'..sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk' [Surah al-Kahfi, ayat 13]
Saturday, 21 November 2009
Bayt Muslim #4 - Memahami Kelebihan dan Kelemahan Pasangan
Oleh: Mohd. Fikri Bin Abd. Rahman
Salam, kuteruskan menggerak tinta ini melakarkan sedikit petua selanjutnya melestarikan kehidupan berumahtangga sinambungan lakaran tinta yang lalu buat pengajaran kita bersama.
Setiap pasangan pasti punyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Tatkala masjid terbina, kita tahu dalamnya terpasak ke bumi dasar kasih dan cinta kedua suami isteri, kita tahu berapa tiang serikah tertegak kukuh menopang kukuhnya rumah itu, beribu-ribu paku melekat di kayu mengukuhkan struktur rumah itu, tahu berapa banyakkah alang-alang mencengkam kukuhnya atap dan bumbung rumah itu, tahu kelemahan rumah itu tanpa perhiasan dan alatan seri dalamnya, lalu digembeling dua tenaga melayari bahtera indah ini melangkah satu demi satu menghiasi kamar indah dalamnya dengan hiasan kasih dan sayang, lengkap-melengkapi kekurangan dalamnya dengan toleransi dan persefahaman agar kasih sayang yang terukir dan terbina subur kekal mewangi sewangi wangian taman firdausi.
Belajar memahami kelebihan dan kekurangan pasangan tiada rugikan kita walau sebesar zarah ianya cuma, bahkan ianya akan menyubur lagi kasih dan sayang kita buat yang tercinta dan lebih kembang dan mengharum semerbak wangian firdausi dek kerna pasangan itu telah faham dan memahami kehendak, keinginan dan apa yang tidak digemari oleh pasangannya. Si suami faham akan isterinya begitulah sebaliknya, tidak timbul di sana syak wasangka yang menyubur merosakkan kesenian rumahtangga itu, bahkan memudahkan syaitan durjana memasangkan jarum memusnahkannya.
Aku teringat semasa mengendalikan satu kes pertikaian rumahtangga melibatkan dua orang "dewasa" berusia sekitar 50-an, sisuami hadir mendapatkan khidmat guamanku kerana isterinya memohon untuk memutuskan ikatan pernikahan yang suci, aku terasa sangat kerdil untuk menasihati orang-orang yang jauh lebih berpengalaman dalam hidup berumahtangga malah menggaram lebih dariku, namun sebagai pengamal undang-undang aku gagahi jua jalankan tanggungjawabku memberi khidmat nasihat guaman buat sisuami.
Kuterjah sejarah perkahwinan mereka, ku dikhabarkan mereka sudah lebih 30 tahun hidup bersama, sejak akhir-akhir ini bermacam ujian dan cabaran mendatangi mereka, punyai 4 orang anak, sulungnya tahun akhir di IPT, keduanya di Poli, ketiga Form 4 dan bongsunya Form 2. Ku termenung sejenak, "bang, apa masalahnya dengan isteri abang?", jawabnya "kami tidak saling bersefahaman, isteri tak menghargai saya lagi, bahkan lebih dari itu, isteri lebih berani keluar dengan lelaki lain yang kaya, berharta dan selalu menghadiahkan perhiasan dan barang cenderahati mahal buat isteri, suami mana yang boleh tahan".
Lamunanku terhenti seketika, astaghfirullah.....masih ada lagi kisah begini di zaman yang serba maju dan canggih begini, masih ada lagi pasangan veteran yang masih tidak memahami kelebihan dan kelemahan pasangannya walau hidup bersama lebih 30 tahun, masih adakah lagi isteri yang seumpama itu tatkala usia di kala senja, bumi kata boleh blah, kubur kata mari lantas ku gagahi memberikan nasihatku buat sisuami, "bersabarlah bang, sesungguhnya Allah sentiasa bersama orang-orang yang sabar", apa yang perlu dibuat sekarang ialah kita hendaklah melepaskan isteri dengan cara yang baik sebagaimana yang disyarakkan agar abang tak akan jadi dayus dek kerna tindakan isteri yang sebegitu".
Kuselidiki latarbelakang suami lagi, sebagai seorang ahli bomba pangkat biasa, banyak manalah pendapatan berbanding si Mejar tentera yang menjadi kegilaaan isteri yang telah celaru fikirannya, ahli bomba biasa tak mampu menghadiahkan buat isteri emas permata, membawa isteri dengan kereta mewah, menghadiahkan isteri barangan mewah berjenama, makan dengan isteri di hotel-hotel ternama, semua ini cabaran buat suami yang malang ini kerna beristerikan seorang "ibu" dan "isteri" yang sudah diambang senja tapi masih tidak sedarkan diri dan buta hati, akhirnya pasangan ini dapat berpisah dengan baik secara khulu'(tebus talak) maka berakhirlah khidmat guamanku buat sisuami di situ.
Apa yang aku cuba bawakan kisah ini bagi kita memahami pasangan kita dengan sebaiknya, kita faham sekiranya suami seorang posmen biasa jangan didamba cara hidup seorang pengurus, sisuami dan isteri punyai tanggungjawab dan haruslah mempunyai sifat berpada-pada (qanaah) dan bersyukur kelebihan dan kekurangan masing-masing, andai keduanya memahaminya nescaya kerukunan dan kelestarian rumahtangga akan terus subur dan mewangai setiap masa. Kita memahami tangggungjawab dalam berumahtangga, mentadbir kewangan rumahtangga dan membesar anak-anak adalah tanggungjawab bersama, maka seharusnya keduanya bergandingan dan memikul tanggungjawab ini bersama dan yakinilah ianya adalah amanah yang harus ditunai bersama.
Moga-moga nukilan ini dapat memberi keinsafan dan pengajaran bersama buat kita melayari rumahtangga kita dalam Nur dan Rahmat-Nya sepanjang masa, kita bertemu lagi dalam coretan yang akan datang...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment