'..sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk' [Surah al-Kahfi, ayat 13]
Tuesday, 17 November 2009
Tinta Musafir #1 - Islam di Negara Bukan Islam
Setiap daripada kita dikurniakan Allah SWT kelebihan dan peluang masing-masing yang pasti lain nilainya kepada individu tersebut. Pengalaman Adlan berada bertahun-tahun di Jordan pasti sangat berharga dan dapat dijadikan sempadan dan teladan bagi kita yang belum pernah ke sana atau menghayati kehidupan masyarakat di sana. Pengalaman sahabat-sahabat yang lain di Mesir, Australia, USA, New Zealand, Jepun dan pelbagai lagi negara pasti menggamit segala kenangan pahit manis yang tidak dapat dilupakan. Begitulah peluang yang Allah kurniakan kepada saya sekeluarga untuk berada selama tiga tahun di bumi Leicester, United Kingdom ini. Insya Allah peluang ini akan saya dan keluarga manfaatkan sebaiknya dan menimba sebanyak mana ilmu dan cuba berkongsi dengan para pembaca semua.
Islam merupakan agama kedua terbesar di United Kingdom sejak terbentuknya United Kingdom yang terdiri daripada England, Scotland, Wales dan Northern Ireland. Kebanyakan penganut Islam negara ini merupakan imigran-imigran yang datang sejak berlakunya kolonisasi pada tahun 1950an. Jumlah penganut Islam di sini semakin hari semakin bertambah berdasarkan pertumbuhan tempat ibadah bagi umat Islam iaitu masjid melebihi 1500 buah dan semakin bertambah.
Kami berasa beruntung dan bersyukur kerana ditakdirkan untuk menetap di Leicester di mana daerah ini merupakan kawasan yang terkenal dengan komuniti Islam yang besar. Di kawasan rumah yang kami diami sahaja mempunyai tiga buah masjid yang besar dan sangat aktif menjalankan aktiviti seharian. Paling mengagumkan ialah aktiviti di bulan Ramadhan di sini. Bukan setakat solat terawikh, aktiviti seperti kuliah, ceramah agama, kelas-kelas tasmi’ Al-Quran (memperdengarkan bacaan oleh anak murid kepada guru) dan hafazan begitu giat dijalankan oleh pihak jawatankuasa masjid.
Sepuluh malam terakhir Ramadhan dimakmurkan oleh penduduk Islam di sini secara luar biasa sekali. Mereka bergegas ke masjid, bersolat tarawikh, beriktikaf dan melakukan pelbagai aktiviti ibadah sehingga dinihari. Masjid-masjid akan penuh melimpah ke kaki lima dengan kehadiran manusia yang sangat ramai. Mereka berdoa sambil menangis berjurai-jurai airmata ketika bersolat dan pada saat imam membacakan doa Qunut witir. Keyakinan mengenai kelebihan sepuluh malam terakhir amat kukuh di hati mereka. Tiada kesibukan bermain mercun menyambut malam tujuh likur, tidak kelihatan kesibukan ibu bapa keluar membeli-belah menyambut hari lebaran. Sesekali terlintas di minda, mungkinkah pemandangan ini dapat dilihat di masjid-masjid dan surau-surau di Malaysia bila kami pulang nanti? Tepuk dada tanya iman.
Di sini juga saya berpeluang menjadi seorang sukarelawan membantu sebuah badan kebajikan yang dinamakan Islamic Relief (IR). Badan ini sudah menjadi satu badan kebajikan Islam terbesar di dunia yang disegani. Matlamatnya bukan hanya membantu masyarakat Islam tetapi juga memberi kebajikan kepada mereka yang dalam kesusahan dan kemiskinan di seluruh dunia. Bertepatan dengan ayat Allah SWT di dalam Surah Al-Maidah ayat 32 yang bermaksud:
“……dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya……..”
Pertubuhan IR ini menjalankan aktiviti di serata dunia membantu mereka yang sangat memerlukan. Umpamanya di Leicester, IR mempunyai sebuah kedai menerima pelbagai barang-barang terpakai dari masyarakat setempat bagi tujuan kebajikan. Daripada sekecil-kecil barang hinggalah sebesar-besar barang seperti perabot terpakai yang didermakan akan ditempatkan di kedai ini, dipamer dan dijual semula pada harga yang sangat murah bagi mengumpul dana bagi operasi IR. Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai badan ini, sahabat-sahabat boleh lah meng‘google’ mengenainya.
Satu pengalaman menarik ketika bersama Islamic Relief apabila kami para sukarelawan dibawa ke ibu pejabat IR di bandar Birmingham yang mengambil masa hampir 45 minit perjalanan dari Leicester. Kami diberitahu oleh seorang pegawai di situ bahawa terdapat perbezaan yang amat ketara dalam aspek barang-barang terutamanya pakaian yang dikumpulkan di kawasan orang berkulit putih (baca non-Muslim) dan barang-barang yang dikumpulkan di kawasan masyarakat-masyarakat lain termasuklah kawasan ‘black’ (Somalia, Africa, Pakistan, India dan lain-lain yang majoriti penduduknya adalah Islam).
Pakaian yang diperolehi dari kawasan ‘putih’ ini biasanya akan dibasuh, dilipat dan dimasukkan dengan baik ke dalam beg plastik sebelum didermakan, dan boleh dikatakan 100% pakaian yang didermakan berada di dalam keadaan baik dan masih sempurna untuk diguna semula oleh orang lain. Begitu juga dengan barangan lain seperti buku-buku, mereka akan hanya mendermakan buku-buku yang masih elok dan berada dalam keadaan yang baik untuk diguna semula.
Adakalanya buku-buku itu seperti belum disentuh. Ini sangat berbeza dengan barangan yang diterima di kawasan lain yang boleh dikatakan 50% daripadanya adalah sampah dan barangan yang hanya layak dihumbankan ke dalam tong sampah. Dengan pakaian buruk, kotoran belum dibasuh dan ada yang sudah koyak rabak juga didermakan. Apatah lagi barangan lain, mainan yang sudah rosak, buku yang koyak rabak, berconteng di sana sini didermakan dengan harapan diberi pahala oleh Allah SWT. Soal dosa pahala memanglah milik Allah. Tetapi mereka ini tidak menyedari yang perbuatan itu menyebabkan pihak IR terpaksa mengeluarkan kos pengurusan mencecah £12,000 sebulan bagi membuang semua sampah sarap itu ke tempat pembuangan sampah yang sepatutnya dapat dilakukan sendiri oleh mereka yang mendermakan sampah sarap tersebut.
Lihatlah beza faham salah satu aspek kehidupan sahaja iaitu kebajikan. Bagaimanakah mereka (masyarakat non-Muslim di UK) dipupuk nilai dan kefahaman yang betul tentang kebajikan masih menjadi tanda tanya kepada saya. Menanamkan sifat memberikan sesuatu yang baik atau yang terbaik agar dapat dimanfaatkan oleh mereka yang memerlukan amat susah saya rasa hendak disemaikan di dalam masyarakat kita.
Kita lebih tega menyimpan barangan kita sebagai kenangan dan memenuhi setiap ruang di dalam stor dan di dalam rumah daripada menyedekahkan kepada mereka yang lebih memerlukan. Alangkah beruntungnya mereka (non-Muslim) jika mereka ini mempunyai akidah Islam. Bayangkanlah kemurahan hati mereka dan kebaikan yang akan mereka lakukan apabila dijanjikan syurga oleh Allah SWT. Pasti mereka berlumba-lumba memberi apa yang mereka miliki agar dapat dikongsi dengan mereka di luar yang sangat memerlukan.
Demikian sedikit catatan kembara yang dapat saya coretkan untuk dijadikan teladan dan sempadan bagi mereka yang mahu berfikir. Yang baik sesungguhnya dari Allah SWT dan yang lemah itu adalah dari kekurangan saya sendiri. Semoga bertemu lagi di catatan pengembara yang akan datang. Insya Allah.
Noor Asmin bt. Mohamad Khassim
Leicester, United Kingdom
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
salam...pls permit me to share urs xprience in my blog...could open muslim mentalitity..tx
mewakili rakan2 penulis di sini, saya amat mengalu2kan agar nukilan kami yg tidak seberapa ini disebarluaskan. jazakallah.
Post a Comment