Pages

Friday, 29 October 2010

Semua Orang Boleh 'Ijtihad' Dalam Hadith?

Terdapat satu kaedah yang disebut selalu oleh mereka yang berminat dalam kajian hadith tak kira sama ada yang mengambil pengkhususan dalam bidang hadith atau mereka yang berminat dari jauh sahaja. Kaedah itu berlegar di sekitar perkataan 'ijtihad'. Terdapat sebahagian peminat ilmu hadith bertanggapan bahawa kajian tentang hadith - sama ada kajian tentang kesahihan atau tentang penetapan kaedah kajian dan pengumpulannya - adalah berasaskan kepada ijtihad iaitu usaha yang bersungguh-sungguh untuk mendapat kebenaran dan mendapat hasil kajian. Ijtihad semata-mata?

Maka digambarkanlah bahawa kajian hadith sepanjang zaman sebenarnya adalah himpunan ijtihad-ijtihad daripada ulama hadith dan ia sama sahaja seperti ijtihad dalam bidang lain seperti fiqh dan tafsir. Tetapi, terdapat beberapa kekeliruan yang telah timbul hasil daripada salah faham terhadap maksud ijtihad dalam kajian hadith:

1- Kekeliruan yang timbul antaranya ialah tanggapan bahawa sesiapa sahaja boleh melakukan ijtihad dalam kajian hadith. Sebahagian peminat ilmu hadith begitu 'longgar' dalam meletakkan syarat untuk berijtihad dalam hadith sehinggakan seorang penuntut universiti tahun pertama dalam bidang yang bukan berkaitan kajian hadith juga boleh melakukan ijtihad dalam kajian hadith? Sehinggakan seorang yang tidak tahu Bahasa Arab pun boleh melakukan kajian dan menggunakan ijtihad dalam ilmu-ilmu hadith? Terdapat sebahagian penuntut yang dianggap sebagai ilmuan hadith yang tidak tahu tentang sejarah perkembangan kajian secara tepat dan tidak ada apa-apa pengiktirafan ilmiah dalam hadith secara formal atau tidak, tetapi dia boleh melakukan ijtihad dalam kajian hadith? Adakah ini yang kita maksudkan dengan istilah 'ijtihad' dalam kajian hadith?
Mereka ada yang berkata - bukankah buku sudah diterjemahkan? Saya berulang kali menegaskan dan saya tidak akan sekali-kali jemu menegaskan bahawa tidak semua buku utama yang diperlukan dalam kajian hadith sudah diterjemahkan. Saya juga berulangkali menegaskan bahawa sebahagian buku yang diterjemahkan juga tidak tepat dan tidak sama seperti buku asal. Saya juga berulangkali bertanya - bagaimanakah anda yang mengkaji hadith tanpa mengetahui Bahasa Arab boleh memastikan ketepatan terjemahan dengan buku asal?
Adakah anda yang mempelajari ilmu perubatan sebagai contoh boleh tiba-tiba menjadi ahli hadith dalam waktu yang singkat? Sedangkan anda pasti tidak akan bersetuju dengan pelajar bidang ilmu Islam menjadi pengamal perubatan dalam masa yang singkat.
Yakinlah, bahawa setiap kali anda merasakan ilmu kajian hadith amat mudah bagi anda - tanpa Bahasa Arab, tanpa asas ilmu hadith bersistem, tanpa kajian dan pengalaman - maka yakinlah anda sedang melakukan kesilapan demi kesilapan walaupun ramai memuji anda sebagai ahli hadith.
Saya tuturkan dengan mudah di sini - adakah anda bersetuju bahawa semua ustaz yang belajar Bahasa Arab boleh jadi ahli dalam hadith? Sudah pasti jawapannya tidak. Maka bagaimana yang bukan ustaz dan tidak tahu Bahasa Arab boleh jadi pakar dalam hadith? Bukankah ia lebih sukar?

2- Kekeliruan makin tebal apabila ada yang mengagungkan ahli hadith moden melebihi ahli hadith silam kerana apa? Kerana yang moden dan yang silam keduanya berijtihad. Maka mengapa pula kita perlu lebihkan ahli hadith silam kerana mereka hanya berijtihad? Ahli hadith moden pun berijtihad. Malah ahli hadith moden lebih hebat kerana mereka mempunyai akses kepada buku-buku hadith yang telah dicetak dengan lengkap. Mereka juga mempunyai kekuatan dari sudut kecanggihan teknologi seperti komputer yang memudahkan dan mempercepatkan kajian - kononnya begitu! Ada yang menyatakan kepada saya bahawa tidak mustahil imam terdahulu salah dan ahli hadith moden betul. Saya bersoal kembali, dengan neraca dan pertimbangan apakah kita mengukur 'betul' dan 'salah'? Bukankah dengan kaedah yang disimpulkan daripada kajian hadith imam terdahulu? Maka timbul satu persoalan: Kita menggunakan kaedah yang disimpul dan digarap daripada kajian imam terdahulu untuk menyatakan bahawa mereka salah membuat kajian?

3- Kekeliruan sudah mencapai tahap maksimum apabila ada yang bertanggapan bahawa ijtihad tidak perlu kepada masa yang panjang...sekelip mata sahaja sudah menjadi mujtahid dalam hadith? Kalau begitu apa gunanya dan apa faedahnya para ahli hadith silam belajar berpuluh tahun sebelum memberikan hasil kajian dalam hadith? Cukup dengan satu buku tentang hadith-hadith solat sudah pandai mengajar 'Sifat Solat Nabi s.a.w.'? Cukup dengan satu dua buku terjemahan hadith sudah boleh membid'ahkan orang lain? Contohnya ...amat menghairankan orang yang taksub dengan Ibnu Taimiyyah boleh membid'ahkan penggunaan biji tasbih sedangkan Ibnu Taimiyyah mengatakan boleh. Mengapa jadi begitu? Disebabkan baca hanya satu buku. Contoh lain...cukup dengan satu buku, ada orang boleh menyatakan bahawa Imam al-Bukhari meriwayatkan hadith yang bertentangan dengan akal? Cukup dengan membaca satu dua buku sudah boleh bertukar mazhab? Sudah boleh mengkritik - mazhab ni rajih, mazhab ni marjuh? Sudah boleh mengenal pasti sahih dhaif semua hadith dengan hanya setahun dua 'berkenalan' dengan buku nipis dan ringkas?

Semuanya ini kerana tidak memahami apakah yang dimaksudkan dengan ijtihad. Oleh itu kita perlu sedari bahawa selain daripada ijtihad, kita perlu fahami apakah kelayakan untuk menjadi mujtahid. Begitu juga perlu difahami di manakah ijtihad itu perlu dilakukan. Dan yang penting juga ialah memahami bahawa ijtihad perlukan kesabaran dan kegigihan di samping masa yang lama. Semuanya ini amat berlainan dengan apa yang diangankan oleh peminat, penuntut atau 'syaikhuna' dalam hadith yang tidak ada kelayakan tapi boleh berijtihad dalam bidang hadith.

Tidak menghairankan apabila mereka yang tidak mampu ini 'berselindung' dan melakukan 'tadlis' dalam menyampaikan hasil kajian orang lain yang dihiaskannya menjadi kajian dirinya sendiri.

teguran untuk saya dan anda...

alitantawi

Monday, 25 October 2010

Mutiara Wahyu II: Pembahagian Surah Yaasin

Berdasarkan pemerhatian dan kajian, ayat-ayat dalam surah ini boleh dibahagikan kepada 4 kelompok perbincangan. Setiap perbincangan adalah saling berkaitan. Bahkan kaitan antara perbincangan tersebut adalah berbentuk kesinambungan ayat yang tidak terkeluar dari ruang lingkup pembinaan Aqidah Islamiyah.

1. Rasulullah SAW Sebagai Pendakwah: Ayat 1-12

Tafsiran Ringkas:
Ayat-ayat permulaan surah ini menyentuh suatu asas yang penting dalam kita memahami konsep beriman dengan Al-Quran dan RasulNya. Allah SWT bersumpah dengan Al-Quran di atas kebenaran wahyu dan rasul pilihanNya yang tujuannya adalah untuk berdakwah serta memberi peringatan (Inzar) dengan wahyu Allah SWT kepada 2 jenis manusia: Ghafilin (manusia-manusia yang lalai) dan Mukminin (manusia yang beriman). Dan diakhiri bahagian ini dengan penegasan bahawa Allah SWT akan menghidupkan kembali manusia diakhirat dan pembalasan akan diberikan kepada setiap manusia kerana setiap amalan sudah tertulis di Luh Al-Mahfuz.

Mutiara Wahyu:
a. Surah ini dimulai dengan dua isu yang memberi impak besar dalam konteks kehidupan seharian seorang manusia; Beriman dengan Al-Quran dan Rasulullah SAW. Beriman dengan Al-Quran bermaksud seorang muslim seharusnya membaca, memahami serta mengaplikasi setiap tuntutan dan panduan hidup beragama yang terkandung di dalamnya. Al-syahid Syed Qutb ketika menafsirkan ayat kedua surah ini berkata: Sesungguhnya pada Al-Quran itu ada ruh yang menghidupkan jiwa. Al-Quran berkomunikasi dengan manusia menurut kondisi kemampuannya. Beriman dengan Rasulullah SAW pula bermaksud mempercayai kesinambungan risalah yang dibawa baginda serta ketaatan yang komprehensif kepada setiap sunnah yang diwahyukan kepada baginda. Firman Allah SWT: Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.Katakanlah (wahai Muhammad): "Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka), maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir. (Ali Imran; 3:31-32). Oleh itu, setiap aspek kehidupan manusia perlu dipandu dengan kedua sumber wahyu ini supaya tidak sesat sehingga membawa kerosakan dunia dan kesengsaraan akhirat. Manusia yang menolak pengaruh kedua sumber ini dalam rutin hariannya adalah seperti seorang pemandu kereta yang tidak ada stereng dan brek ketika memandu kereta tersebut. Sudah pasti akan mudah terbabas ketika memandu kehidupannya.

b. Sebagai seorang muslim, tugas dakwah berasaskan konsep amar makruf nahi munkar menjadi amanah yang perlu dipikul semua kerana inilah tuntutan sunnah Rasulullah SAW ke atas semua umatnya. Sabda Nabi SAW: Agama itu nasihat. Kami bertanya: Bagi siapa? Baginda bersabda: Bagi Allah dan bagi kitabNya dan bagi RasulNya dan Imam-imam kaum muslimin dan bagi orang ramai mereka (Muslim). Namun dalam kita berdakwah, realiti masyarakat juga perlu diambil kira sebelum sesuatu dakwah itu dilaksanakan. Dalam ayat 6-11, Allah SWT menjelaskan bahawa adalah sunnah mana-mana pendakwah akan berhadapan dua golongan manusia dalam tugasnya; Golongan yang lalai hati-hati mereka (al-Ghafilun) serta mereka yang mengingati Allah SWT dan beriman dengan perkara ghaibiyyat (al-Mukminun). Justeru, dakwah perlu berhikmah kerana setiap golongan memerlukan pendekatan berbeza. Firman Allah SWT: Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. (al-Nahl; 16:125)

c. Ayat kedua belas dari surah ini menjelaskan hakikat kehidupan manusia di dunia. Hakikat kematian yang pasti berlaku. Kehidupan selepas kematian juga adalah kepastian. Pembalasan amalan di dunia selepas kematian juga kepastian. Melazimi diri mengingati mati menjadikan seorang muslim sedar keutamaan hidup serta lebih bersedia menghadapi kepastian tersebut. Firman Allah SWT: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan pada hari kiamat saja akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia sudah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahan dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanya kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Ali Imran: 185). Masalah kemanusiaan yang berlaku kebelakangan ini adalah diakibatkan kurangnya keyakinan tentang hakikat kehidupan selepas kematian. Maka hilanglah kecerdikan kemanusiannya. Ibnu Umar pernah berkata: “Aku bersama Rasulullah, lalu seorang lelaki Ansar datang kepada Baginda mengucapkan salam lalu bertanya: Wahai Rasulullah. Manakah antara kaum mukminin yang paling utama? Baginda menjawab: Yang paling baik akhlaknya antara mereka. Dia bertanya lagi: Manakah di antara kaum mukminin yang paling cerdik? “Baginda menjawab: Yang paling banyak mengingati kematian antara mereka dan paling bagus persiapannya selepas kematian. Mereka itu orang cerdik,”(Ibnu Majah).

2. Kisah Penduduk Kampung: Ayat 13-29

Tafsiran Ringkas:
Syed Qutb menjelaskan dalam tafsirnya tentang hubungan antara kisah ini dengan ayat-ayat sebelumnya: Selepas membentangkan isu wahyu dan rasul serta isu kebangkitan dan pembalasan dalam bentuk keterangan berfakta (Taqririyyah/Factual Statement), surah ini kemudiannya membentangkan isu yang sama dalam bentuk penceritaan kisah (Qasasiyah/Narrative Form) yang menyentuh hati dengan membawakan kisah nasib mereka yang kekal menolak kebenaran wahyu dan kebangkitan. Sepertimana kisah-kisah lain dalam Al-Quran yang bersifat ringkas dan kurang perincian, kisah dalam surah yaasin ini menceritakan bagaimana keadaan penduduk sebuah kampung yang kufur kepada Allah SWT dan para rasul yang diutuskanNya kepada mereka. Al-Quran hanya menyebut bahawa telah diutuskan kepada mereka tiga utusan untuk menyelamatkan mereka dari kekufuran. Para utusan tersebut dihina dan diancam dengan kekerasan hanya kerana mereka membawa seruan yang berbeza dengan amalan kepercayaan tradisi mereka. Kemudian, datang seorang lelaki yang tidak dikenali dari hujung kampung tersebut yang mengajak mereka membenarkan risalah yang dibawa para utusan itu. Namun, oleh kerana sifat mereka yang degil mereka masih enggan menerima kebenaran. Ini bertepatan dengan ayat ke 8-10 yang menjelaskan keengganan mereka menerima kebenaran adalah kerana hati mereka telah mati tertutup. Kemudian lelaki tersebut dibunuh (walaupun tidak dinyatakan dengan jelas tentang pembunuhannya, tetapi bentuk ayat ke-26 menjurus kepada pentunjuk berlakunya pembunuhan lelaki tersebut oleh penduduk kampung yang kufur itu). Maka lelaki tersebut telah mendapat pembalasan syurgaNya seperti apa yang dijanjikan Allah SWT dalam ayat ke-11. Akhirnya, berlakulah pembalasan dari Allah SWT apabila mereka dimusnahkan tanpa dijelaskan bentuk pembalasan tersebut.
Perlu dijelaskan bahawa penceritaan kisah-kisah dalam Al-Quran adalah ringkas kerana matlamat utama penceritaan tersebut adalah untuk pengiktibaran dan pengajaran. Oleh yang demikian, tidak ada keperluan bagi seorang penuntut ilmu untuk terlampau bersemangat mencari perincian kisah tersebut kerana manhaj penceritaan Al-Quran sudah cukup menjadi panduan dalam memahami realiti kehidupan seorang manusia.

Mutiara Wahyu:
a. Realiti masyarakat yang dinamik dan kompleks kini memerlukan kepada gerak kerja dakwah yang efektif dari segi penglibatan, pengisian dan manhaj. Dari kisah yang direkod dalam surah ini dapt disimpulkan bahawa gerak kerja dakwah yang efektif adalah gerak kerja yang dilaksanakan secara kolektif. Apabila dua orang rasul didustakan golongan al-Ghafilin, diutus pula rasul ketiga untuk memperkasa tugas kedua rasul sebelumnya. Datang pula lelaki tidak dikenali dari ceruk kampung yang ikhlas membenarkan mesej ketiga utusan tersebut, menggambarkan kepada kita bahawa dalam melaksanakan dakwah, sokongan dari orang lain amat penting. Ini disebabkan, apabila kerja dakwah mendapat sokongan dari orang lain samada sokongan berbentuk ilmu, kepakaran, harta dan sebagainya, kesan dari dakwah tersebut akan lebih menyeluruh serta berjaya. Namun, kejayaan dakwah tersebut bukan bergantung kepada berapa ramai ahli yang menyumbang semata. Tetapi kualiti ahli yang terlibat dari segi ilmu dan akhlaq turut berperanan menjayakan dakwah tersebut. Dan apabila dakwah sudah dilaksanakan, sifat tawakal terhadap penerimaan orang perlu ada. Syed Qutb berkata: Apabila ketiga utusan tersebut sudah melaksanakan tugas mereka, maka urusan berikutnya hanya Allah yang akan menentukan.

b. Amat menarik untuk diperhatikan bagaimana Syed Qutb menafsirkan ayat ke-18 dan 19 dengan mengaitkannya dengan isu kepercayaan perkara-perkara khurafat. Beliau berkata: Kehendak Allah SWT ke atas seseorang adalah datang dari diri mereka sendiri dan dari pilihan dan amalan mereka. Inilah kebenaran yang diasas atas keyakinan yang sahih. Untuk mengaitkan kesialan dengan rupa seseorang, tempat atau perkataan adalah khurafat yang mengarut. Masyarakat perlu sedar dan keluar dari segala kepercayaan karut yang menjumudkan pemikiran mereka dengan meninggalkan kepercayaan bahawa sekiranya kita melakukan sesuatu maka sesuatu yang buruk pasti berlaku. Sebagai contoh, sekiranya hendak membina rumah, perlu diadakan majlis tertentu warisan nenek moyang bagi menghalau jin-jin yang mendiami kawasan tersebut. Jika tidak maka sesuatu yang buruk pasti berlaku. Ini semua adalah bentuk kepercayaan yang salah. Berlakunya sesuatu kebaikan dan keburukan adalah dengan kehendakNya dan tidak berkait langsung dengan seseorang atau sesuatu amalan.

c. Kisah ini juga turut menunjukkan sifat golongan Al-Ghafilun dan Al-Mukminun. Golongan Al-Ghafilun disifatkan dengan agresif, jumud, dan tiada kesabaran. Manakala golongan Al-Mukminun disifatkan dengan keikhlasan, amanah, tidak terlalu materialistik, sanggup bersusah demi agama serta proaktif dalam dakwah. Ini merupakan sunnatullah yang direkodkan dalam Al-Quran sebagai pengiktibaran kepada umat selepasnya. Sunnatullah bermaksud, dalam kisah-kisah kaum terdahulu yang diutuskan kepada mereka rasul-rasul, pasti ada golongan yang bersifat sedemikian. Kaum Ad, Thamud, Firaun, lambang golongan Al- Ghafilun. Para rasul adalah lambang golongan Al-Mukminun. Dan apabila golongan al- Ghafilun melampaui batas kekufurannya maka diturunkan hukuman ke atas mereka. Inilah sunnatullah bagi mereka yang al-Ghafilun. Firman Allah SWT: (Kami tetap akan membinasakan orang-orang yang menentangmu wahai Muhammad), tidakkah engkau perhatikan, bagaimana Tuhanmu telah melakukan terhadap kaum Aad (yang kufur derhaka). Iaitu penduduk "Iram" yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi tiangnya, (sesuai dengan penduduknya). Yang belum pernah diciptakan sepertinya (tentang besar dan kukuhnya) di segala negeri (pada zamannya)? Dan (terhadap) kaum Thamud yang memahat batu-batu besar di lembah (Wadil-Qura iaitu tempat tinggalnya)? Dan (terhadap) Firaun yang menguasai bangunan-bangunan yang handal kukuh? (Semuanya itu ialah) orang-orang yang telah bermaharajalela di negeri (masing-masing). Lalu mereka melakukan dengan banyaknya kerosakan dan bencana di negeri-negeri itu. Dengan yang demikian, Tuhanmu mencurahkan ke atas mereka berbagai paluan azab; (al-Fajr; 89: 6-13)

bersambung

Bingkisan Gambar Mini Seminar Mendekati Surah Yasin 24 Oktober 2010 di IIS

Sebahagian peserta

al-Fadhil Ustaz Hamdi: Tafsir Bayani Surah Yasin

Al-Fadhil Ustaz Anwaruddin :Hadith-hadith berkaitan Surah Yasin


Ustaz Mohd Syauqi Al-Kulimi: Tafsir Maudhu'i Surah Yasin

picture courtesy from bro Saiful Iskandar, jazakallah.

Saturday, 23 October 2010

Mutiara Wahyu I: Mendekati Surah Yasin

Oleh: Mohd Syauqi Md Zahir Al-Kulimi
Pusat Asasi UIAM

Muqaddimah
Amalan membaca Surah Yasin sudah menjadi sinonim kepada masyarakat Islam di Malaysia. Lazimnya amalan ini diadakan bersempena hari-hari atau keperluan tertentu seperti pada malam-malam Jumaat, pada majlis doa selamat, pada hari sebelum para pelajar menghadapi peperiksaan, pada malam Nisfu Sya’ban, pada perkara-perkara yang berkaitan kematian dan sebagainya. Sehinggakan ramai yang mampu menghafal Surah Yaasin berbanding Surah-Surah panjang yang lain di dalam Al-Quran. Situasi ini adalah amat baik yang menjadi bukti keprihatinan masyarakat kita terhadap syiar Islam iaitu memperbanyakkan bacaan serta hafalan Surah dari Al-Quran. Namun, hakikat yang perlu disedari oleh masyarakat adalah kepentingan memahami apa yang dibaca dan hafal dari Surah tersebut. Sebagai sebuah dokumen yang mempunyai ruh yang menghidupkan jiwa-jiwa manusia, Al-Quran perlu difahami dan diaplikasi dalam kehidupan manusia. Setiap ayat Al-Quran perlu didekati dan dihayati mesej dan mutiara pengajarannya supaya memberi kesan yang mendalam terhadap setiap ruang lingkup kehidupan manusia. Adalah amat indah sekiranya, setiap kali Surah Yaasin didendangkan di mana-mana majlis, setiap pembaca dapat memahami setiap butir kalimah dan ayat yang dibacakan. Justeru keperluan memahami Surah ini adalah sama penting dengan keperluan mentradisikan amalan bacaan Surah Yaasin dalam masyarakat Islam di Malaysia.

Latarbelakang Surah Yaasin
Nama surah ini diambil dari ayat pertama iaitu (Yaasin) serta berdasarkan hadith-hadith nabawi yang turut menyebut nama surah ini sebagai (Yaasin). Surah yang ke 36 dalam al-Quran ini merupakan surah Makkiyyah yang mengandungi 83 ayat. Oleh kerana itu, perbahasan ayat-ayat dalam surah ini berkisar sepenuhnya berkenaan aspek Aqidah Islamiyah yang dibawa Rasulullah SAW kepada umat manusia. Menurut Al-Syeikh Muhammad ‘Ali Al-Sabuni:
Surah ini menyentuh 3 tema asas: Beriman dengan Hari Kebangkitan, kisah penduduk kampung (Ahlul Qaryah), dan dalil-dalil serta bukti keEsaan Tuhan sekalian alam. Surah ini dimulai dengan tema beriman dengan kebenaran Rasul dan wahyu yang diturunkan serta penentangan kaum kafir yang enggan beriman dengan risalah nabawi. Kemudian surah ini membawa contoh kisah Ahlul Qaryah yang mendustakan para rasul yang diutuskan kepada mereka sebagai peringatan serta pengiktibaran kepada mereka yang enggan beriman dengan kebenaran. Surah ini juga membentangkan dalil-dalil Kekuasaan serta KeEsaanNya melalui penciptaan alam yang penuh keajaiban. Surah ini ditutup dengan menyebut tentang tema asas iaitu Kebangkitan dan Pembalasan besertakan dalil kewujudan dan kemungkinan berlakunya hari tersebut. Matlamat utama daripada perbincangan intensif berkenaan aspek Aqidah adalah untuk pembinaan asas keyakinan Aqidah yang benar dan selamat. Surah Yaasin membina keyakinan tersebut melalui 3 manhaj: Pembuktian tentang kepastian berlakunya Hari Kiamat, pengajaran dari kisah kaum terdahulu (Ahlul Qaryah) dan ayat-ayat al-Kawniyyah yang terbentang di hadapan manusia.

bersambung

Intipati pembentangan kertas kerja kedua Mini Seminar: Mendekati Surah Yaasin.

Monday, 18 October 2010

Tinta Musafir#3 - Yakin dan Tawakkal

Salam semua, sudah lama rasa tidak mencoretkan sesuatu buat laman Pemuda Iman. Syukur kepada Allah SWT kerana masih mengurniakan kekuatan untuk kita sama-sama berkongsi sesuatu yang bermakna agar dapat sama-sama kita manfaatkan. Alhamdulillah, syukur sekali lagi kepada Allah, hampir sebulan ayah bonda saya berasa di United Kingdom (UK) setelah setahun setengah kami berpisah di lapangan terbang KLIA pada 22 Disember 2008 yang lalu. Kini mereka sudah pulang ke tanah air selepas sebulan berada di sini bersama kami.

Mereka datang membawa harapan dan doa buat kami di perantauan ini. Rindu di dada yang sudah lama mencengkam terubat sudah. Apatah lagi melihat cucu kelahiran bumi British ini yang sudah hampir 6 bulan usianya.

Maha Besar kuasa Allah SWT yang mengaturkan dan menjalankan rancanganNya. Kita memiliki perancangan sendiri, tetapi Allah SWT mempunyai perancangan yang terbaik.

Ayah bonda saya boleh dikategorikan sebagai golongan warga emas, umur mereka sudah hampir mencecah 70-an. Ditambah dengan perbendaharaan kata Bahasa Inggeris yang agak terbatas, malah dalam keadaan kesihatan yang sangat membimbangkan. Mereka kelihatan sangat uzur untuk menempuh satu perjalanan jauh merentasi lautan Hindi dan 2 benua untuk sampai ke UK ini. Ayah saya bergantung dengan 2 inhaler bagi penyakit asthmanya dan bonda saya juga tak kurang dibekalkan 2 jenis pil untuk gastrik kroniknya.

Mengikut logik akal, saya melihat amat mustahil bagi mereka untuk terbang sejauh 14 jam perjalanan ke UK ini tanpa sesiapa yang atau sekurang-kurangnya seorang yang kuat di sisi mereka. Membantu mereka dengan barang-barang dan memudahcara mereka dalam komunikasi dan berada di sisi mereka jika berlaku sebarang kecemasan kerana ayah saya sudah beberapa kali dikejarkan ke unit kecemasan sebelum ini kerana asthmanya yang sangat kronik.

Namun, kita merancang, tetapi Allah jugalah perancang yang terbaik. Mereka yang merancang untuk menemani atau tempat ayah bonda saya menumpang kuat tidak dapat menyertai ayah bonda saya ke sini di saat akhir. Saya agak kecewa dan hampir putus asa dengan kemungkinan kedatangan mereka berdua tanpa sesiapa yang menemani mereka ke bumi JWW Birch ini.

Tetapi ayah dan bonda saya yang amat sangat merindu anak cucu di perantauan ini dan oleh kerana mereka juga mempunyai jiwa yang kuat, mereka berdua meneguhkan hati, meyakini yang mereka mampu terbang berdua ke sini. Tanpa sesiapa menemani. Keyakinan dan tawakkal yang kuat dipasakkan kepada Allah SWT. Apa yang bakal terjadi diserahkan bulat-bulat di tangan Allah. Mereka pasrah dan kami semua juga pasrah. Meskipun masih ada terdetik kerisauan di hati ini, namun kata-kata bonda yang yakin akan pertolongan Allah membuatkan kami juga yakin dan tawakkal.

Kami semua berdoa siang dan malam agar hajat mereka berdua untuk terbang ke sini menziarahi anak cucu yang sekian lama terpisah ditunaikan Allah SWT. Moga perjalanan pergi dan pulang mereka dimudahkan dan tiada sebarang yang buruk berlaku.

Syukur Ya Allah! Ketika mereka datang, Allah menghantarkan cucu saudara bonda saya berada bersama di dalam kapal terbang. Dia yang kebetulan mengikuti rombongan sekolahnya membantu urusan di LCCT Airport dan menolong mengangkat bagasi ayah dan bonda saya sebaik tiba di Stansted Airport, London. Semasa di Stansted juga, mereka dikirimkan Allah seorang India Malaysia yang membantu mengisi borang dan komunikasi di kaunter imigresen. Malah barang-barang mereka disorong oleh seorang pelajar Malaysia yang baru pulang dari bercuti di Malaysia sehingga bertemu kami di balai ketibaan. Subhanallah! Masya Allah!

Yakinlah kita dengan janji Allah SWT! Tetapkan iman dan kukuhkan keyakinan akan kekuasaanNya. Dia Maha Mengetahui! Dia Maha Mendengar! Kita yang kadang-kadang sombong dan yakin akan kemampuan diri sendiri tanpa menyedari kuasa Allah mengatasi segalaNya. Dia pemilik langit dan bumi ini. Dia mampu mengarahkan kawanan burung Ababil menyerang tentera Abrahah di Mekah, Dia mampu menghidupkan semula 3 ekor burung yang dicincang dan diletakkan di atas 3 puncak bukit yang berbeza bagi meneguhkan keyakinan Nabi Ibrahim A.S. Dia juga mampu memusnahkan keegoaan Namrud hanya dengan seekor nyamuk yang kecil dan macam-macam lagi kekuasaan Allah yang mesti kita yakini.

Lihatlah keyakinan mereka yang beriman di jalan Allah SWT di zaman Rasulullah SAW, apabila dimaklumkan akan musuh yang sudah bersedia menghadapi mereka, dengan yakin mereka menjawab, Allahlah sebaik-baik pembantu. Indah sungguh iman mereka saat itu.

Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: “Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya”. Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: “Cukuplah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)”.
Ali ‘Imran : 173

Marilah sama-sama kita nasihat-menasihati bahawa keyakinan dan tawakkal kepada Allah SWT mestilah sepenuh hati tanpa ragu-ragu walau sedikit pun. Usaha sebelum bertawakkal amat penting agar kita bukan hanya seperti menunggu bulan jatuh ke riba. Kerana ingatlah, Allah SWT akan memberi setelah hambanya berusaha dan seterusnya berdoa, meminta dan tawakkal kepadaNya.

"Berdoalah kepadaKu, nescaya akan aku perkenankan bagimu" Al-Mu'min:60

Noor Asmin bt. Mohamad Khassim
Leicester, United Kingdom

Friday, 15 October 2010

SEJARAH - KEPERLUAN SETIAP PENCINTA ILMU

Saya bukannya ingin membuat ulasan ibarat seorang pakar sejarah - kerana memang itu bukan bidang pengajian saya - tetapi ingin berkongsi apa yang saya temui dan lalui berkaitan sejarah, terutamanya Sejarah Islam dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan Islam.

BELAJAR SEJARAH ? LETIH, SUSAH
Sejak zaman persekolahan, saya sering merasa 'letih' bila tiba subjek 'Sejarah'. Namun saya gagahi juga. Tiba SPM, Sejarah memang mencabar kekuatan minda saya. Persepsi saya tentang subjek ini ialah - memang letih, penat, kalau boleh cukuplah belajar sejarah!

Apabila diterima masuk ke Universiti Al al-Bayt, Jordan, persepsi negatif itu terbawa hingga ke sana. Sangkaan saya subjek berkaitan sejarah akan menjadi 'sejarah' dalam hidup saya kerana saya merupakan pelajar dalam bidang Bahasa. Malangnya sangkaan itu meleset sama sekali. Boleh dikatakan setiap subjek yang diambil dimulakan dengan 'sejarah'. Hinggakan saya masih ingat bagaimana saya seolah tidak percaya apabila saya melihat papan hitam (ada dewan kuliah yang pakai kapur) di hadapan saya dipenuhi dengan peta! Ya Allah...rupanya tidak ada jalan untuk saya lari dari peta, tahun, peristiwa dan tokoh sejarah!

Hari demi hari saya mula memahami dan meyakini bahawa separuh daripada setiap bidang ilmu adalah tentang sejarah. Setiap ilmu yang kami pelajari di universiti secara rasmi atau di masjid dan rumah para ilmuan adalah sejarah. Kami perlu melalui sejarah setiap bidang ilmu bahkan diwajibkan menghafal tarikh-tarikh, fakta-fakta dan sebagainya.

SEJARAH 'WAJIB' DIPELAJARI
Sehinggalah saya amat yakin bahawa - umat yang tidak kenal sejarah adalah umat yang paling mundur dan paling keliru. Saya memetik kata-kata berikut untuk anda:

David Crabtree (www.mckenziestudycenter.org):

"But history does matter. It has been said that he who controls the past controls the future. Our view of history shapes the way we view the present, and therefore it dictates what answers we offer for existing problems".

Peter N. Stearns (www.historians.org):

"History should be studied because it is essential to individuals and to society, and because it harbors beauty"

SEJARAH ILMU HADITH DAN ILMU FIQH
Saya mengambil contoh bidang ilmu yang pernah saya pelajari ketika berada di Jordan - ilmu hadith dan ilmu fiqh. Kedua bidang ilmu ini apabila dihayati, ia adalah subjek yang mempelajari sejarah yang telah dicipta oleh ilmu silam.

TIDAK KENAL KEDUDUKAN AHLI HADITH SILAM
Sebagai contoh, apabila ilmu seperti hadith dipelajari tanpa memberi penekanan kepada sejarah, lahirlah sebahagian penuntut ilmu hadith zaman ini yang tidak kenal kehebatan ahli hadith silam. Mereka hanya memfokuskan kepada kaedah-kaedah hadith yang dibukukan dan diringkaskan malah di'carta'kan secara canggih pada zaman ini. Fokus mereka telah melahirkan sikap 'terlalu yakin' hingga ke tahap mereka menyangka bahawa 'aku juga boleh mencapai tahap keilmuan Imam Hadith silam seperti al-Bukhari, Muslim dan lain-lain'! Mengapa mereka terlalu yakin? Kerana mereka tidak memahami sejarah kajian Hadith.

MEMBACA SEJARAH BUKAN SEMATA HOBI
Membaca kisah hidup ahli hadith terkadang dianggap sebagai satu 'hobi masa lapang', 'tak baca pun tak apa', 'kisah hidup biasa', 'tiada kaitan dengan kajian'....adakah benar begitu??

Ketika menulis buku tentang kisah para ulama silam menuntut ilmu, ilmuan hadith moden yang terkenal - Syeikh Abd. Fattah Abu Ghuddah - telah menyatakan kepentingan mengkaji sejarah kehidupan para ulama dan beliau juga menukilkan kata-kata Imam mazhab Hanafi, Abu Hanifah (150H) :

"Kisah-kisah tentang ulama dan kebaikan mereka lebih aku suka daripada terlalu banyak mempelajari fiqh (sedangkan dia Imam Fiqh Mazhab Hanafi) kerana kisah-kisah itu ialah adab-adab golongan berilmu".

MEMANDANG 'BIASA' TERHADAP ILMUAN FIQH SILAM
Contoh lain, apabila sebahagian penuntut ilmu fiqh mempelajari kaedah-kaedah fiqh dan usul fiqh tanpa menekankan kepada kajian sejarah pembentukan mazhab atau sejarah ulama fiqh terkemuka zaman kegemilangan Islam, lahirlah 'mujtahid moden' yang boleh mengeluarkan ijtihad dan fatwa dengan mudahnya semudah memetik jari dan menekan 'mouse'! Mengapa? Mereka mengabaikan sejarah perkembangan fiqh.

Ilmuan fiqh Islam - terutamanya imam mazhab - pula dilihat dengan sebelah mata. Pada mereka yang tidak mengenali sejarah kehidupan para imam itu, mereka menganggap bahawa sesiapa sahaja boleh menyamai taraf imam mazhab dalam tempoh masa yang singkat. Adakah benar begitu? Tidak sama sekali. Sangkaan sebegitu disebabkan mereka tidak pernah 'mengkaji' sejarah kehidupan dan perkembangan imam-imam dan tokoh mazhab.

SEJARAH - SUMBER MOTIVASI
Membaca sejarah boleh membangkitkan semangat dalam diri untuk lebih maju. Bukan setakat itu, malah jiwa yang menghayati sejarah akan lebih teguh dan tabah menghadapi pelbagai cabaran sebagaimana ia pernah dihadapi oleh manusia terdahulu. Sebagai contoh, bacalah kisah ketabahan Nabi Musa berdepan Firaun, kisah ketabahan Nabi Yusuf ketika dalam penjara, kisah suka duka para ulama mencari ilmu dan sebagainya. Bukankah ia membangkitkan rasa keinsafan dan keazaman dalam diri?

SEJARAH - DIBACA DAN DIFAHAMI
Seperkara lagi sebelum saya mengakhiri coretan isi hati ini - mungkin difahami atau tidak, saya mohon maaf - saya ingin menegaskan bahawa:

apa jua bidang - sama ada ilmu-ilmu Islam atau ilmu berkaitan keduniaan dan lain-lain, ia amat perlu kepada kajian sejarah kemunculan dan perkembangannya. Bukan hanya sekadar tahu, tetapi memahami bagaimana sebenarnya sejarah itu berlaku. Itulah yang akan memelihara kita dari salah faham, keliru, tidak dapat membezakan antara fakta dan 'auta' dan sebagainya.

Semoga coretan ini dapat dihayati bersama.

Adlan Abd. Aziz

Tuesday, 12 October 2010

Ulasan Berharga Dari Seorang Sasterawan

Alhamdulillah, Allahuakbar!

Pemudaiman tidak menyangka yang setiap kerja amal dakwah yang kami usahakan mendapat perhatian dari orang ternama. Hasil karya pertama kami berjudul Mutiara Wahyu yang diterbitkan dua minggu yang lalu turut tidak terlepas dari pelbagai komen dan ulasan dari pelbagai pihak yang pelbagai latarbelakangnya. Terbaru, seorang yang kami anggap sasterawan dan mentor kami dalam bidang penulisan yang baru sebulan kami menziarahinya turut memberikan ulasannya. Sememangnya ulasan beliau mengenai buku ini tidak kami jangkakan kerana seorang yang telah bergelumang selama 40 tahun dalam bidang penulisan serta diiktiraf sebagai penulis prolifik di nusantara ini sudi meluangkan masa beliau, membeli, membaca serta memberi komen terhadap hasil karya kami yang tidak sehebat novel-novel karya beliau.

Pemudaiman ingin menyampaikan segunung penghargaan buat Ustaz Azizi Abdullah (Tukya) yang sudi menulis ulasan ringkas mengenai buku kami yang tidak seberapa ini. Kami mengharapkan tunjuk ajar ustaz dalam bidang penulisan yang kami usahakan dalam blog ini. Segala galakan yang ustaz berikan semasa pertemuan kita tempoh hari ( http://pemudaiman.blogspot.com/2010/09/jejak-ziarah-ke-teratak-tukya.html) serta komen ustaz mengenai blog pemudaiman dalam blog http://aziziabdullah.blogspot.com/ akan kami gunakan sebaiknya dalam usaha dakwah kami.

Buat pembaca dan peminat pemudaiman, kami sertakan di sini keseluruhan ulasan berharga dari seorang sasterawan:


Pemudaiman dan Mutiara Wahyu
Aidil Fitri hari ke empat 1431 yang lalu, saya dikunjungi oleh tiga anak muda dari pengajian tinggi. Seorang pensyarah dari UIA, seorang dalam proses PhDnya di USM yang bukan bidang keagamaan dan seorang lagi saya sudah lupa, tapi berperanan dalam ilmu-ilmu kebajikan.

Mereka datang menziarahi orang-orang yang mereka rasa patut diziarahi dan mereka memberitahu, mereka adalah kumpulan dari blog http://pemudaiman.blogspot.com. Mereka mewujudkan blog tersebut hanya semata-mata sebagai wadah dakwah, menyampaikan apa yang dirasakan patut, sesuai dengan ilmu dan perjuangan mereka.

Saya tersentak kerana ada juga golongan anak muda yang begitu prihatin tentang perlunya ilmu disebarkan dan ia tentunya secara percuma. Saya berfikir, alangkah baiknya jika ramai lagi yang dengan sukarela berbuat begini. Mereka dari kalangan terpelajar dan tentunya ilmu yang mereka lontarkan tidak sia-sia.

Baru-baru ini saya ke Medan Indonesia dengan hasrat mencari sedikit buku-buku. Di antara buku yang saya beli ialah “Menyibak Rahsia Sains Bumi Dalam Al-Qur`an’, ‘Mencari Tuhan Yang Hilang’, ‘Islam & Ekologi Manusia’ dan ‘The Amazing Stories of Al-Qur`an’. Buku-buku ini sangat hebat, termasuk juga dari segi jodolnya. Kehebatan jodol buku-buku Indonesia, menjadikan saya melontar kata dalam wacana TVRI SUMUT di hari saya ke sana, sebagai buku-buku yang penuh dengan penipuan jodol, touching dan memancing.

Kembalinya, saya menemui sebuah buku kecil dan nipis dari Pemudaiman ini, yang ditulis oleh Mohd. Syauqi Mod Zahir, salah seorang penggerak blog dan kerjamal ini bertajuk ‘Mutiara Wahyu.’


Huraian dan penulisan buku ini tidaklah sehebat mana, tetapi pemilihan mauduk (tematik) yang kemudian diadakan sedikit rengkasan, ulasan menjadikan buku ini sangat perlu dibaca oleh semua peringkat.

Saya tertarik dengan pancingan tajuknya seperti Qur`an dan Gunung, di mana sebuah buku Indonesia yang saya beli bertajuk Murka Alam, seakan begitu persamaannya. Kemudian ‘Manusia Pemakan Bangkai’, ‘Anak dan Isteri Menjadi Musuh,’ ‘Eksperimen 4 Ekur Burung,’ dan lain-lain.

Buku setebal hanya 104 muka, tidak membebankan untuk menghabiskan bacaan bagi mereka yang pemalas. Ia rengkas dan padat. Setiap ayat akan diulas dan disisip dengan maksud, dititip untuk amal.

Memang tepat hanya untuk mereka yang ingin Tadabbur dan tafakkur. Pelajar university sangat sesuai menjadikan ia ‘halaqah’.

Alangkah baiknya mana-mana korporat atau individu yang memiliki kelapangan kewangan, membelinya beberapa nakshah dan disedekah kepada setiap masjid sebagai pengisi khutub khanah. Ia pasti berfaedah.

http://aziziabdullah.blogspot.com/2010/10/pemudaiman-dan-mutiara-wahyu.html

Monday, 11 October 2010

Program Ilmu - Mini Seminar 'MENDEKATI SURAH YAASIN'



Insya Allah, Pemuda Iman dengan kerjasama al-ahkam.net dan IIS akan sekali lagi berkongsi perbincangan ilmiah dalam siri Mini Seminar yang telah beberapa kali dianjurkan Kali ini dengan tajuk:

'MENDEKATI SURAH YAASIN'.

TARIKH : 24 OKT 2010 (AHAD) BERMULA 9.30 A.M.

TEMPAT:

IIS Hall, No. 1-5-2, Wisma Prima Peninsula, Jln Setiawangsa 11, Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur(Atas Saba Islamic Media)



KENAPA 'MENDEKATI SURAH YAASIN'?
Surah Yaasin mempunyai kedudukan yang amat dekat dalam hati masyarakat Islam kita. Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana surah ini merupakan di antara surah yang sering dibaca malah dihafal oleh ramai dalam kalangan umat Islam di Malaysia.

Kali ini Pemuda Iman, al-ahkam.net dan IIS merasa terpanggil untuk menganjurkan satu program ilmu berkaitan surah yang amat agung ini. Program ini bertujuan untuk membawa masyarakat yang dahagakan ilmu untuk mengenali dan memahami isi kandungan surah Yaasin. Perbincangan akan tertumpu kepada 3 aspek:

1- Tafsiran Surah Yaasin - mengenali keunikannya, pembahagian isi kandungannya dan pengajaran penting di dalamnya untuk kehidupan.

2- Kelebihan membaca dan mempelajari Surah Yaasin - dilihat dari sudut hadith dan juga mutiara kata para ulama zaman berzaman.

3- Keunikan gaya bahasa dan pemilihan perkataan - melihat kepada komentar pakar Bahasa Arab dulu dan kini terhadap keindahan surah Yaasin dari sudut bahasa.

Penyampai:

Ust.Mohd. Syauqi Mohd.Zahir - IIUM

Ust.Mohd. Anwaruddin Abd. Wahab - BERNAMA (Bahagian Arab Service)

Ust.Adlan Bin Abd. Aziz - panel al-ahkam.net

Untuk maklumat dan pendaftaran (percuma)- sila klik di sini

Sunday, 10 October 2010

Rakaman Audio - 'Kemunculan Hadith Palsu' dan 'Fiqh Solat'



Rakaman 'Kemunculan Hadith Palsu' - di sini

Rakaman 'Fiqh Solat - Antara Mazhab & Hadith - di sini

Terima kasih kepada akhi Saiful Iskandar di atas perkongsian.

Thursday, 7 October 2010

Aktiviti Pemuda Iman - Wacana Hadith

DIJEMPUT BERSAMA DALAM DUA PROGRAM BERKAITAN HADITH YANG AKAN DISAMPAIKAN OLEH

UST ADLAN ABD AZIZ

TEMPATNYA IALAH DI:

IIS Hall, No. 1-5-2, Wisma Prima Peninsula, Jln Setiawangsa 11, Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur
(Atas Saba Islamic Media)


PERTAMA:

WACANA ILMU HADITH - 'HADITH PALSU - BILA DAN BAGAIMANA IA MUNCUL'

KHAMIS, 7 OKTOBER, 8.30 MALAM


KEDUA:

WACANA 'FIQH SOLAT - ANTARA MAZHAB DAN HADITH'

AHAD, 10 OKTOBER, 9.30 PAGI