'..sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk' [Surah al-Kahfi, ayat 13]
Monday, 21 December 2009
Bayt Muslim # 5 - Kenapa Bertengkar?
Oleh: Ahmad Afzainizam Mokhtar
Kita selalu kata kita sayang pasangan kita, kita mencintai pasangan kita sepenuh jiwa, tak kira ribut taufan, lautan api, onak duri kita kita harungi bersama. Tapi hakikatnya setiap pasangan selalu bergaduh, bertengkar, saling salah menyalahi hampir setiap hari. Kadang-kadang kita sering bercanggah pendapat tentang hal yang sangat remeh yang boleh diselesaikan jika kita boleh bertolak ansur. Masalahnya masing-masing nak menang dan nak mempertahankan ego masing-masing. Di sini kita akan mempersoalkan pasangan kita, mana janji-janji manismu? Kata nak hidup semati bersama, nak mengharungi suka duka bersama? Semua hilang dalam sekelip mata hanya kerana hal-hal yang kecil.
Yang lebih parah lagi sampai nak bercerai-berai. Katanya lebih baik runtuhkan masjid yang telah lama terbina daripada hidup menderita kerana sudah tidak sehaluan. Wahai insan janganlah kita terburu-buru membuat keputusan. Sebaiknya duduk sekejap dan bermuhasabahlah diri di mana silapnya. Mungkin kita belum mengenali pasangan kita walaupun sudah lama hidup bersama.
Masalah mungkin dapat diselesaikan jika kita kenal siapa LELAKI dan siapa PEREMPUAN. Itu saja? Nampak senang tapi susah nak buat. Tapi tak salah kalau kita cuba daripada kita berpisah atau bermasam muka.
Sebenarnya LELAKI dan PEREMPUAN adalah dua makhluk yang sangat berbeza. Perbezaannya bagaikan dua makhluk asing yang datang daripada planet yang berbeza. Tetapi disebabkan perbezaan inilah mereka boleh hidup bersama. Apa yang perlu kita buat ialah kenali dan fahami perbezaannya.
Makhluk yang bernama LELAKI ini ialah sejenis makhluk yang suka menyendiri bila ada masalah. Mereka lebih suka menyelesaikan masalah dalam kepala sendiri daripada meluahkan atau membincangkannya dengan orang lain terutamanya PEREMPUAN. Mereka seperti menyendiri di dalam sebuah gua yang gelap dan sunyi sambil memikirkan penyelesaian bagi masalah mereka. Kalau orang perempuan perasan, kadang-kadang LELAKI akan diam ketika memandu, baca surat khabar, menonton TV atau melayari internet daripada beramah mesra dengan isteri dan anak-anak.
Bila keadaan ini berlaku PEREMPUAN akan terasa hati, maka akan timbullah pelbagai persoalan dalam kepala, contohnya ’Aku ada buat silap apa-apa ke?’, ’Dah tak sayang aku lagi ke?’ Dan yang paling teruk ’Dia ada perempuan lain ke?’ Andaian-andaian inilah akan mencetuskan bibit pertengkaran kalau PEREMPUAN tak faham LELAKI. Oleh itu, berilah LELAKI masa untuk mereka menyelesaikan masalah mereka. Bila LELAKI diam, PEREMPUAN pun kena diam, bukan berleter. Sabarlah sekejap, mereka akan kembali kepada sedia kala bila masalah mereka dapat diselesaikan. LELAKI akan lebih menghargai PEREMPUAN jika mereka memahami.
Makhluk yang bernama PEREMPUAN pulak lebih suka meluahkan perasaan dan masalah yang mereka alami. Jika mereka diam, maka lebih stesslah jadinya. Sebab itulah ramai PEREMPUAN mengalami tekanan jiwa, ada yang meroyan, ada yang murung. Kalau kita perasan, mereka ini adalah yang jenis yang pendiam dan yang tak pandai nak meluahkan perasaan.
Bila PEREMPUAN meluahkan perasaan kepada LELAKI terutamanya suami di rumah, ramai LELAKI mengangapnya sebagai leteran. Ada LELAKI yang suka bertindak balas dengan apa yang dikatakan oleh PEREMPUAN kerana bagi LELAKI itu adalah serangan mental kepadanya. LELAKI akan cuba menyelesaikan segala permasalahan yang ditimbulkan oleh PEREMPUAN. Dari situlah tercetusnya pertengkaran. Contohnya
PEREMPUAN: Penatnya, semua benda saya kena buat kat office lagi kat rumah lagi!
LELAKI : Kalau susah-susah sangat tak payah kerja, duduk rumah jaga rumah, jaga anak.
PEREMPUAN tidak mengharapkan jawapan yang macam tu, marahnya akan bertambah apatah lagi leterannya. Hanya kerana jawapan itu macam-macam boleh jadi. Dan pergaduhan akan menjadi semakin parah. Syaitan akan bersorak kemenangan.
Apa yang PEREMPUAN harapkan ialah LELAKI mendengar sahaja. Tindakan yang paling baik ialah berilah dia pelukan atau ciuman kerana itu dapat meredakan gelora dihatinya. Kalau nak jawab, jawablah begini:
Kesiannya Sayang penat. Buatlah apa yang termampu, kerja rumah kita buat sama-sama ye! (sambil memeluknya).
Alangkah bahagianya PEREMPUAN jika suaminya bertindak begitu. Bertambah-tambahlah lagi kasih dan sayangnya kepada suami tercinta. Maka PEREMPUAN akan lebih bersedia berkhidmat untuk suaminya walaupun dalam keletihan yang amat sangat. Kan aman rumah tangga. Tidak ada siapa yang ’kalah atau menang’ tetapi ’menang dan menang’
Mulai pada saat ini, fahamilah pasangan anda dan bertindaklah dengan bijak. Memang susah nak mula tapi ingat kesannya amat mendalam. Kebahagiaan kita terletak ditangan kita sendiri.
Sumber rujukan: Men Are From Mars, Women Are From Venus, John Gray.
Tapah, Perak.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment