'..sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk' [Surah al-Kahfi, ayat 13]
Monday, 7 December 2009
Tinta Musafir # 2 - Keindahan Islam
Oleh: Noor Asmin bt. Mohamad Khassim
Jika kita sering mencari dan melihat kelemahan serta kekurangan dalam kehidupan seharian kita, maka kekurangan dan kelemahanlah yang akan kita temui. Jika kita mengajar diri mencari keindahan, kecantikan, kebenaran dan segala yang indah, Insya Allah itulah yang akan kita kecapi. Segala yang negatif, lemah dan kurang tak akan menjadi penting di mata dan di hati kita. Konsep ini perlu dalam kita melayari kehidupan seharian, ketika kita berkomunikasi, dalam kehidupan berumah tangga, ketika berurusan dengan insan-insan lain di sekeliling kita dan yang paling penting ketika kita menghadapi ujian-ujian daripada Allah SWT. Lihatlah semua ini dari sudut yang positif agar kita akan lebih bahagia dan menjadi seorang yang redha.
Tinta Musafir kali ini akan membicarakan bagaimana segolongan masyarakat ‘orang putih’ atau ‘English people’ melihat dan memandang kita bangsa asing yang berada di negara mereka ditambah pula dengan pemakaian kita yang menunjukkan kita adalah penganut agama suci agama Islam. Ini adalah pandangan dari kaca mata dan hati saya seorang. Catatan ini bukanlah merupakan satu kajian terperinci yang telah saya lakukan untuk dibentangkan di sini. Pandangan ini mungkin berbeza dari kaca mata dan hati orang lain berdasarkan ‘worldview’ masing-masing. Ini hanyalah beberapa pengalaman peribadi yang saya alami semenjak dua minggu lebih berada di hospital.
Berada di Leicester General Hospital (LGH) banyak memberi saya pengalaman baru, berjumpa dan berkenalan dengan ramai kawan baru dan juga menyelami cerita-cerita kehidupan yang tak pernah berpenghujung. Setiap ibu atau bakal ibu yang di tempatkan di Maternity Wad ini mempunyai kisah dan cerita masing-masing. Pelbagai fiil manusia dari pebagai warna kulit dapat kita lihat dan cernakan di dalam fikiran untuk dijadikan pedoman hidup.
Di sini juga kita dapat melihat kebesaran Allah SWT menciptakan makhluk yang satu ini iaitu manusia dengan pelbagai rupa bentuk fizikal. Apatah lagi hati. Saya sempat mengenali dan menyelami hati beberapa pesakit ‘kulit putih’ atau ‘mat saleh’ atau boleh dikatakan bakal ibu yang berada di hospital ini. Boleh dikatakan mereka ini tidak akan menegur atau senyum kepada saya jika bukan saya yang terlebih memulakan langkah itu. Iaitu menguntumkan sebuah senyuman dan menegur serta beramah dengan mereka.
Lain pula dengan para midwives (bidan/jururawat bagi unit maternity), doktor, tukang cuci, tukang hidang makanan dan sukarelawati yang bertugas di wad ini. Mereka mungkin dilatih untuk menjadi mesra pesakit hinggakan tidak pernah lagi sejak dimasukkan ke sini lebih 2 minggu lalu saya menemui walau seorang petugas di wad ini yang melayan dan menegur saya dengan wajah yang bengis, sombong, apatah lagi bercakap kasar. Semua mereka akan tersenyum serta menggunakan kata-kata yang manis dan memanggil pesakit dengan panggilan mesra seperti ‘darling, sweetheart, love, honey dan sebagainya’ agar kita rasa selesa dan rasa disayangi di sini.
Berbalik kepada wanita-wanita yang saya temui dan sempat berbicara di kala bersarapan bersama. Pada mulanya cerita kami berkisarkan kisah masing-masing yang dimasukkan ke wad ini. Lama-kelamaan berlarutan kepada cerita keluarga sehinggalah saya bertanya tentang pandangan mereka terhadap kita sebagai orang asing beragama Islam di negara mereka. Apa pandangan mereka tentang wanita Muslim yang bertudung dan sebagainya.
Michelle, seorang ibu beranak dua mengatakan yang dia memang pada mulanya tidak berani mendekati orang asing yang beragama Islam kerana mereka ini selalu dikatakan ganas. Tetapi dia kini dia mempunyai beberapa kawan bangsa asing yang beragama Islam dan dia amat selesa dengan mereka. Mereka begitu baik dan selalu membantu. Saya memberitahunya yang semua agama mengajar penganutnya menjadi manusia yang baik dan menjauhi keganasan. Begitu juga agama Islam. Jika benar keganasan itu dilakukan oleh umat Islam, maka merekalah yang bersalah, bukan ajaran agama Islam yang mengajar mereka begitu. Dia mengangguk kepalanya tanda setuju dan kami menjadi kawan baik hingga ke hari ini kerana dia juga mungkin akan lama di wad ini dengan masalah ‘Placenta Previa’nya bagi kandungan ketiganya ini.
Louise, seorang lagi kawan sebilik yang mengalami masalah tekanan darah tinggi semasa mengandung ini begitu ramah selepas saya juga yang mula menegur dan bertanya khabarnya. Dia sangat mesra dan murah meluahkan perasaannya. Dia juga sudah mempunyai 2 anak lelaki dan bakal melahirkan hero ke-3. Dia secara jujur mengatakan yang dia risau untuk bertegur sapa dengan mereka yang bertudung dan lebih tepat lagi mereka yang beragama Islam kerana mereka kelihatan begitu tertutup dan tidak mesra. Dia mengaku yang dia selesa bercakap dan bercerita dengan saya. Saya memberitahunya, ajaran agama Islam tidak sesekali membezakan manusia sama ada bangsa, warna kulit ataupun status kehidupan setiap orang. Yang paling penting dan membezakan setiap manusia adalah hati. Ajaran agama Islam mengajar umatnya sentiasa berbaik dengan siapa sahaja tanpa mengira agama yang orang lain anuti. Ibu muda itu mengangguk paham. Dia pulang ke rumah dua hari yang lalu dan tak lupa menjenguk saya di sebalik langsir dan mengucapkan selamat kepada saya sebelum dia pulang bersama suaminya.
Saya juga sempat berbual dengan seorang midwife yang juga berkulit putih yang kelihatan berminat bertanya tentang Islam. Semoga dengan sedikit penerangan ringkas tentang keindahan Islam kepada beberapa ‘orang putih’ di wad ini yang sering bersangka buruk kepada orang Islam akan dapat mengubah tanggapan negatif mereka itu terhadap umat Islam selepas ini.
Tetapi satu perkara yang perlu kita sematkan di hati, kita sebagai penganut agama mulia inilah yang seharusnya menunjukkan teladan dan juga bersangka baik dengan siapa sahaja terutama kaum atau bangsa serta penganut agama yang lain dari kita. Berakhlaklah seperti yang di didik oleh Nabi kita Muhammad S.A.W. sehinggakan separuh dunia dapat diIslamkan suatu ketika dulu. Jika dengan sering bersangka buruk kepada orang lain, maka buruklah akibat yang akan kita terima. Tetapi jika kita menyemai sikap bersangka baik selalu, Insya Allah, yang baiklah yang akan selalu kita terima meskipun bukanlah sentiasa. Tunjuklah kepada dunia yang Islam adalah sebuah agama yang cantik dan amat menghargai kecantikan dan keindahan. Berlemah lembut dalam berbicara dan memaniskan muka ketika bertegur sapa sesapa manusia adalah di antara kecantikan yang amat dianjurkan Islam. Biarlah keindahan Islam itu dilihat dan dapat memikat penganut agama lain melalui nilai-nilai murni dan baik yang diamalkan penganutnya dalam kehidupan seharian kita. Itu juga merupakan satu usaha dakwah kecil kita untuk agama Islam yang kita cintai.
Untuk renungan bersama agar kita sentiasa bersangka baik sesama insan. Syeikh Abdul Kadir Jailani memberikan beberapa tips untuk kita amalkan:
Jika engkau bertemu dengan seseorang, maka yakinilah bahawa dia lebih baik darimu. Ucapkan dalam hatimu :
“Mungkin kedudukannya di sisi Allah jauh lebih baik dan lebih tinggi dariku.”
Jika bertemu anak kecil, maka ucapkanlah (dalam hatimu) :
“Anak ini belum bermaksiat kepada Allah, sedangkan diriku telah banyak bermaksiat kepadaNya. Tentu anak ini jauh lebih baik dariku.”
Jika bertemu orang tua, maka ucapkanlah (dalam hatimu):
“Dia telah beribadah kepada Allah jauh lebih lama dariku, tentu dia lebih baik dariku.”
Jika bertemu dengan seorang yang berilmu, maka ucapkanlah (dalam hatimu):
“Orang ini memperoleh kurnia yang tidak akan kuperolehi, mencapai kedudukan yang tidak akan pernah kucapai, mengetahui apa yang tidak kuketahui dan dia mengamalkan ilmunya, tentu dia lebih baik dariku.”
Jika bertemu dengan seorang yang bodoh, maka katakanlah (dalam hatimu) :
“Orang ini bermaksiat kepada Allah kerana dia bodoh (tidak tahu), sedangkan aku bermaksiat kepadaNya padahal aku mengetahui akibatnya. Dan aku tidak tahu bagaimana akhir umurku dan umurnya kelak. Dia tentu lebih baik dariku.”
Jika bertemu dengan orang kafir, maka katakanlah (dalam hatimu) :
“Aku tidak tahu bagaimana keadaannya kelak, mungkin di akhir usianya dia memeluk Islam dan beramal soleh. Dan mungkin boleh jadi di akhir usia diriku kufur dan berbuat buruk.”
Wallahua’lam.
Leicester, United Kingdom
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment