'..sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk' [Surah al-Kahfi, ayat 13]
Tuesday, 24 November 2009
Kembara Sufi #2 - Jiwa Yang Berkeinginan
Wahai diriku dan saudaraku !!
Sehingga bilakah kamu asyik dengan kerja duniamu , hinggakan kamu tamak dalam mengejar impianmu , dan kamu lupakan akan serangan ajal mautmu . Tidaklah kamu dilahirkan melainkan ke tanah jua , Apa yang kamu bina akan menuju kemusnahan , Tidaklah kamu dihimpunkan melainkan untuk pergi ke sana . Setiap apa yang kamu perbuatkan di dalam buku jua disimpan bagi hari perhitungan .
Setiap diri kita adalah jiwa yang berkeinginan . Begitu hendaknya dicipta Allah S.W.T . Dengan keinginan inilah manusia membangun dunia , membina tamadun yang agung , menemukan pelbagai ciptaan , terus-menerus mencari kesempurnaan . Namun , keinginan jua mampu membunuh diri kita . Keinginan yang tidak diletakkan pada haluan yang sebenar . Betapa kita telah melihat bagaimana hebatnya empayar firaun dengan kerajaan dan bala tentera tak terlawan ; tetapi masih menginginkan ditabal tuhan . Betapa lazatnya makanan langit yang dihidangkan Allah buat bani israel ; malangnya mereka masih inginkan makanan duniawi yang tiada nilainya walau seberat sayap sang lalat.
Diri yang kerdil ini juga sentiasa berkeinginan dan berkehendak kepada sesuatu yang baharu apabila memperolehi yang dicitakan sebelum ini . Bermula mengajar dengan menyewa rumah usang kemudian menginginkan rumah yang elok sedikit sahaja dari yang sedia ada . Tak lama berpindah ke rumah baru teres setingkat 3 bilik . Rasa terngiur pula melihat rumah semi D yang punya sedikit halaman . Alhamdulillah tak lama selepas itu dapat menyewa rumah yang dikehendaki . Sekejap saja tenangnya , teringinkan pula rumah sebuah ( banglo ) yang tidak berkongsi dengan sesiapa punya halaman kiri dan kanan . Bersyukur akhirnya 2004 berpindah ke rumah sesebuah 4 bilik dengan halaman yang luas la juga depan , kiri , kanan , belakang . Hah ! tak lama rupanya teringin hendak mengubahsuai menambah bilik dan ruang . Percayalah sekiranya saya sudah mengubah suai maka tentu datang pula keinginan untuk sebuah rumah banglo yang terletak di puncak bukit nan indah pemandangan dan segar udaranya … selepas itu adakah saya akan berhenti ! mungkinkah kita takkan berbicara lagi tentang rumah ! Ya ini baru rumah . Bagaimana dengan perhiasan dunia yang lainnya ? Bagaimana dengan kerja ? Kereta ? Isteri . . ? Harta …
Bolehkah kita terus matikan keinginan . Tidak ! Tidak sekali . Tanpa keinginan jiwa kita kan mati . Ibarat mayat yang bernyawa . Kaku , keras , tak bermaya dan tiada berguna .
Marilah kita pandukan keinginan ini supaya berada di atas jalan Ilahi . Marilah kita sebatikan ia dengan tinggalan rasulullah s.a.w . al-quran dan as-sunnah . Lihatlah bagaimana para ulamak membawa jiwa-jiwa yang berkeinginan ini . Bagaimana mereka tidak pernah redha dengan ilmu yang dimiliki lantas senantiasa tamak mencari . Bagaimana para syuhada yang sudah menerima ganjaran di alam barzakh masih meminta kepada Ilahi agar dihidupkan kembali supaya mereka dapat syahid lantas menerima ganjaran berkali-kali . Bagaimana Rasulullah s.a.w yang dijanjikan syurga dan maksum dari dosa masih ingin beribadat semahunya hingga bengkak kakinya kerana ingin kasih sayang dan cinta Allah biarpun sudah memilikinya .
Ya , saya juga berharap memperolehi keinginan yang sebegitu . Kita semua perlu berjuang untuk mengekang keinginan agar dapat menariknya kejalan yang sama ditempuhi oleh para ulamak dan kekasih Allah . Jauhkan keinginan kita dari keduniaan tapi jangan sesekali membunuhnya . Ingatlah kita apa yang kita bina di dunia ini untuk dihancurkan , apa yang kita pernuatkan itulah bekalan .
”Sekiranya kita apabila dimatikan ditinggalkan begitu sahaja
Maka kematian itu adalah kerehatan bagi setiap yang hidup ,
Tetapi , apabila kita dimatikan kita akan dibangkitkan
Kita kan disoal setiap apa yang kita perbuatkan . ”
( abu al-atahiyah )
Jiwa ini masih belum puas , masih belum cukup , masih mahu apa yang tiada sedangkan apa yang ada itulah dicitakan sebelumnya . Apa yang dapat itulah yang diburu dahulu . Apa yang dimiliki itulah yang diidam-idamkan .
ANTARA DUA CINTA
Apa yang ada jarang disyukuri
Apa yang tiada sering dirisaukan
Nikmat yang dikecap
Baru kan terasa bila hilang
Apa yang diburu timbul rasa jemu
Bila sudah di dalam genggaman
Dunia ibarat air laut
Diminum hanya menambah haus
Nafsu bagaikan fatamorgana di padang pasir
Panas yang membahang disangka air
Dunia dan nafsu bagai bayang-bayang
Dilihat ada ditangkap hilang
.................................. The Zikr
nasser
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Apa yang penting ialah menjadi orang yang dapat mengawal keinginannya(nafsunya) dan mempunyai disiplin diri.
Kalau diikutkan nafsu, buat apa masuk kerja seawal lapan pagi kerana lebih baik tidur, buat apa sibuk kerja kerana lebih baik sembang di kantin, buat apa nak pakai tudung kerana panas dan merimaskan, buat apa kahwin kerana lebih baik berzina, buat apa pergi surau kerana lebih baik tengok tv, buat apa dengar kuliah maghrib lebih baik santai di rumah. Manusia sentiasa mengimpikan masa santai , harta yang bertimbun, rumah yang hebat, kereta yang mewah, isteri yang cantik dan mengancam. Nafsu sentiasa memikirkan keinginannya dan dirinya sendiri lantaran nafsu itu sentiasa muda dan tidak pernah tua walau pun orang sudah tua.
Namun, nafsu itu juga penting kerana langsung tidak mempunyai nafsu juga membawa padah kepada manusia kerana keinginan itu membolehkan manusia terus hidup di atas muka bumi ini dengan sempurna. Tanpa nafsu, manusia tidak kisah tentang makanannya, untuk membina rumah yang cantik, untuk memikirkan kerjayanya, malah mungkin tidak berkahwin kerana tidak mempunyai perasaan kepada perempuan. Dengan kata lain, tanpa nafsu dunia ini tidak akan dibangunkan dan generasi manusia tidak akan wujud kerana manusia tidak berkahwin lantaran tiada keinginan.
Elok la kita berpuasa sunat
Post a Comment