Pages

Wednesday, 4 November 2009

Mutiara Wahyu #2 - Antara Gunung & Manusia


Oleh: Mohd Syauqi Md Zahir Al-Kulimi

Firman Allah SWT maksudnya:

Kalau sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan ketakutannya kepada Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir. (Surah Al-Hasyr, 59:21)

Hebat! Inilah mukjizat Al-Quran. Setiap ayat yang dibaca akan memberi pengaruh yang besar bagi si pembacanya. Walaupun sudah berulang kali kita membacanya, perasaan cemuih (jemu) hilang. Tak macam bahan bacaan lain. Bila dah habih baca, nak ulang baca balik dah rasa cemuih. Ayat di atas confirm bukan pertama kali kita dengaq, tapi dah berpuluh kali kita dengaq dan baca. Bahkan, kalau sapa-sapa yang belajaq asas perubatan Islam, ayat ni memang salah satu ayat wajib digunakan untuk berubat selain Ayatul Kursi.

Ayat di atas merupakan satu dari berpuluh perumpamaan (amsal) yang Allah SWT datangkan kepada manusia dalam Al-Quran. Ayat di atas kalau dikaji, mempunyai maksud tersirat dan tersurat yang amat mendalam yang kadang-kadang tak terjangkau oleh pemikiran cetek manusia. Benarlah firman Allah SWT dalam surah Luqman, 31:27 maksudnya:

Dan seandainya pohon-pohon di bumi menjadi pena dan laut (menjadi tinta), ditambahkan kepadanya tujuh laut (lagi) sesudah (kering)nya, niscaya tidak akan habis-habisnya (dituliskan) kalimat (ilmu) Allah Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Mari kita berfikir sejenak..
Dalam ayat tersebut, Allah SWT menerangkan kepada kita akan hakikat bahawa Al-Quran dan isi kandungannya bukanlah perkara yang boleh diambil ringan. Al-Quran Kalamullah, merupakan satu amanah kepada manusia yang berakal untuk membacanya, melagukannya, tadabbur isi kandungannya dan mengamalkan ajarannya. Imam Ibn Kathir bila menafsirkan ayat itu berkata:

Hendaklah hati khusyuk (tawadhu dan penuh penghormatan) menerima Al-Quran dan seolah-olah hancur diri kita (gementar) ketika mendengarnya. Sebab di sanalah terdapat janji-janji Allah SWT yang benar dan ancaman-ancaman bagi sesiapa yang menderhaka. Kalau gunung yang begitu besar dan kasar mempunyai akal fikiran seperti manusia, nescaya ia akan khusyu tunduk merendahkan diri kerana takutkan Allah SWT. Maka adakah patut bagi kamu wahai insan, untuk tidak lunak hatimu kerana takut kepada Allah SWT. Padahal kamu telah dapat memahami isi kandungannya dan mengerti apa yang diperintahkan. Sebab itu kamu patut khusyu’dan gementar kerana kamu diberi Allah akal untuk berfikir.

Maksudnya: Wahai manusia, kalau gunung tu ada akal dan di turunkan padanya Al-Quran dan disebabkan bebanan ajaran, janji-janji Allah yang mustahil dimungkiri dan ancaman yang amat dahsyat di dalam Al-Quran itu akan menyebabkan gunung tu hancuq lebuq sebab takut kat Allah AWJ, yang kita ni manusia ada akai (akal) sempurna kena la jugak jadi macam gunung atau lebih. Tapi jangan la bila baca atau dengaq Al-Quran teruih pi bom diri bagi hancuq sebab kononnya takut kat Allah SWT. Tu bukan takut. Tu tak dak akai. Yang disuruh ialah kita kena khusyuk jugak bila baca dan dengaq Al-Quran. Bahkan ada hadith Rasulullah SAW suruh kita menangis bila baca Al-Quran. Kalau tak boleh menangis naturally, buat-buat la menangis tanda kita takut dengan Allah SWT. Tunduk patuh secara mutlak pada ajarannya. Beriman sepenuhnya dengan janjinya. Beriman dengan mukjizatnya. Menunaikan hak-hak Al-Quran ke atas kita. Tu yang kita kena paham dari ayat tu.

Subhanallah, berfikirlah para pembaca sekalian dengan akal fikiran yang waras. Kita bukan lembu, kambing atau binatang ternakan di kandang atau binatang tontonan di zoo yang tak dibekalkan Allah SWT dengan akal untuk berfikir. Allah mendatangkan perumpamaan tersebut dengan tujuan untuk kita berfikir. Berfikirlah tentang Al-Quran. Berfikirlah tentang apa tujuan Al-Quran diturunkan. Berfikirlah tentang bagaimana nak belajaq Al-Quran. Berfikirlah tentang bagaiman nak memahami Al-Quran. Berfikirlah tentang bagaimana nak mengamalkan ajaran terkandung dalam Al-Quran.

Berapa ramai di antara kita yang meluangkan sedikit masa untuk berfikir tentang segala yang berkaitan dengan Al-Quran. Lebih ramai di antara kita lebih suka berfikir tentang bagaimana nak menambah harta,wanita dan kuasa. Buktinya: Tengok saja macam mana ibubapa berlumba-lumba menghantar anak ke pusat tuisyen, menghabiskan beratus-ratus ringgit hanya untuk memastikan anak mendapat keputusan akademik yang cemerlang. Namun pada waktu yang sama tak kisah samada anak tu boleh baca Al-Quran ka dak, berapa surah yang anak dia dah hapai(hafaz),. Ana sendiri melihat situasi ni sepanjang bertugas di University “Islam” Antarabangsa Malaysia (UIAM). Ana mengajaq subjek wajib, ‘Basic Themes of Al-Quran’, yang membincangkan konsep-konsep asas yang dalam Al-Quran. Kebanyakan pelajaq (maaf cakap) takut nak amik subjek ni bukan sebab lecturer yang killer (bukan ana kot) . Tapi antara sebab utama ialah depa diwajibkan menghafaz sejumlah ayat Al-Quran. Bahkan dalam exam pun kalau soalan suruh depa ‘complete the uncompleted’ ayat, depa biaq kosong macam tu ja. Dalam kelas, kalau suruh baca Al-Quran, pakat jadi baluq liat belaka. Hang tengok aku, aku tengok hang. Bila gertak depa nak potong markah baru nak baca. Bila dah baca, ada yang merangkak dan yang lebih teruk tak boleh baca langsung. MasyaAllah! Ni bukan budak umuq 7-8 tahun. Ni remaja 18-19 tahun yang dah boleh jadi ayah dan ibu. Insaf rasanya. Balik rumah tengok anak-anak teruih , berazam untuk pastikan anak-anak dah boleh hapai Al-Quran sebelum masuk ‘U.’

Pada masa yang sama, ramai jugak yang dah lancaq baca Al-Quran. Tiap-tiap bulan khatam Al-Quran. Kalah ustaz-ustaz timur tengah. Tapi berapa ramai yang bila dia baca rasa khusyuk hatinya, gementar risau dengan janji dan ancamanNya. Sebab antara tanda seseorang itu menjadi mukmin ialah gementar hati mereka bila mendengar Al-Quran.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (karenanya), dan Hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal. (Surah Al-Anfal, 8:2)

Diriwayatkan bahawa Sayyidina Umar al-Khattab yang terkenal dengan cengenya(garangnya) dan tegasnya dalm segala hal, bilamana mendengar ayat Al-Quran surah Al-Tur yang menyentuh tentang azab Allah SWT yang tiada siapa mampu menahannya, dibaca pula oleh Rasulullah SAW, gementarlah tubuhnya yang sasa, jadi loy (longlai) letih seluruh sendi pada badannya dan nyaris dia jatuh ke tanah kalau tak kerana dia bersandar ke dinding. Segera dia pulang ke rumah, terus jatuh sakit sehingga diriwayatkan hampir sebulan dia tak keluaq rumah, sampai ramai sahabat datang melawat.

Tu dia! Sapa la kita kalau nak dibandingkan dengan Sayyidina Umar al-Khattab. Dia baca dan dengaq Al-Quran jadi longlai. Kita pulak macam mana. Bukan saja bila dengaq Al-Quran tak jadi longlai dan gementar hati macam nak pecah, tapi lebih teruk lagi bila hilang rasa hormat kita dengan Al-Quran. Takabbur dengan ajaran Al-Quran. Rasa diri dah pandai, Al-Quran tak sesuai. Dah la tu, boleh pulak dok permain-main dengan ayat Al-Quran, salah guna , salah tafsir ayat-ayat Al-Quran. Ni lagi teruk. Menghukum pulak para mufassirin dulu sebagai“gender bias.”

Berapa ramai yang bila baca Al-Quran terfikir untuk teruih mengamalkan ajaran Al-Quran. Para muslimat di zaman Rasulullah SAW diriwayatkan bila mana turun ayat surah Al-nur yang menyuruh mereka menutup aurat, dengan rasa penuh keimanan mencari kain-kain di rumah masing-masing untuk menutup aurat. Tak dak la kata nak tunggu kawin dulu la, nak pi haji dulu la baru nak tutup aurat. Ada hat panas telinga ka? Yang suka minum arak, bila mana turun ayat berkaitan pengharaman arak secara mutlak, immediately para sahabat tuang arak dari gelas, yang dok tengah minum boleh pi jolok rengkong (kerongkong) untuk memuntahkan balik arak yang dah minum. Amacam perokok-perokok professional? Ada berani ka? Kalau ada hat panaih (panas) telinga ka atau terasa dengan kata-kata ni, maknanya kita masih ada sekelumit iman walaupun senipis kulit bawang dan masih ada akal yang sempurna untuk berfikir kebaikan kita dunia dan akhirat.

Berfikirlah! Allah SWT bukan suruh kita pikiaq tentang betoi ka kalau kita letak Al-Quran atas gunung, gunung jadi hancuq lebuq. Ulama terulung nusantara, Professor Dr. Hamka rahimahullah ada menyebut dalam karya agungnya, Tafsir Al-Azhar: “Di hujung ayat kelak akan dijelaskan bahawa ini adalah perumpamaan. Oleh sebab itu janganlah dicuba membawa mushaf Al-Quran ke atas sebuah gunung dan diletakkan disana. Pada adatnya, tidaklah gunung itu akan pecah berderai, hancur berantakan kerana berat menerima Al-Quran itu. Perumpamaan-perumpamaan yang dahsyat dan tepat dapat merangsang hati manusia yang mempunyai perasaan yang halus”.

Persoalannya: Adakah kita mempunyai perasaan yang halus untuk memahami segala perumpamaan yang Allah telah bentangkan kepada kita di dalam Al-Quran..
Lu pikir la sendiri..

Latan biru, kota Damansara
1 November 2009
4.30 ptg

No comments: