Pages

Friday, 23 October 2009

Menara Minda #1 - Bukan Sekadar Pertemuan Klasik...


Oleh: Ahmad Faiz bin Abdul Latip@faizalm

Temuilah mana-mana orang muda yang sihat dan cergas; persamaan mereka ini suka berkawan, bergelak riuh rendah dan lepak-lepak di kedai mamak sambil menonton perlawanan bola sepak English Premier League sehingga dinihari. Itu biasa, style klasik. Pasti mereka puas dan girang tatkala pecah derai tawa dihantar jauh bersipongang ke merata ceruk pekan. Walaupun banyak mata memerhati mereka dengan rasa hati yang tidak puas, mereka tidak entang. Getus hati: Aku punya kawan-kawan yang hebat di sisi! Alan pakar sejarah, Anif software engineer, Zahiri lecturer di International University! Lantaklah, siapa berani tegur kami! Tauke restoran tidak ralat pun, I don’t give a damn!

Namun, timbul persoalan, berbaloikah feel good time yang orang muda hirup selama berjam-jam itu? Sama sekali tidak! Betapa untung jika setiap rupa pertemuan itu diisi dengan wajah-wajah iman, ilmu dan amal? Bukankah cantik jika orang muda mahu menyelit satu dua buah problem masyarakat untuk dibentang di meja kopi itu. Mahu ketawa berdekah-dekah? Silakan, jika itu style orang muda asalkan ianya terkawal tapi cubalah usahakan sedikit perubahan demi kebaikan diri orang muda sendiri.

Siapa mampu menjangka hasil pertemuan enam orang pemuda, yang cuma bekerja sebagai pekerja am, dengan Hassan Al-Banna, seorang guru muda, akan merakam sejarah gemilang ummat? Pemuda-pemuda ini, yang begitu tertarik dengan aura Al-Banna setelah mendengar ucapan-ucapan beliau di masjid dan kedai-kedai kopi, telah pergi menemui beliau; mengadakan perbincangan dan akhirnya mengikat sumpah setia sama-sama bekerja untuk Islam. Tujuan awal mereka sekadar ziarah bertanya khabar telah bertukar menjadi sesuatu yang hebat!

Macam mana agaknya pertemuan yang berlaku di antara enam pemuda ini: Hafiz Abdul-Hamid, Ahmad Al-Hussary, Fuad Ibrahim, Abdur-Rahman Hasab-Allah, Ismail Izz and Zaki Al-Maghriby dengan Hassan Al-Banna? Mereka mungkin tidak pernah kenal satu sama lain kerana mereka hanyalah pekerja buruh di syarikat pembinaan Terusan Suez manakala Al-Banna pula guru sekolah. Tiada gelak tawa dan mungkin tiada makan minum pun tetapi impak pertemuan ini telah melahirkan satu gerakan hebat yang digeruni oleh musuh-musuh Islam dan dicintai oleh saudara-saudara seagama mereka ini!

Inilah titik tolak penubuhan Ikhwan Al-Muslimun (IM) di Mesir (1928) yang jasanya harum mewangi sepanjang zaman. IM bukan sekadar menjadi fenomena di dunia Islam, tetapi turut menjadi igauan buruk Yahudi Zionis sehingga IM, khususnya Al-Banna tidak harus dibiarkan hidup lebih lama lalu dibunuh pada tahun 1949. Bilakah kali terakhir musuh Islam dihinggap rasa gerun terhadap ummat ini sebelum munculnya IM dan Al-Banna? Jawapannya sudah terlalu lama, lebih kurang lapan abad terdahulu ketika Salahuddin Al-Ayyubi gagah berdiri memimpin ketumbukan tenteranya menentang tentera-tentera Salib di Palestin!

Sudah pasti pertemuan ini istimewa tetapi apakah yang menyebabkan ia begitu? Faktor terpenting ialah insan atau orang muda itu sendiri. Pemuka-pemuka IM ini adalah golongan orang muda yang insaf akan tujuan mereka dihantar ke dunia ini. Bagi mereka, tiada kerja lain yang lebih utama melainkan mission untuk mengembalikan masyarakat Islam kepada ajarannya yang sebenar. Ketahuilah, kerja-kerja pejabat mereka diturun pangkat menjadi kerja sampingan bahkan sebaliknya kerja mengajak masyarakat ini menjadi full time job! Jiwa dan minda mereka begitu jelas manakala fizikal mereka dinamik sekali sehingga tidak rela membiarkan saat-saat pertemuan itu berlalu sia-sia tanpa sebarang hasil.

Bagi orang muda yang akan bertemu lagi menjelang tengah malam hujung minggu ini, jom mulakan sedikit perubahan agar pertemuan itu tidak hilang begitu sahaja dipuput bayu malam. Rancanglah atau rangkalah suatu kelainan pada agenda malam yang panjang itu; boleh sahaja bicara soal buku-buku bestseller, atau merangka plan perniagaan kecil-kecilan atau setidak-tidaknya ambil tahu kesusahan masyarakat luar bandar yang belum bertemu jalan keluar. Jangan ketinggalan untuk menyelitkan sama kisah menyayat hati di Gaza.

Formulanya mudah; cuma luangkan 20% sahaja daripada keseluruhan masa anda berborak dan bergelak ketawa itu. Semoga perubahan yang titik bengik ini menjadi titik tolak kepada perubahan yang lebih baik pada pertemuan-pertemuan yang menyusul. Mudah-mudahan orang muda akan mengecap manisnya pertemuan selepas ini, didorong oleh rasa kecintaan kepada rakan-rakan semata-mata kerana Allah; bertemu dan berpisah semata-mata keranaNya, maka orang muda akan termasuk ke dalam tujuh golongan yang dijanjikan naungan Allah pada hari yang tiada naungan (hari qiamat) kecuali naungan Allah semata-mata. Golongan itu, seperti hadis riwayat Al-Imam Bukhari dan Al-Imam Muslim: "dua orang pemuda yang bertemu dan berpisah kerana Allah".


Kajang 22 Oktober 2009

No comments: