Pages

Thursday, 24 December 2009

CSI #5 - Belajar Untuk Diam


Oleh : Adlan Abd. Aziz

Sudah lama kita bertemu dengan hadith ini, tetapi mungkin kita tidak merenungnya dalam-dalam?

Sabda Rasulullah SAW:

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya:
Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka berkatalah yang baik atau dia perlu diam

[Hadith riwayat al-Bukhari-no.6018, dan Muslim-no.182]

Kita sering belajar untuk berkomunikasi sejak kecil lagi. Bahkan di sekolah kita diajar agar berani bercakap, bertanya soalan, memberikan pandangan. Bila melangkah ke pusat pengajian yang lebih tinggi (bangunannya), kita diajar untuk lebih berani, bukan setakat berani menyuarakan pandangan, malah berani untuk 'mematikan' pandangan orang lain - sama ada kita benar atau tidak, itu kembali kepada niat (?).

Saya setuju tetapi tidak sepenuhnya. Kerana terkadang 'diam' itu juga merupakan satu bentuk 'komunikasi'. Ingat lagu Ronan Keating?

BERKATALAH YANG 'BAIK'

Jangan anggap kata-kata'baik' hanyalah kata-kata bersifat keagamaan. 'Baik' di sini lebih umum dan meliputi segala perkara yang tidak dilarang oleh agama. Bahkan termasuk perkara yang baik ialah senda gurau yang boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan, perbincangan isu-isu keduniaan yang positif, teguran, ucapan terima kasih, harapan, pujukan, nyanyian, apa sahaja yang bertemakan 'kebaikan' dan 'positif'.

KAITAN KATA-KATA DENGAN KEIMANAN

Ramai tidak terlintas di hatinya bahawa apa yang diucapkan boleh mempengaruhi kekuatan atau kelemahan iman. Mungkin lebih ramai yang memandang bahawa hanya ibadat khusus seperti solat, bacaan Al-Quran, puasa dan zikir sahaja yang dikaitkan dengan keimanan. Pasti ada yang ragu-ragu jika saya katakan 'berborak dengan kawan di kedai kopi' atau 'bermain futsal' juga boleh menambahkan iman.

Ingatlah, kata-kata yang 'positif' walau bagaimana bentuknya akan menjadi petanda dan penguat keimanan. Tugas kita ialah memastikan ianya baik dan tidak melanggar syariat.

ATAU LEBIH BAIK 'DIAM'

Inilah satu pesanan yang sepatutnya lebih kita hayati dan pelajari serta kuasai berbanding 'kemahiran bercakap'. 'Kemahiran untuk diam' juga perlu diajar kepada diri kita dan mereka yang berada di sekeliling.

Kadang-kadang terlalu banyak bercakap - tanpa disedari - lebih merugikan dan menjadi punca kepada banyak masalah. Oleh itu panduan Rasulullah SAW adalah jelas : Kalau nak bercakap, pastikan ia 'baik'. Tapi kalau ia tidak 'baik', lebih baik diam saja.

Banyak masalah timbul apabila manusia tahu bercakap tapi tak tahu di mana untuk diam. Banyak perbalahan berpanjangan apabila manusia inginkan orang lain diam dan dengar, tapi dia tidak pandai pula untuk dengar dan diam.

Ada orang yang hobinya membuat 'ulasan'. Habis semua isu nak diulas - isu yang dia tahu dan isu yang dia buat-buat tahu. Susah juga kan?

Saya yakin, kita pernah melalui keadaan di mana kita 'bersyukur' kerana kita 'diam'....

1 comment:

Min said...

salam... setuju sangat. kdg2 diam tu pun merupakan adab ketika menuntut ilmu. kita diajar bersopan dan beradap. tak baik menyampuk bila orang tua bercakap, sebab tu amalan tu dibawa sampai ke sekolah. ada baik dan buruknya... sama-sama kita renungkan.