Pages

Tuesday, 6 September 2011

ULUL AL-BAB DALAM AL-QURAN

Ulul Al-Bab merupakan sekumpulan manusia yang mendapat kemuliaan dan pengiktirafan tinggi dari Allah SWT. Ulul al-Bab bermaksud orang-orang yang beraqal. Aqal merupakan antara anugerah terbesar Allah SWT kepada manusia. Makhluq ciptaan Allah selain manusia tidak menerima anugerah ini. Pemilihan manusia melalui Nabi Adam A.S sebagai Khalifatullah di muka bumi ini juga adalah kerana aqal yang diberiNya kepada manusia. Justeru, manusia perlu mensyukuri anugerah pemberianNya ini dengan memahami metod dan cara menggunakannya dengan betul. Selain itu, pengiktirafan yang diberikan Allah SWT kepada mereka turut mengajar kita agar:

1. Berusaha mencontohi sifat yang dimiliki mereka.
2. Kerap mendampingi mereka untuk mendapat faedah dunia dan akhirat


PENGIKTIRAFAN
Ulul al-Bab merupakan antara golongan hamba-hambaNya yang dianggap berjaya (Muflihun) dan mendapat Hidayah Allah SWT kerana kejayaan mereka menggunakan aqal menurut kehendakNya. Menurut kehendakNya bermaksud, aqal tersebut digunakan untuk mencapai Taqwa kepada Allah SWT. Oleh itu, manusia yang tidak menggunakan aqal menurut kehendakNya dianggap gagal dan sesat (Dhallun) walaupun mereka mempunyai ilmu yang tinggi berbanding orang lain. Ini berdasarkan 2 Firman Allah SWT: Al-Ma'idah 5:100 dan Az-Zumar 39:18

قُل لاَّ يَسْتَوِي الْخَبِيثُ وَالطَّيِّبُ وَلَوْ أَعْجَبَكَ كَثْرَةُ الْخَبِيثِ فَاتَّقُواْ اللّهَ يَا أُوْلِي الأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Katakanlah (wahai Muhammad): "Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu bertaqwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya.

الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ أُوْلَئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ وَأُوْلَئِكَ هُمْ أُوْلُوا الْأَلْبَابِ

Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum ugama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna

SIFAT
Menelusuri ayat-ayat al-Quran yang membicarakan perihal golongan Ulul al-Bab dapat disimpulkan bahawa mereka mempunyai 3 sifat utama:

1. Tazakkur (banyak mengingati Allah SWT). Berbanding dua sifat yang lain bagi Ulul Al-Bab, sifat tazakkur merupakan sifat terbanyak disebut Allah SWT buat mereka. Dapat difahami iaitu, orang yang bijak adalah orang yang banyak mengingati dan bergantung harap pada Allah SWT. Zikrullah boleh ditafsirkan sebagai banyak beribadah dan berdoa kepadaNya untuk mencapai Taqwa.

2. Tadabbur (banyak merenung Ayat-ayat Al-Quraniyyah). Ulul Al-Bab bukan sekadar mereka yang rajin mengkhatam Al-Quran, tetapi turut berusaha memahami mesej yang disampaikan al-Quran kepada mereka. Kisah- kisah Quraniyah diambil pengajaran. Hukum-hukumnya pula ditaati.

3. Tafakkur (banyak memikirkan ciptaan Allah SWT). Makhluq ciptaan Allah SWT yang ada disekeliling menjadikan mereka rajin mengkaji dan mendalami ilmu yang berkaitan makhluq tersebut untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT dan bukan untuk menambah ilmu semata.

Antara dalil yang membincangkan sifat-sifat ini adalah: 38:29, 3:190-194

كِتَابٌ أَنزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِّيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُوْلُوا الْأَلْبَابِ

(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ وَاخْتِلاَفِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لآيَاتٍ لِّأُوْلِي الألْبَابِ الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىَ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذا بَاطِلاً سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ رَبَّنَا إِنَّكَ مَن تُدْخِلِ النَّارَ فَقَدْ أَخْزَيْتَهُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنصَارٍ رَّبَّنَا إِنَّنَا سَمِعْنَا مُنَادِيًا يُنَادِي لِلإِيمَانِ أَنْ آمِنُواْ بِرَبِّكُمْ فَآمَنَّا رَبَّنَا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّئَاتِنَا وَتَوَفَّنَا مَعَ الأبْرَارِ رَبَّنَا وَآتِنَا مَا وَعَدتَّنَا عَلَى رُسُلِكَ وَلاَ تُخْزِنَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِنَّكَ لاَ تُخْلِفُ الْمِيعَادَ

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka. Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun; Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang Penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: ` Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu ', maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti; Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat; sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji"

Wallahu’alam
JADILAH GOLONGAN MESRA AL-QURAN

No comments: