Saya bukannya ingin membuat ulasan ibarat seorang pakar sejarah - kerana memang itu bukan bidang pengajian saya - tetapi ingin berkongsi apa yang saya temui dan lalui berkaitan sejarah, terutamanya Sejarah Islam dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan Islam.
BELAJAR SEJARAH ? LETIH, SUSAH
Sejak zaman persekolahan, saya sering merasa 'letih' bila tiba subjek 'Sejarah'. Namun saya gagahi juga. Tiba SPM, Sejarah memang mencabar kekuatan minda saya. Persepsi saya tentang subjek ini ialah - memang letih, penat, kalau boleh cukuplah belajar sejarah!
Apabila diterima masuk ke Universiti Al al-Bayt, Jordan, persepsi negatif itu terbawa hingga ke sana. Sangkaan saya subjek berkaitan sejarah akan menjadi 'sejarah' dalam hidup saya kerana saya merupakan pelajar dalam bidang Bahasa. Malangnya sangkaan itu meleset sama sekali. Boleh dikatakan setiap subjek yang diambil dimulakan dengan 'sejarah'. Hinggakan saya masih ingat bagaimana saya seolah tidak percaya apabila saya melihat papan hitam (ada dewan kuliah yang pakai kapur) di hadapan saya dipenuhi dengan peta! Ya Allah...rupanya tidak ada jalan untuk saya lari dari peta, tahun, peristiwa dan tokoh sejarah!
Hari demi hari saya mula memahami dan meyakini bahawa separuh daripada setiap bidang ilmu adalah tentang sejarah. Setiap ilmu yang kami pelajari di universiti secara rasmi atau di masjid dan rumah para ilmuan adalah sejarah. Kami perlu melalui sejarah setiap bidang ilmu bahkan diwajibkan menghafal tarikh-tarikh, fakta-fakta dan sebagainya.
SEJARAH 'WAJIB' DIPELAJARI
Sehinggalah saya amat yakin bahawa - umat yang tidak kenal sejarah adalah umat yang paling mundur dan paling keliru. Saya memetik kata-kata berikut untuk anda:
David Crabtree (www.mckenziestudycenter.org):
"But history does matter. It has been said that he who controls the past controls the future. Our view of history shapes the way we view the present, and therefore it dictates what answers we offer for existing problems".
Peter N. Stearns (www.historians.org):
"History should be studied because it is essential to individuals and to society, and because it harbors beauty"
SEJARAH ILMU HADITH DAN ILMU FIQH
Saya mengambil contoh bidang ilmu yang pernah saya pelajari ketika berada di Jordan - ilmu hadith dan ilmu fiqh. Kedua bidang ilmu ini apabila dihayati, ia adalah subjek yang mempelajari sejarah yang telah dicipta oleh ilmu silam.
TIDAK KENAL KEDUDUKAN AHLI HADITH SILAM
Sebagai contoh, apabila ilmu seperti hadith dipelajari tanpa memberi penekanan kepada sejarah, lahirlah sebahagian penuntut ilmu hadith zaman ini yang tidak kenal kehebatan ahli hadith silam. Mereka hanya memfokuskan kepada kaedah-kaedah hadith yang dibukukan dan diringkaskan malah di'carta'kan secara canggih pada zaman ini. Fokus mereka telah melahirkan sikap 'terlalu yakin' hingga ke tahap mereka menyangka bahawa 'aku juga boleh mencapai tahap keilmuan Imam Hadith silam seperti al-Bukhari, Muslim dan lain-lain'! Mengapa mereka terlalu yakin? Kerana mereka tidak memahami sejarah kajian Hadith.
MEMBACA SEJARAH BUKAN SEMATA HOBI
Membaca kisah hidup ahli hadith terkadang dianggap sebagai satu 'hobi masa lapang', 'tak baca pun tak apa', 'kisah hidup biasa', 'tiada kaitan dengan kajian'....adakah benar begitu??
Ketika menulis buku tentang kisah para ulama silam menuntut ilmu, ilmuan hadith moden yang terkenal - Syeikh Abd. Fattah Abu Ghuddah - telah menyatakan kepentingan mengkaji sejarah kehidupan para ulama dan beliau juga menukilkan kata-kata Imam mazhab Hanafi, Abu Hanifah (150H) :
"Kisah-kisah tentang ulama dan kebaikan mereka lebih aku suka daripada terlalu banyak mempelajari fiqh (sedangkan dia Imam Fiqh Mazhab Hanafi) kerana kisah-kisah itu ialah adab-adab golongan berilmu".
MEMANDANG 'BIASA' TERHADAP ILMUAN FIQH SILAM
Contoh lain, apabila sebahagian penuntut ilmu fiqh mempelajari kaedah-kaedah fiqh dan usul fiqh tanpa menekankan kepada kajian sejarah pembentukan mazhab atau sejarah ulama fiqh terkemuka zaman kegemilangan Islam, lahirlah 'mujtahid moden' yang boleh mengeluarkan ijtihad dan fatwa dengan mudahnya semudah memetik jari dan menekan 'mouse'! Mengapa? Mereka mengabaikan sejarah perkembangan fiqh.
Ilmuan fiqh Islam - terutamanya imam mazhab - pula dilihat dengan sebelah mata. Pada mereka yang tidak mengenali sejarah kehidupan para imam itu, mereka menganggap bahawa sesiapa sahaja boleh menyamai taraf imam mazhab dalam tempoh masa yang singkat. Adakah benar begitu? Tidak sama sekali. Sangkaan sebegitu disebabkan mereka tidak pernah 'mengkaji' sejarah kehidupan dan perkembangan imam-imam dan tokoh mazhab.
SEJARAH - SUMBER MOTIVASI
Membaca sejarah boleh membangkitkan semangat dalam diri untuk lebih maju. Bukan setakat itu, malah jiwa yang menghayati sejarah akan lebih teguh dan tabah menghadapi pelbagai cabaran sebagaimana ia pernah dihadapi oleh manusia terdahulu. Sebagai contoh, bacalah kisah ketabahan Nabi Musa berdepan Firaun, kisah ketabahan Nabi Yusuf ketika dalam penjara, kisah suka duka para ulama mencari ilmu dan sebagainya. Bukankah ia membangkitkan rasa keinsafan dan keazaman dalam diri?
SEJARAH - DIBACA DAN DIFAHAMI
Seperkara lagi sebelum saya mengakhiri coretan isi hati ini - mungkin difahami atau tidak, saya mohon maaf - saya ingin menegaskan bahawa:
apa jua bidang - sama ada ilmu-ilmu Islam atau ilmu berkaitan keduniaan dan lain-lain, ia amat perlu kepada kajian sejarah kemunculan dan perkembangannya. Bukan hanya sekadar tahu, tetapi memahami bagaimana sebenarnya sejarah itu berlaku. Itulah yang akan memelihara kita dari salah faham, keliru, tidak dapat membezakan antara fakta dan 'auta' dan sebagainya.
Semoga coretan ini dapat dihayati bersama.
Adlan Abd. Aziz
No comments:
Post a Comment