Pages

Monday, 18 October 2010

Tinta Musafir#3 - Yakin dan Tawakkal

Salam semua, sudah lama rasa tidak mencoretkan sesuatu buat laman Pemuda Iman. Syukur kepada Allah SWT kerana masih mengurniakan kekuatan untuk kita sama-sama berkongsi sesuatu yang bermakna agar dapat sama-sama kita manfaatkan. Alhamdulillah, syukur sekali lagi kepada Allah, hampir sebulan ayah bonda saya berasa di United Kingdom (UK) setelah setahun setengah kami berpisah di lapangan terbang KLIA pada 22 Disember 2008 yang lalu. Kini mereka sudah pulang ke tanah air selepas sebulan berada di sini bersama kami.

Mereka datang membawa harapan dan doa buat kami di perantauan ini. Rindu di dada yang sudah lama mencengkam terubat sudah. Apatah lagi melihat cucu kelahiran bumi British ini yang sudah hampir 6 bulan usianya.

Maha Besar kuasa Allah SWT yang mengaturkan dan menjalankan rancanganNya. Kita memiliki perancangan sendiri, tetapi Allah SWT mempunyai perancangan yang terbaik.

Ayah bonda saya boleh dikategorikan sebagai golongan warga emas, umur mereka sudah hampir mencecah 70-an. Ditambah dengan perbendaharaan kata Bahasa Inggeris yang agak terbatas, malah dalam keadaan kesihatan yang sangat membimbangkan. Mereka kelihatan sangat uzur untuk menempuh satu perjalanan jauh merentasi lautan Hindi dan 2 benua untuk sampai ke UK ini. Ayah saya bergantung dengan 2 inhaler bagi penyakit asthmanya dan bonda saya juga tak kurang dibekalkan 2 jenis pil untuk gastrik kroniknya.

Mengikut logik akal, saya melihat amat mustahil bagi mereka untuk terbang sejauh 14 jam perjalanan ke UK ini tanpa sesiapa yang atau sekurang-kurangnya seorang yang kuat di sisi mereka. Membantu mereka dengan barang-barang dan memudahcara mereka dalam komunikasi dan berada di sisi mereka jika berlaku sebarang kecemasan kerana ayah saya sudah beberapa kali dikejarkan ke unit kecemasan sebelum ini kerana asthmanya yang sangat kronik.

Namun, kita merancang, tetapi Allah jugalah perancang yang terbaik. Mereka yang merancang untuk menemani atau tempat ayah bonda saya menumpang kuat tidak dapat menyertai ayah bonda saya ke sini di saat akhir. Saya agak kecewa dan hampir putus asa dengan kemungkinan kedatangan mereka berdua tanpa sesiapa yang menemani mereka ke bumi JWW Birch ini.

Tetapi ayah dan bonda saya yang amat sangat merindu anak cucu di perantauan ini dan oleh kerana mereka juga mempunyai jiwa yang kuat, mereka berdua meneguhkan hati, meyakini yang mereka mampu terbang berdua ke sini. Tanpa sesiapa menemani. Keyakinan dan tawakkal yang kuat dipasakkan kepada Allah SWT. Apa yang bakal terjadi diserahkan bulat-bulat di tangan Allah. Mereka pasrah dan kami semua juga pasrah. Meskipun masih ada terdetik kerisauan di hati ini, namun kata-kata bonda yang yakin akan pertolongan Allah membuatkan kami juga yakin dan tawakkal.

Kami semua berdoa siang dan malam agar hajat mereka berdua untuk terbang ke sini menziarahi anak cucu yang sekian lama terpisah ditunaikan Allah SWT. Moga perjalanan pergi dan pulang mereka dimudahkan dan tiada sebarang yang buruk berlaku.

Syukur Ya Allah! Ketika mereka datang, Allah menghantarkan cucu saudara bonda saya berada bersama di dalam kapal terbang. Dia yang kebetulan mengikuti rombongan sekolahnya membantu urusan di LCCT Airport dan menolong mengangkat bagasi ayah dan bonda saya sebaik tiba di Stansted Airport, London. Semasa di Stansted juga, mereka dikirimkan Allah seorang India Malaysia yang membantu mengisi borang dan komunikasi di kaunter imigresen. Malah barang-barang mereka disorong oleh seorang pelajar Malaysia yang baru pulang dari bercuti di Malaysia sehingga bertemu kami di balai ketibaan. Subhanallah! Masya Allah!

Yakinlah kita dengan janji Allah SWT! Tetapkan iman dan kukuhkan keyakinan akan kekuasaanNya. Dia Maha Mengetahui! Dia Maha Mendengar! Kita yang kadang-kadang sombong dan yakin akan kemampuan diri sendiri tanpa menyedari kuasa Allah mengatasi segalaNya. Dia pemilik langit dan bumi ini. Dia mampu mengarahkan kawanan burung Ababil menyerang tentera Abrahah di Mekah, Dia mampu menghidupkan semula 3 ekor burung yang dicincang dan diletakkan di atas 3 puncak bukit yang berbeza bagi meneguhkan keyakinan Nabi Ibrahim A.S. Dia juga mampu memusnahkan keegoaan Namrud hanya dengan seekor nyamuk yang kecil dan macam-macam lagi kekuasaan Allah yang mesti kita yakini.

Lihatlah keyakinan mereka yang beriman di jalan Allah SWT di zaman Rasulullah SAW, apabila dimaklumkan akan musuh yang sudah bersedia menghadapi mereka, dengan yakin mereka menjawab, Allahlah sebaik-baik pembantu. Indah sungguh iman mereka saat itu.

Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: “Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya”. Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: “Cukuplah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)”.
Ali ‘Imran : 173

Marilah sama-sama kita nasihat-menasihati bahawa keyakinan dan tawakkal kepada Allah SWT mestilah sepenuh hati tanpa ragu-ragu walau sedikit pun. Usaha sebelum bertawakkal amat penting agar kita bukan hanya seperti menunggu bulan jatuh ke riba. Kerana ingatlah, Allah SWT akan memberi setelah hambanya berusaha dan seterusnya berdoa, meminta dan tawakkal kepadaNya.

"Berdoalah kepadaKu, nescaya akan aku perkenankan bagimu" Al-Mu'min:60

Noor Asmin bt. Mohamad Khassim
Leicester, United Kingdom

1 comment:

Anonymous said...

Subhanallah..hebatnya Allah.
Terima kasih atas perkongsian kisah ini..