'..sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk' [Surah al-Kahfi, ayat 13]
Wednesday, 2 December 2009
Menara Minda #3 - Pengurus Satu Minit
Maksud Firman Allah Subhanahu wa Taala:
(1)Demi Masa (2) Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian
(3) Kecuali orang-orang yang beriman dan melakukan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya (menjalankan) kebenaran dan nasihat-menasihati supaya sabar (tabah menghadapi kesulitan) (Surah Al-Asr)
The One Minute Manager boleh dibahagikan kepada tiga kunci: The One Minute Goals, The One Minute Praisings dan The One Minute Reprimand. Ketiga-tiga kunci ini mencadangkan kepada seseorang pemimpin atau pengurus teknik-teknik praktikal dalam mengendalikan pekerja atau orang bawahan secara berkesan. Yang menarik mengenai teknik ini ialah konsep penggunaan masa yang minimum dalam bekerja dan mewujudkan suasana kerja yang baik.
Kunci Pertama: The One Minute Goals
The One Minute Goals atau Matlamat Satu Minit sangat berguna dalam situasi mesyuarat di antara pemimpin atau pengurus dengan pekerja-pekerjanya. Resepinya ialah mengenalpasti matlamat yang ingin dicapai pada hari tersebut, ditulis dalam bentuk pernyataan lalu diagih-agihkan supaya ia dapat dinilai semasa ke semasa. Pemimpin yang baik akan menyudahkan mesyuaratnya dalam tempoh secepat yang mungkin sesudah hasrat matlamat dan selok belok tanggungjawab difahami oleh setiap ahli mesyuarat.
Matlamat yang profesional ialah matlamat yang jelas, ringkas dan ditulis untuk dirujuk dan bukannya ucapan berjela-jela yang tenggelam dalam tempias air liur tanpa dicatat!
Kunci Kedua: The One Minute Praisings
Seterusnya, The One Minute Praisings atau Pujian Satu Minit wajar dijadikan alat motivasi seorang pemimpin dalam membangkitkan ghairah bekerja para pekerjanya. Jika pemimpin melihat pekerja melakukan kerja dengan baik, berilah pujian serta merta. Nyatakan secara spesifik apa yang telah melayakkan dia dipuji. Namun, pujian haruslah profesional, tidak berlebih-lebihan dan ringkas, sesuai dengan namanya, The One Minute Praisings.
Jangan diremehkan pujian ringkas kerana jika kena pada waktunya dan disulami keikhlasan boleh membangkitkan potensi tidak terbatas dalam diri seseorang!
Kunci Ketiga: The One Minute Reprimand
Saya memilih kata “menegur” sebagai terjemahan kepada kata “reprimand” dalam konteks tajuk di atas. Amalan memuji perlu diimbangi oleh perbuatan menegur jika terdapat kesalahan oleh pekerja supaya MATLAMAT (goals) dan PUJIAN (praisings) terdahulu tidak rosak dan makan diri.
Teguran perlu dibuat serta merta dan secara profesional dan spesifik, semacam kunci kedua tadi. Selesai teguran, berjabatlah tangan dan nyatakan kepada pekerja tersebut sejauh mana kepentingannya terhadap kejayaan matlamat organisasi tersebut.
Kunci ketiga ini mengandungi dua aspek berkembar yang sama penting: MENEGUR dan MEMPERTEGUH. Jika anda hanya menegur tanpa memperteguh emosi pekerja tersebut, anda mungkin akan tidak digemari oleh ramai individu manakala motivasi para pekerja makin merosot lantaran tiada susulan bagi teguran anda.
Rahsia The One Minute Manager ini termuat di dalam ulasan buku The One Minute Manager oleh Kenneth Blanchard dan Spencer Johnson. Amazon.com: The One Minute Manager (9780425098479): Ph.D. Kenneth Blanchard, M.D. Spencer Johnson: Books
Mesej di dalam buku ini jelas, ringkas dan sesuai diamalkan bagi mereka yang ingin mengasah bakat kepimpinan dan pengurusan. Ia sesuai dibaca bagi golongan pentadbir sekolah dan institusi pengajian, pemimpin belia dan masyarakat dan ahli-ahli politik yang ingin mencapai matlamat bagi organisasi mereka terutama bagi mereka yang dilanda masalah suka bermesyuarat berjam-jam.
Sesungguhnya, nilai masa terlalu mahal untuk dibazirkan dengan ucapan berjela-jela berbanding masa untuk bekerja.
Ahmad Faiz Abdul Latip
Kajang
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment