopoh tentang pendakwah lain atau aliran dakwah lain.

Agaknya kerana pengikut yang terlalu memujinya menyebabkan mereka terkena beberapa penyakit:

Pertama - penyakit memandang rendah kepada hasil usaha dan jasa dakwah pendakwah dan ahli ilmu lain. Apa sahaja yang dibuat oleh orang lain dianggap 'tidak penting', 'tidak aula', 'perkara remeh'.

Kedua - penyakit tidak membuat kajian baru dan tidak lagi menambah ilmu. Agaknya ilmu sudah cukup dengan hanya satu dua buku dalam sesuatu bidang?

Ketiga - penyakit mengkritik dan menolak tanpa ilmu, tapi dengan hanya
hujah yang bukan hujah iaitu 'label'. Dengan label dan gelaran, hujah tidak lagi diperlukan.

Saya masih ingat ketika al-ahkam.net mula mengetengahkan beberapa isu yang agak baru (walaupun hakikatnya sudah lama dalam dunia ilmu) contohnya seperti perbezaan manhaj kajian hadith antara ulama terdahulu dan kemudian (persoalan manhaj al-mutaqaddimin dan al-mutaakhirin)..terdapat suara-suara sumbang yang tidak senang dan mengkritik. Tetapi hakikatnya tidak ada kritikan yang ilmiah. Malah tidak ada penulisan yang dibuat oleh mereka yang mengkritik walaupun kedengarannya mereka mempunyai pelbagai ijazah dalam bidang hadith. Sedangkan pada hakikatnya al-ahkam.net hanya menterjemahkan perbincangan yang berlaku dalam dunia ilmu hadith dan bukannya membawa dakwaan baru.

Kegagalan sebahagian pihak untuk memahami isu ini mungkin juga berpunca daripada cara penerangan panel hadith al-ahkam.net memberi penjelasan. Namun terdapat segolongan yang mendakwa mereka bermanhaj telah menolak isu ini bukan dengan perbincangan, tetapi dengan melabelkan al-ahkam.net dan panel hadith dengan label tertentu. Inilah hasil membeza-bezakan pendakwah sehingga isu ilmiah tidak diberikan haknya yang sepatutnya.

BUKAN MAKSUD TIDAK BOLEH MENEGUR ATAU MENGKRITIK

Adakah tulisan saya bermaksud kita tidak boleh menegur atau mengkritik pendakwah? Tidak sama sekali. Tetapi biarlah kritikan kita itu mempunyai hadnya, disiplinnya dan adabnya. Bukan dengan cara membahagikan terus - pendakwah ini ok, pendakwa ini tak ok. Pendakwah ini salafi, pendakwah ini bukan salafi (anda tahu apa itu salafi sebenar?). Pendakwah ini bermanhaj, pendakwah ini tak ada manhaj. Pendakwah ini ok, pendakwah ini tak boleh pakai. Ini bukan kritikan ilmiah....ini bukan cara menegur yang betul..ini ibarat kita menolak SEMUA kebaikan pendakwah itu hanya dengan SATU atau BEBERAPA kesilapan. Itu yang saya tolak dalam tulisan ini.

ILMU TENTANG ISLAM PERLU DIPELAJARI DARI PELBAGAI GURU DAN SUMBER

Apabila kita membaca sejarah hidup tokoh-tokoh Islam sepanjang zaman, tidak pernah kita temui mereka membahagikan guru-guru mereka sehingga mereka hanya mengambil ilmu dari guru tertentu dan meninggalkan guru tertentu.

Namun apa yang kita temui ialah mereka mempunyai beratus malah beribu orang guru. Adakah kita yakin mereka bersetuju dan sependapat dengan kesemua guru mereka itu? Sudah pasti mereka berbeza pandangan dengan guru-guru mereka namun untuk mendapatkan ilmu, kita tidak boleh meninggalkan guru tertentu hanya dengan sebab terdapat perbezaan pandangan. Itu amat merugikan diri kita sendiri.

Masih saya ingat terdapat sebahagian penuntut ilmu di Jordan yang tidak belajar dengan guru tertentu hanya kerana manhaj yang berlainan. Masih saya ingat ada yang tidak pergi belajar dengan salah seorang pensyarah atau ulama hanya dengan label tertentu. Syuaib al-Arnaout yang merupakan di antara ulama terkemuka di Jordan sebagai contoh. Saya pernah mendengar bahawa ada seorang penuntut ilmu di sana yang tidak langsung belajar dengan beliau sepanjang berada di sana hanya kerana sebab - Syeikh Syuaib tidak salafi!

Sedangkan guru-guru seperti Syuaib dan lain-lain lagii merupakan alim ulama terkenal yang menjadi tumpuan penuntut ilmu seluruh dunia Islam. Ada yang mengimpikan dari jauh untuk belajar dengan mereka sedangkan kita langsung tidak pergi menuntut ilmu dengan mereka yang berada hanya di depan mata! Sudah pasti mereka mempunyai kelemahan tertentu tetapi apakah itu menjadi sebab untuk kita terus kekal belajar hanya dengan beberapa orang guru? Kalaupun benar mereka ada kelemahan...bandingkan dengan kelemahan diri kita!

Tidak mengapa jika kita mempunyai alasan lain untuk tidak berguru dengan pendakwah tertentu seperti - terlalu jauh atau terlalu sibuk. Mungkin itu boleh diterima. Tetapi dengan menggunakan alasan 'tidak sunnah' atau 'tidak bermanhaj' malah 'tidak salafi' ...itu satu kerugian dalam pencarian ilmu.

MASIH INGAT LAGI SIAPA GURU KITA SEJAK KECIL?

Bukankah kita sejak kecil menjadi celik agama dengan belajar di tangan ustaz-ustaz yang pelbagai? Siapakah yang berjasa mendidik kita untuk mengenali huruf Al-Quran, membacanya...mengenali tentang Rasulullah s.a.w. dan hadith-hadith Baginda...mengajar kita tentang cara beribadah...mendidik kita akhlak mulia...bukankah mereka itu yang kini kita labelkan sebagai 'bukan sunnah' atau 'tidak bermanhaj'?? Kenapa mudah sangat kita lupa jasa mereka?

saya terfikir sendirian...siapakah mereka ini untuk membezakan antara pendakwah dengan gelaran tertentu? Ada yang tidak lancar membaca Al-Quran, hanya menghafal beberapa ayat, ada yang tidak tahu langsung membaca buku-buku dalam Bahasa Arab, tidak pernah langsung belajar asas-asas ilmu Islam seperti Usul Hadith, Usul Fiqh, tidak pernah walau sekali selesai mempelajari satu kitab dari mazhab fiqh....

APA KELAYAKAN ANDA UNTUK MELABELKAN PENDAKWAH DAN USTAZ TANPA ALASAN ILMU??

HARAPAN

Saya amat berharap sahabat-sahabat penuntut ilmu agar menuntut ilmu dari pelbagai sumber dan dari pendakwah-pendakwah yang ramai di Malaysia. Sekiranya kita mempunyai pandangan berbeza itu tidak mengapa selagi mana kita mempunyai ilmu untuk membezakan mana yang patut diikut dan mana yang tidak.


Namun dengan hanya 'label' yang menjadi asas ukuran menolak atau menerima...itu bukan ilmu...itu anganmu!!

3 comments:

Unknown said...

salam...tahniah! Tapi sidi, bagaimana pelebalan kepada negeri pulak dgn status Darul Sunnah ?Apakah negeri lain tidak sunnah? ana sering terkeliru....

Anonymous said...

assalamualaikum,
setelah anda bertiga berkunjung ke rumah sempena aidilfitri, saya pun buka blog anda. bagus. satu pendekatan dakwah yang ifisyen.

teruskan perjuangan.

-azizi hj abdullah

abufahim said...

terima kasih ust azizi. kami berasa amat bangga dgn kesudian ust menerima kami sbg tetamu ust di teratak tukya. kami mendapat inspirasi dan panduan yg berguna dr pengalaman ust sbg sasterawan dan agamawan. semoga hubungan kita berterusan insyaAllah.
jazakallah.