'..sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk' [Surah al-Kahfi, ayat 13]
Friday, 4 December 2009
Mutiara Wahyu #4 - Demi Masa...
Oleh : Mohd Syauqi Md Zahir Al-Kulimi
Firman Allah Ta’ala: Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. (surah al-‘asr: 1-3)
Surah al-‘Asr ini adalah surah makkiyyah yang merupakan antara surah terpendek dalam Al-Quran. Cukup sinonim dengan masyarakat Islam yang selalu mengamalkan bacaan surah Al-‘Asr selepas selesai sesuatu majlis. Hakikatnya surah ini bukan sekadar untuk amalan ritual sahaja. Sebab terdapat tafsiran yang cukup mendalam, menyentuh hakikat kehidupan seseorang insan. Imam Syafie pernah berkata: Jika manusia memahami dengan mendalam surah ini maka cukuplah bagi hidupnya dengan surah ini sahaja. Bahkan kedudukan surah ini yang terletak di antara surah al-Takathur dan al-Humazah menguatkan lagi kefahaman kita dengan hakikat hidup seorang insan yang secara fitrahnya bermegah dengan kemewahan harta (al-takathur), terikat hidupnya dengan masa (al-asr) dan suka mencela dan mengumpat (al-humazah).
1) Demi masa:
Allah SWT bersumpah dengan makhluknya iaitu masa bagi menunjukkan kepada manusia bahawa Allah ta’ala berkuasa mencipta masa, kepentingan dan manfaat masa dalam hidup manusia untuk diambil iktibar. Hanya Allah swt sahaja yang boleh besumpah dengan makhlukNya sendiri sebab Dia Penciptanya. Manusia diharamkan untuk bersumpah dengan nama makhlukNya kerana merupakan perbuatan syirik dalam Islam.
Setiap yang hilang dapat dikembalikan kecuali masa. Bila masa hilang, mustahil bagi manusia untuk mengembalikanya semula. Jika kita renung dalam diri kita, umur kita adalah masa yang telah kita lalui. Dan kita dapati ianya amat cepat berlalu. Walaupun kita sudah hidup 32 tahun namun segala peristiwa yang terjadi di masa lampau seolah-olah baru kelmarin sahaja berlaku. Dulu masih budak sekarang dah bapak budak, dulu bujang sekarang berkeluarga, dulu pelajar sekarang pensyarah, dulu bermotor sekarang berkereta. Cepatnya masa berlalu. Benarlah firman Allah ta’ala: Dan (ingatlah) masa Tuhan himpunkan mereka (pada hari kiamat kelak), dengan keadaan mereka merasai seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari. Mereka akan berkenal-kenalan sesama sendiri. Sesungguhnya rugilah orang-orang yang telah mendustakan hari menemui Allah untuk menerima balasan, dan yang tidak mendapat petunjuk (ke jalan mencari untung semasa hidup di dunia (yunus: 45). Ayat ini merupakan tamparan bagi insan yang khayal hidup di dunia yang fana dan lupa akhirat yang kekal abadi.
2) Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian:
Sebab itulah manusia senantiasa dalam kerugian, rugi bagi yang kufur dengan Allah Ta’ala, rugi bagi yang kurang amalnya, rugi bagi yang salah keutamaan dalam hidupnya sebab masa berlalu tidak akan kembali. Allah menggambarkan betapa ruginya mereka yang terlampau asyik dengan keduniaan. Firman Allah Ta’ala: Sesungguhnya telah rugilah orang-orang yang mendustakan pertemuan mengadap Allah; sehingga apabila hari kiamat datang secara mengejut kepada mereka, mereka berkata; "Aduhai kesalnya kami atas apa yang telah kami cuaikan dalam dunia!" Sambil mereka memikul dosa-dosa mereka di atas belakang mereka. Ingatlah, amatlah buruk apa yang mereka pikul itu. Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir? ( al-An’am:31-32). Betapa insan mudah tertipu dengan dunia sehingga terlupa masa terus berjalan meninggalkan kita. Sama seperti kita tertipu dengan penglihatan kita, tatkala kita duduk dalam keretapi, dilihat diluar tingkap semua benda seolah bergerak dengan pantas, sedangkan diri sendiri tak bergerak. Hakikatnya, masa terus berjalan membawa manusia kembali kepadaNya.
3) Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.
Syeikh Muhammad Al-Ghazali menyebut bahawa semua empat elemen tersebut akan menyelamatkan manusia dari menjadi rugi dalam hidupnya. Orang yang beriman disini bukan sekadar mempercayai semua enam rukun iman sahaja tetapi ia perlu datang dengan pakejnya sekali iaitu beramal soleh. Amal soleh ialah segala amal perbuatan dan percakapan yang baik, bersumberkan Al-Quran dan Sunnah baginda SAW yang dilaksanakan semata-mata kerana mengharapkan ridha Allah dan ganjaranNya tanpa melupakan segala suruhan wajibNya seperti solat fardhu. Imam al-Alusi dalam tafsirnya Ruhul Ma’ani menyebut bahawa beriman dan beramal soleh ialah tugasnya sebagai individu muslim untuk kebaikan dirinya sahaja. Berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran pula menerangkan tanggungjawab seorang muslim terhadap orang lain iaitu saling nasihat menasihati. Maksudnya orang yang tidak rugi ialah mereka yang bukan sahaja mementingkan keselamatan dirinya diakhirat, bahkan mengambil berat dengan keselamatan orang lain di hari akhirat nanti. Justeru, persoalannya sekarang, apa yang kita telah buat untuk kerja dakwah (mengajak, berpesan dan menasihati orang kepada kebenaran dan kesabaran)?
Kebenaran ialah Al-Quran dan segala ajaran di dalamnya sepertimana firman Allah Ta’ala: Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Quran ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran; oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat dan bawaanmu kepadaNya.(Al-Zumar:2). Ibn Mas’ud menyebut bahawa antara pesanan kebenaran dalam Al-Quran ialah firman Allah Ta’ala dalam surah Al-An’am: 151-153: Katakanlah: "Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa; dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka; dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) - yang terang daripadanya dan yang tersembunyi; dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya. "Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil". - Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan melainkan sekadar kesanggupannya - "dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu); dan perjanjian (perintah-perintah) Allah hendaklah kamu sempurnakan. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu beringat (mematuhiNya)".Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.
Kesabaran pula ialah keupayaan kita untuk sabar dalam mematuhi segala pesanan Al-Quran kepada kita, kesabaran dalam melaksanakan ketaatan dan kesabaran meninggalkan larangan. Bukan mudah untuk kita sabar dan istiqamah dalam melaksanakan apa yang dipesan. Kesabaran memerlukan keazaman yang jitu. Sifat manusia itu sendiri kurang sabar dalam segala situasi. Hendak mendidik sifat sabar memerlukan mujahadah yang tinggi. Seorang sahabat Rasulullah pernah bertanya baginda: Ya rasulullah! Berilah wasiat kepada ku, jangan terlampau banyak takut aku terlupa. Baginda menjawab: jangan marah (Hr: Malik). Dalam hadith lain riwayat Ibn Mas’ud baginda pernah bersabda: Siapakah dikalangan kamu yang paling kuat berlawan (menang)? Sahabat menjawab: yang tak mungkin dikalahkan orang lain. Baginda menjawab: bukan, melainkan orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah [Hr: Muslim] Sebab itulah jika seorang muslim berjaya maka diisytihar bahawa dia telah mendapat keuntungan.
Dalam hal ini kita perlu kepada sahabat-sahabat yang soleh yang mampu menolong kita dalam kerja nasihat menasihati, berpesan-pesan dengan kebaikan dan kesabaran. Syeikh Muhammad al-Ghazali berkata bahawa surah ini menjadi motto, sumpah taat setia dan persaudaraan dikalangan para sahabat sehingga diriwayatkan bahawa para sahabat baginda akan membaca surah ini setiap kali sebelum bersalam untuk bersurai selepas suatu perjumpaan. Seolah-olah untuk mengingatkan kita akan tugas kita sebagai seorang muslim yang bukan sahaja mendahulukan diri sendiri namun mementingkan juga kebaikan untuk orang lain. Inilah semangat saling nasihat menasihati.
1 Islam, Akhirat Di Dahulukan, Pencapaian Di Akhirat Di Utamakan
Pusat Asasi Uiam
1908 pm
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment