'..sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk' [Surah al-Kahfi, ayat 13]
Monday, 26 October 2009
CSI #1 - Hilangkan 'Mata Kebencian'
Cahaya Suluh Iman....
Oleh: Adlan Bin Abd. Aziz
لاَ تَحْقِرَنَّ مِنَ الْمَعْرُوفِ شَيْئًا وَلَوْ أَنْ تَلْقَى أَخَاكَ بِوَجْهٍ طَلْقٍ
Maksudnya:
Jangan sesekali engkau memandang remeh sesuatu perkara yang baik, walaupun sekadar engkau bertemu dengan saudaramu dengan wajah yang manis.
[Hadith riwayat Imam Muslim – no.6857]
Seringkali saya dan anda bertemu dengan orang-orang yang suka memperlekehkan orang lain. Apabila bertemu dengan orang yang suka menderma, ‘la, kalau setakat tu baik tak payah derma’. Berjumpa dengan orang yang berpakaian lusuh, ‘pakai la bagi elok sikit, belemoih!’. Terserempak pula dengan orang berpakaian kemas dan mewah, ‘sombong, belagak!’. Bertemu pula dengan orang yang menulis, ‘buku macam tu pun nak tulis, sapa-sapa pun boleh tulis’. Bertembung dengan orang yang berceramah, ‘ceramah la elok-elok sikit, aku pun boleh kalau macam tu’. Masalahnya, kalau hang boleh buat, awat hang tak buat? At least he did something good. What about you? What about now? (Daughtry)
Kita kena bezakan antara orang yang ‘nak buat’, dengan orang yang ‘telah buat’. Dan sudah pasti orang yang ‘telah buat’ lebih maju! Ibarat dia berlari-lari anak, sedikit demi sedikit pasti dia lebih ke hadapan dari kita yang masih lagi berdiri tegak menegur orang itu dan orang ini. Awat hang jadi lagu tu?
Kita juga perlu sangat-sangat memahami peringkat demi peringkat yang dilalui dalam hidup. Takkanlah sebuah institut tahfiz akan melahirkan pakar dalam Al-Quran pada tahun pertama ia ditubuhkan? Kalau hari ini seorang ibu melahirkan anak, berpuluh tahun masanya barulah anak itu akan menjadi ‘somebody’ atau ‘nobody’. Jangan pandang remeh perkara yang baik!
Seperkara lagi, kita memandang dari sudut diri kita sahaja. Sedangkan penilaian mesti dilihat daripada semua sudut. Kita sama-sama tahu kisah orang-orang yang menutup mata lalu memegang satu bahagian badan gajah. Maka amat perlu kita mendengar dan mengambil kira pandangan banyak pihak sebelum memberikan penilaian. Inilah keadilan namanya!
Rasulullah SAW mendidik kita –melalui hadith ini dan hadith-hadith lain- agar kita menjadi seseorang yang pandai menghargai perkara kebaikan. Apalah gunanya akal dan ilmu kalau kita tidak pandai menilai dan menghargai? Appreciation merupakan satu asas yang utama dalam psychology khususnya bidang ‘changing human behavior’. Kalau asyik memandang negatif, sudah pasti ‘semua’ perkara dalam dunia ini ‘tidak patut, tidak lengkap, tidak bagus…’.
Menurut sebuah syair arab yang dikatakan bersumber daripada Imam Muhammad Bin Idris al-Syafie (wafat 204H):
وعين الرضا عن كل عيب كليلة
ولكن عين السخط تبدي المساويا
Intinya: Mata keredhaan lesu mencari keaiban, tetapi mata kebencian akan mencari-cari pula keburukan.
Dalam hadith di atas tadi disebutkan istilah ‘al-ma’ruf’ iaitu semua perkara yang baik di sisi syariat dan akal. Kita perlu belajar menghargai perkara baik kerana walau pun ia kecil, ia tetap sesuatu yang ‘baik’. Begitu juga di dalam hadith yang amat mendalam maknanya ini Rasulullah SAW memberikan contoh – bertemu saudara seagama dengan wajah yang ceria. Itu saja? Ya, memang itu sahaja dan itu amat besar serta bernilai – pada orang yang pandai menghargai kebaikan!
Kajang, 5.52 petang, 24 Okt.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Salaam'alaykum Ustaz,
teruskan berkongsi! :)
Post a Comment