'..sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk' [Surah al-Kahfi, ayat 13]
Thursday, 17 December 2009
Mutiara Wahyu #5 - Miskin Yang Dermawan
Oleh: Mohd Syauqi Md Zahir Al-Kulimi
Firman Allah Ta’ala dalam surah Al-Baqarah, 2:261-263, maksudnya: Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.
Ayat ini merupakan satu bentuk Targhib (motivasi) buat kita bersifat dermawan. Hakikatnya kita tidak dapat menafikan sifat bakhil dan kikir yang ada pada seorang insan. Firman Allah Ta’ala: Katakanlah (wahai muhammad): "jika kamu memiliki perbendaharaan rahmat Tuhanku pada ketika itu tentulah kamu akan berlaku bakhil kedekut kerana takut kehabisan; dan sememangnya manusia itu bertabiat bakhil kedekut". (Al-Isra’, 17:100). Justeru, kalau kita perhatikan dalam Al-Quran, banyak ayat yang mendidik manusia menjadi dermawan, pemurah dan suka memberi kepada yang susah dan dhaif. Ada yang dalam bentuk Targhib (motivasi) dan ada yang dalam bentuk Tarhib (ancaman). Sebab manusia perlu kepada berbagai metode untuk dididik membuat sesuatu. Umpama seorang ayah, kadang-kadang perlu guna ayat motivasi dan kadang-kadang perlu ayat laser. Kadang-kadang perlu belaian dan sentuhan manja. Kadang-kadang perlu rotan manja. Baru anak terdidik.
Ayat di atas menunjukkan, bersifat dermawan merupakan satu bentuk pelaburan (investment) yang tinggi dividennya, dijamin pulangannya oleh Allah Ta’ala, dan tidak akan rugi walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Mana ada satu skim pelaburan ciptaan manusia yang mampu memberi pulangan sehingga 700% kepada pemegang sahamnya! Hairan melihat sifat manusia yang jahil yang suka bertangguh dalam menjadi dermawan. Kononnya tak mampu sebab bergaji kecil, komitmen hutang banyak, anak bersekolah ramai, barang-barang naik harga, ekonomi meleset. Semuanya dijadikan alasan untuk tidak dermawan. Tidak kurang juga terdengar kata-kata seperti: “senangnya jadi orang kaya, mudah nak tolong orang yang susah”, “kalau aku kaya nanti, aku nak tolong orang miskin.”
Firman Allah Ta’ala: Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;[134]Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik (Ali-Imran, 3: 134-135).
Bersegeralah dalam menjadi dermawan. Masa kaya atau miskin, masa sihat atau sakit, masa muda atau tua, masa bujang atau berkeluarga. Kalau senang, kita menderma cara senang. Kalau miskin, mendermalah cara miskin. Bahkan, menderma masa susah adalah lebih mulia dari menderma ketika senang. Contohilah baginda Rasulullah SAW yang sifat dermawannya digambarkan umpama kecepatan angin yang berhembus, menunjukkan baginda amat bersegera dalam menderma dan semua sahabat baginda akan mendapat tempias angin kedemawanan baginda. Baginda amat malu jika gagal memenuhi permintaan seseorang yang miskin. Rasulullah SAW merupakan contoh terbaik seorang zuhud yang dermawan.
Dermawan tidak merugikan sesiapa pun. Orang yang pemurah adalah dekat dengan Allah, dekat dengan syurga, dekat dengan manusia, dan jauh daripada neraka. Sedangkan orang yang bakhil adalah jauh dari Allah, jauh dari syurga, jauh dari manusia, dan dekat dengan neraka".
Aduhai diri, betapa mulianya orang dermawan!
Pusat asasi UIAM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment