
oleh : Adlan Bin Abd. Aziz
عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ - رضى الله عنه - قَالَ مَا عَابَ النَّبِىُّ - صلى الله عليه وسلم - طَعَامًا قَطُّ ، إِنِ اشْتَهَاهُ أَكَلَهُ ، وَإِلاَّ تَرَكَهُ
Maksudnya:
Abu Hurairah r.a. berkata : Rasulullah SAW tidak menghina apa-apa makanan pun. Jika Baginda inginkan makanan itu, dia akan memakannya. Jika Baginda tidak menginginkannya, dia akan meninggalkannya.
[Hadith Riwayat al-Bukhari - no.3563, dan Muslim – no.5504]
Hadith ini walaupun berkaitan soal makanan, tetapi maksudnya amat mendalam dan boleh dijadikan pengajaran dalam pelbagai sudut. Di antaranya ialah bagaimana Rasulullah SAW memberikan contoh kepada kita agar bersama menjaga lidah dan percakapan.
Saya terfikir dan saya ingin anda juga berfikir – kalaulah makanan pun tidak patut kita hina dan caci atau kutuk, apatah lagi manusia! Makanan yang tidak berakal dan tidak langsung terjejas dengan cacian dan kejian pun TIDAK patut dihina, inikan pula manusia seperti saya dan anda!
Marilah kita bersama membaca hadith ini dan hadith-hadith yang lain untuk kita jadikan Rasulullah SAW sebagai contoh terbaik. Memang kita tak akan dapat menyamai Baginda kerana Baginda adalah yang terbaik. Tetapi apa alasan kita untuk sentiasa berkata ‘nak buat lagu mana, saya ni setakat ni saja la’? Seolah kita sudah berputus asa untuk mencontohi kehidupan yang dibawa oleh Baginda?
Jawapannya ialah sememangnya Baginda diutuskan untuk kita. Maka berusahalah untuk mempelajari kehidupannya dan dari situlah kita akan dapat mengenal pasti apakah sudut-sudut yang perlu kita amalkan berpandukan ajaran Baginda SAW.
Sebahagian dari kita tidak dapat menahan diri daripada menghina sesuatu atau seseorang. Ini satu sikap yang tidak sepatutnya menjadi ‘tabiat’. Biarlah ia menjadi satu ‘kesilapan’ yang dilakukan sesekali dan dengan secepat mungkin kita mengakuinya dan meninggalkannya. Biasalah kalau kita terkadang tersasul mengutuk makanan yang tidak sedap, kurang garam, kurang enak, tidak cukup itu dan ini. Sepatutnya kita tidak begitu tetapi itulah kita! Maka bandingkanlah diri kita dengan akhlak Rasulullah SAW di dalam hadith di atas.
Begitu juga sebahagian daripada kita amat suka dan ‘syok’ apabila berbicara tentang keburukan, keaiban dan kekurangan orang lain. Seolah kita ini terlalu sempurna, seolah kita amat hebat sehingga tidak ada masa untuk memperbaiki diri, tetapi sempat pula menghina orang lain!
Kalau kita boleh mengubah hidup kita dalam pelbagai segi, apalah sangat kita ubah diri kita agar tidak lagi menghina sesuatu atau seseorang hanya kerana kita menganggap ia tidak sesuai dengan diri kita.
Berfikirlah untuk menghargai sesuatu sebelum mencari keaiban atau kekurangan seseorang. Ini nasihat untuk saya dan kita bersama.