Pages

Tuesday 22 December 2009

Bersama Syeikh Yusuf al-Qaradawi


Oleh: Mohd Syauqi Md Zahir Al-Kulimi

Pada hari Sabtu, tanggal 19hb Disember 2009, bertempat di Putrajaya International Convention Centre (PICC), telah berlangsung Muhadhorah Perdana yang disampaikan oleh Fadhilatul Syeikh Al-‘Allamah Prof Dr Yusuf Abdullah Ali Al-Qardawi bertajuk Fiqhul Jihad. Sehari sebelum itu Fadhilatul Syeikh telah dianugerahkan tokoh Ma’al Hijrah 1431 oleh kerajaan Malaysia di atas sumbangan beliau dalam bidang ilmu dan dakwah Islam.

Pemudaiman.blogspot telah berkesempatan untuk menghadiri syarahan perdana yang julung kali diadakan di Malaysia. Kali terakhir beliau datang ke Malaysia ialah pada tahun 90-an. Justeru, adalah satu kerugian jika kehadiran beliau ke Malaysia tidak dimanafaat sepenuhnya oleh masyarakat Islam di Malaysia. Umurnya yang telah lanjut mungkin akan membataskan lagi kehadiran beliau ke sini di masa akan datang.

Dengan bertongkat, beliau berjalan masuk ke dewan plenary PICC tepat jam 9.30 pagi diiringi ramai VIP serta kerlipan flash kamera dari audien dalam dewan. Dewan plenary boleh dikatakan tiga perempat penuh dengan audien yang kebanyakkannya pada pemerhatian pemudaiman adalah dari kalangan para ustaz timur tengah dan pelajar pengajian Islam dari university dan kolej sekitar lembah klang. Ada juga yang datang membawa bersama anak-anak kecil yang masih menyusu untuk sama-sama mendengar syarahan. Agak berbeza dengan kalangan audien semasa kehadiran Prof Tariq Ramadan (cucu Al-Syahid Hasan al-Banna rahimahullah) di Suruhanjaya Sekuriti pada 12 dan 13 Disember sebelum itu yang ramainya bukan dari kalangan ustaz timur tengah atau pelajar pengajian Islam. Kebanyakannya golongan professional.



Fadhilatul Syeikh memulakan syarahan beliau dengan membahagikan orang Islam kepada 3 kelompok fahaman mengenai konsep jihad:

(1)Kelompok Ekstremis: Mereka adalah golongan yang menghalalkan darah manusia untuk menegakkan Islam. Sanggup membunuh kononnya atas nama Islam, sedangkan apa yang mereka lakukan tiada asas dalam Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Bagi mereka seluruh negara kuffar adalah musuh Islam yang perlu diperangi.

(2) Kelompok Bebas: Mereka adalah golongan yang menutup pintu jihad. Bagi mereka tiada istilah jihad memerangi kuffar yang menentang Islam. Yang ada hanya jihad dalaman. Contoh jelas ialah kumpulan Ahmadiyah al-Qadyani yang menerima imperialisme barat ke atas negara Islam.

(3) Kelompok Wasatan (Moderate): Inilah golongan yang dikehendaki oleh Al-Quran dan Sunnah. Dan beliau menerangkan lagi mengenai golongan ini dengan menyebut bahawa terdapat 13 bentuk jihad dalam Islam antaranya:

a) Jihad Al-Nafs: Menurut beliau jihad ini merupakan martabat jihad yang tertinggi. Ia melibatkan kesungguhan seseorang dalam mencari ilmu, jihad mengamalkan ilmu yang dipelajari, jihad menyampaikan dan menyebarkan ilmu kepada orang lain dan jihad sabar dalam keilmuan itu sendiri.

b) Jihad Al-Syaitan: Jihad melawan syaitan, musuh nombor satu manusia yang menggunakan dua senjata untuk menyesatkan manusia iaitu syahwat dan syubhat. Jihad melawan syahwat ialah jihad sabar dan jihad melawan syubhat ialah jihad ilmu dan keyakinan.

c) Jihad Fil Mujtama’: Jihad dalam masyarakat yang melibatkan kerja al-amr bil makruf wa al-nahyu ‘anil munkar, jihad terhadap kezaliman, kefasikan, kejahatan yang berleluasa dalam masyarakat. Berdasarkan hadith riwayat Muslim yang bermaksud: “Barangsiapa melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangan (kekuasaan/ al-quwwah), jika tidak mampu maka dengan lidah (nasihat), jika tidak mampu juga maka dengan hati (kebencian/ al-kurhu), itulah selemah-lemah iman”

d) Jihad Al-Kuffar Wal Munafiqin: Ini merupakan jihad yang berterusan sehingga hari kiamat. Berjihad terhadap mereka adalah dengan menggunakan kekuasaan, nasihat, hati dan harta kebendaan.



Seterusnya, Fadhilatul Syeikh menerangkan pendirian Islam dalam hal jihad perang ialah untuk mempertahankan agama, nyawa, aqal, kehormatan, dan harta. Bukan untuk melampaui batas dan menzalimi orang lain. Selama 13 tahun Rasulullah SAW dan para sahabat berjihad di Mekah tanpa mengangkat pedang. Jihad yang dilaksanakan Rasulullah SAW dan para sahabat ialah jihad dengan bersabar dan tetap pendirian ketika diuji Allah SWT dengan celaan, cacian, kezaliman penduduk kafir Quraisy sehingga syahidnya Sumayyah yang merupakan perempuan pertama yang syahid dalam Islam (jihad al-sabr wa al-sabat ‘ala al-ibtila’). Namun selepas hijrah, Rasulullah SAW dan para sahabat diizinkan Allah SWT untuk mengangkat pedang berjihad mempertahankan kebebasan beragama dan kehormatan diri. Maka sepanjang 10 tahun di Madinah, jihad perang telah berterusan. Namun ini bukan menunjukan Islam disebarkan dengan mata pedang seperti dakwaan para orientalis. Sebab menurut Fadhilatul Syeikh, Rasulullah SAW tidak pernah memulakan perang. Sekiranya musuh menghulurkan salam perdamaian, maka Rasulullah SAW menerimanya dengan hati yang terbuka. Inilah konsep jihad dalam Islam.

Setiap butir isi syarahan beliau disandarkan kepada ayat-ayat Al-Quran, hadith-hadith nabawiyah, kisah-kisah para sahabat dan tabi’in. Semuanya dalam kepala. Amat hebat! Walaupun beliau memberi syarahan dalam posisi duduk namun aura yang ada pada beliau dengan suara yang jelas dan kuat membuatkan audien sentiasa menumpukan perhatian kepada apa yang disampaikan. Tidak perlu kepada unsur humor atau cerita lawak jenaka yang selalu para ustaz di sini gunakan untuk menarik perhatian audien. Cukup dengan isi syarahannya yang padat dan mudah difahami untuk memukau audien yang kesejukan dalam dewan tersebut. Setiap dari mereka melahirkan rasa lebih dari puas hati mendengar syarahan beliau. Cuma mereka terkilan apabila tiada sesi soal jawab (Q&A session) selepas syarahan tersebut. Mungkin pihak penganjur mempunyai sebab tersendiri untuk meniadakan sesi tersebut.

Apabila Fadhilatul Syeikh hendak meninggalkan majlis maka para audien menyerbu beliau untuk bersalaman dan bergambar dengan beliau. Dalam keadaan bersesak-sesak, dia masih mampu bersalaman sekadar termampu dengan audien walaupun kesihatan beliau tidak mengizinkan beliau untuk berdiri terlalu lama.

Alhamdulillah wakil Pemudaiman berjaya untuk bersalaman dengan Fadhilatul Syeikh setelah sesi jamuan makan di luar ruang makan VIP ketika beliau beransur untuk pulang. Sesi bersalaman itu berlangsung dengan penuh kesenangan dan kesempurnaan. Cuma keadaan tidak mengizinkan pemudaiman untuk bergambar dan bercakap ‘in person’ dengan beliau. “InsyaAllah, maybe next time” kata hati ini.
Sesungguhnya beliau merupakan ulama Islam yang sejati yang tidak mengenal erti sombong dan letih dalam menyampaikan ilmunya. Semoga Allah SWT sentiasa merahmati beliau dan memberi umur yang panjang kepada beliau agar ummat Islam seluruh dunia dapat mengambil manafaat dari ilmu yang ada padanya. Amin..

2 comments:

Unknown said...

Alangkah bagusnya dapat memahami dan bercakap dalam bahasa Arab

abufahim said...

mula belajar dari sekarang, kalau minat insyaAllah dipermudahkanNYa