Pages

Monday, 19 September 2011

Apa Inti Perbualan Harian Anda?

Itu antara cara mengukur sejauh mana berkualiti atau tidak masa yang kita habiskan dengan berbual. Setiap manusia perlu teman untuk berbual - ibu bapa, anak isteri, rakan-rakan - kerana perbualan merupakan satu bentuk perkongsian dan tanpa perkongsian hidup tidak bermakna.

Namun seorang manusia berakal seharusnya sedar bahawa apa yang dibualkan itu memakan masa dan tenaganya. Apakah berbaloi kita habiskan masa dan tenaga berbual semata-mata perkara yang kosong atau faedahnya sedikit? Kalau kita menyedari bahawa perbualan seharian kita merupakan penggunaan masa dan tenaga serta idea dan fikiran, mungkin kita akan lebih berfikir tentang inti perbualan itu - adakah ia berfaedah? Mungkin ia perbualan berbentuk gurauan tapi berfaedah. Contohnya gurauan antara keluarga dan rakan-rakan yang mana ia boleh mengeratkan lagi hubungan dan meredakan kegelisahan serta mengukirkan senyuman. Ia berfaedah jika dilihat secara mendalam.

Tapi jika gurauan itu tiada tujuan melainkan mengata atau bercakap perkara tak senonoh, adakah ia boleh kita anggap berfaedah?

Pertama - lihat apa yang kita bualkan.
Kedua - lihat masa yang kita gunakan untuk perbualan itu, adakah terlalu lama?
Ketiga - lihat pula apakah hasil positif dari perbualan itu.

Kesemuanya ini perlu dilihat dan direnung bersama terutama bagi mereka yang banyak berbual di kedai-kedai kopi malah juga di masjid atau surau.

Pada hakikatnya, kandungan perbualan kita itulah yang akan mempengaruhi perkara utama dalam hidup kita - semangat untuk melakukan kebaikan, ilmu pengetahuan yang bertambah dan berterusan, amalan baik yang konsisten dan sebagainya.

Maka renungkanlah perbualan harian anda, maka itulah sebenarnya diri anda walaupun anda membuat pelbagai dakwaan bahawa anda ialah orang itu dan orang ini....bla bla bla...

wallahu a'lam

No comments: