Bagi golongan yang Mesra al-Quran, mereka akan mendapati bahawa Allah SWT banyak membincangkan tentang golongan manusia yang digelar Munafiq. Fokus terhadap golongan ini terbukti apabila terdapat surah khusus iaitu surah Al-Munafiqun di dalam Al-Quran. Bahkan di awal surah al-Baqarah, Allah SWT memperuntukkan 8 ayat beserta 2 perumpamaan khusus tentang golongan terlaknat ini berbanding ayat-ayat tentang golongan al-Muttaqun (3 ayat sahaja) dan Kuffar (2 ayat sahaja). Apatah lagi hadith-hadith nabawi juga banyak menceritakan perihal golongan ini. Semua ini mengajar kita agar:
1. Sedar bahawa golongan ini wujud sepanjang zaman dalam berbagai nama namun berkongsi perangai yang sama.
2. Bersikap waspada apabila berhadapan dengan golongan terlaknat ini
3. Menjauhi perangai terkutuk mereka kerana ancaman dahsyat Allah SWT yang menanti manusia yang mencontohinya.
SIFAT
Sekadar mengambil 2 ayat dari al-Quran untuk panduan kita bersama mengenal perangai Al-Munafiqun:
إِنَّ الْمُنَافِقِينَ يُخَادِعُونَ اللّهَ وَهُوَ خَادِعُهُمْ وَإِذَا قَامُواْ إِلَى الصَّلاَةِ قَامُواْ كُسَالَى يُرَآؤُونَ النَّاسَ وَلاَ يَذْكُرُونَ اللّهَ إِلاَّ قَلِيلاً
(AL-NISA:142)
Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).
الْمُنَافِقُونَ وَالْمُنَافِقَاتُ بَعْضُهُم مِّن بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمُنكَرِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمَعْرُوفِ وَيَقْبِضُونَ أَيْدِيَهُمْ نَسُواْ اللّهَ فَنَسِيَهُمْ إِنَّ الْمُنَافِقِينَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
(AL-TAWBAH:67)
Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat, dan melarang dari perbuatan yang baik, dan mereka pula menggenggam tangannya (bakhil kedekut). Mereka telah melupakan (tidak menghiraukan perintah) Allah dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itu, merekalah orang-orang yang fasik.
Berdasarkan 2 ayat di atas, dapat difahami 6 sifat utama kepada Munafiqun adalah:
1. Penipu Besar
2. Malas Beribadah
3. Tidak Ikhlas Beramal
4. Kurang Zikrullah (mengingati Allah SWT)
5. Tidak Menunaikan Tugas Berdakwah
6. Kedekut Dalam Berinfaq
HUKUMAN
Manakala hukuman Allah SWT terhadap golongan ini adalah 2 iaitu:
1. Laknat Dari Allah SWT (Jauh dari RahmatNya)
2. Kekal Dalam Azab Neraka Yang Paling Bawah (Terhina)
Berdasarkan 2 ayat Allah SWT iaitu:
وَعَدَ الله الْمُنَافِقِينَ وَالْمُنَافِقَاتِ وَالْكُفَّارَ نَارَ جَهَنَّمَ خَالِدِينَ فِيهَا هِيَ حَسْبُهُمْ وَلَعَنَهُمُ اللّهُ وَلَهُمْ عَذَابٌ مُّقِيمٌ
(AL-TAWBAH:68)
Allah menjanjikan orang-orang munafik lelaki dan perempuan serta orang-orang kafir dengan neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya. Cukuplah neraka itu menjadi balasan mereka; dan Allah melaknatkan mereka, dan bagi mereka azab seksa yang kekal.
إِنَّ الْمُنَافِقِينَ فِي الدَّرْكِ الأَسْفَلِ مِنَ النَّارِ وَلَن تَجِدَ لَهُمْ نَصِيرًا
(AL-NISA:145)
Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka.
Wallahu’alam
JADILAH GOLONGAN MESRA AL-QURAN
No comments:
Post a Comment